Air paip Singapura kekal selamat diminum, meskipun keadaan jerebu berlarutan sejak kebelakangan ini dan penularan klip media sosial yang memaparkan air hujan kehitaman seperti jelaga telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebilangan warga Singapura.

Menerusi satu video yang dimuat naik ke Facebook pada 24 Oktober, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata ujian yang dijalankan oleh agensi air kebangsaan, PUB, tidak mendapati sebarang perubahan luar biasa pada mutu air dirawat Singapura.

Dalam video tersebut, Cik Fu merujuk kepada hantaran media sosial yang menunjukkan air hujan berwarna kehitaman yang ditadah ketika jerebu.

Beliau berkata beliau telah melawat Makmal Mutu Air PUB bagi mengenal pasti punca perubahan warna tersebut dan sama ada ia menjejas air paip.

PUB telah mengumpul beberapa sampel air pada 17 Oktober, ketika Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencecah 193, kata Cik Fu. Bacaan antara 101 hingga 200 pada indeks berkenaan menandakan mutu udara tidak sihat.

Sambil menunjukkan rak tabung uji berisi air hujan yang dikumpul dari Kranji dan Ulu Pandan, air larian dari Yew Tee serta air paip, beliau berkata air hujan yang ditadah semasa jerebu mungkin sedikit lebih berasid dan mengandungi tahap zarah serta bahan organik yang lebih tinggi.

Beliau menambah: “Ini memang dijangkakan, memandangkan air hujan boleh memerangkap zarah dan bahan bawaan udara ketika ia melalui ruang atmosfera.

“Namun tahap perubahan warna itu, dalam erti kata lain, sejauh mana ia kelihatan hitam, bergantung kepada sama ada ia air hujan yang ditadah secara langsung atau air hujan daripada air larian.”

Beliau menekankan bahawa, “sama ada jerebu atau tidak”, air hujan yang ditadah tidak seharusnya digunakan untuk tujuan minuman, memasak ataupun kebersihan diri.

Satu infografik dalam video itu menunjukkan bahawa paras pH air hujan yang dikumpul pada 17 Oktober adalah 5.7, berbanding 6.6 bagi air hujan semasa “jerebu sederhana”, 6.8 bagi air hujan pada “hari biasa” dan 7.8 bagi air dirawat.

Skala pH – yang bernilai dari 0 hingga 14 – mengukur tahap keasidan atau kealkalian sesuatu bahan. Nilai kurang daripada 7 menandakan bahan itu berasid, manakala nilai melebihi 7 menunjukkan ia beralkali.

Satu lagi infografik dalam video berkenaan, yang menggunakan unit kekeruhan nefelometrik (NTU) sebagai sukatan kekeruhan, menunjukkan paras bagi air hujan yang dikumpul pada 17 Oktober adalah 5.7, berbanding 3.6 bagi air hujan “jerebu sederhana”, 2.1 bagi air hujan “hari biasa” dan 0.21 bagi air terawat.

Nilai yang lebih tinggi menunjukkan air yang lebih keruh.

Air yang dikumpul di kolam-kolam air Singapura melalui beberapa peringkat rawatan untuk menyingkirkan kotoran, zarah halus dan bendasing lain, kata Cik Fu.

Proses rawatan air Singapura mampu menapis zarah sehingga seratus kali lebih kecil daripada PM2.5, yang disingkirkan semasa proses rawatan tersebut, tambah beliau.

PM2.5 merujuk kepada zarah halus berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil, dan merupakan bahan pencemar utama semasa musim jerebu rentas sempadan.

Sebagai langkah berwaspada tambahan, PUB turut mempertingkat pemeriksaan mutu air di seluruh negara, jelas Cik Fu.

Beliau menambah: “Ujian kami tidak mendapati sebarang perubahan luar biasa pada mutu air terawat kita.

“Justeru, walaupun air kehitaman itu kelihatan membimbangkan, air paip kita tetap bersih dan selamat diminum.”