Topik diikuti
Pergi ke BHkuTenaga nuklear potensi kukuh jaminan bekalan elektrik, sumber rendah karbon
S’pura kaji reaktor modular kecil yang lebih selamat, jimat ruang berbanding loji konvensional
Tenaga nuklear potensi kukuh jaminan bekalan elektrik, sumber rendah karbon
Disebabkan cabaran seperti kekangan tanah dan sumber semula jadi yang terhad, Singapura bergantung kepada gas asli import untuk memenuhi kira-kira 95 peratus daripada keperluan tenaga elektriknya.
Permintaan tenaga elektrik itu dijangka terus meningkat dipacu pembangunan prasarana dan perkembangan ekonomi, ujar Lembaga Pasaran Tenaga (EMA).
Namun, kebergantungan kepada import mendedahkan Singapura kepada ketidaktentuan harga bahan api.
Malah, konflik Israel, Amerika Syarikat dan Iran mendedahkan kerentanan itu, apabila tindak balas Iran menghalang laluan di Selat Hormuz menjejas bekalan minyak dan gas dunia.
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Dr Fatih Birol, menyifatkan gangguan tersebut sebagai antara krisis tenaga paling teruk sejak 1970-an.
Bagi menangani keadaan ini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pernah menekankan perlunya Singapura mempelbagaikan campuran sumber tenaganya demi melindungi jaminan tenaga negara dan bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menyokong pandangan Encik Wong, pakar dan penyelidik dalam bidang tenaga memberitahu Berita Harian (BH) bahawa tenaga nuklear boleh menjadi sumber tenaga alternatif yang strategik untuk mengukuhkan jaminan tenaga, di samping menyokong sasaran penyahkarbonan negara.
Setakat ini, Singapura belum memutuskan tentang pengerahan tenaga nuklear, tetapi telah mengukuhkan keupayaan untuk mengkaji sumber tenaga itu lebih sedekad yang lalu.
Penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu akan meneliti keupayaan Singapura dalam 19 bidang termasuk aspek keselamatan nuklear, pengurusan sisa radioaktif serta perancangan kecemasan.
Nuklear sebenarnya salah satu sumber tenaga karbon rendah yang diteroka, selain teknologi gas hidrogen dan geoterma, kata Penolong Ketua Eksekutif Jabatan Teknologi Tenaga di EMA, Encik Eugene Toh.
Namun, beliau berkata kekangan tanah dan kebergantungan tenaga solar kepada cuaca membawa cabaran.
Tenaga solar hanya dapat memenuhi kurang daripada 10 peratus permintaan elektrik Singapura jelang 2050, katanya.
Menurut EMA, permintaan elektrik puncak dijangka meningkat antara 2.9 dengan 6.5 peratus setiap tahun hingga 2034.
Langkah mengimport tenaga elektrik karbon rendah dari rantau ini merupakan satu lagi pilihan, namun Singapura perlu mengelak daripada menjadi terlalu bergantung kepada import.
Oleh itu, tenaga nuklear menyerlah sebagai sumber tenaga rendah karbon yang berpotensi membekalkan tenaga elektrik yang selamat, andal dan berdaya saing dari segi kos, tambah Encik Toh.
“Teknologi ini boleh diperluaskan mengikuti skala dan mempunyai rantai bekalan bahan api yang kukuh.
“Walaupun kos modal permulaannya mungkin tinggi, kos penjanaan tenaganya berdaya saing bagi jangka masa panjang, memandangkan loji kuasa nuklear mempunyai jangka hayat operasi yang lama,” katanya.
Sependapat, zamil penyelidikan bersama kumpulan penyelidikan dasar nuklear Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI), Dr Nur Azha Putra Abdul Azim, berkata bahan api nuklear, iaitu pelet uranium kecil, padat dan boleh disimpan dalam kuantiti besar, sekali gus boleh digunakan bagi tempoh yang panjang.
“Ini berpotensi mengurangkan pendedahan kepada gangguan jangka masa pendek dalam rantaian bekalan bahan api fosil serta ketidaktentuan harga bahan api sejagat,” jelasnya.
Teknologi nuklear juga mampu menyediakan bekalan tenaga elektrik dengan lebih stabil, berbanding sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar, tambahnya.
Menurut pengamat, teknologi Modul Reaktor Kecil (SMR) amat sesuai untuk keperluan negara kecil ini, kerana ia menawarkan beberapa ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Misalnya, ia tidak memerlukan campur tangan manusia atau bekalan kuasa luaran semasa kecemasan kerana ia memanfaatkan graviti dan sistem penyejuk automatik.
SMR juga bersifat kompak dan modular.
Komponen boleh dibina di dalam kilang sebelum dipasang di tapak pembinaan.
Loji SMR juga mengandungi jumlah bahan radioaktif yang lebih rendah.
Ini bermakna SMR perlukan zon penampan keselamatan lebih kecil berbanding loji nuklear konvensional.
“Misalnya, terdapat beberapa vendor teknologi yang berkata reka bentuk SMR masing-masing memerlukan zon penampan keselamatan hanya beberapa ratus meter,” jelas Encik Toh.
Dr Azha pula berkata:
“Ia mampu menyediakan sumber tenaga karbon rendah yang stabil dari tapak yang kecil, bertepatan dengan kekangan tanah di Singapura serta sasaran negara untuk mencapai pelepasan bersih-sifar menjelang 2050.”
Bahkan, ciri tersebut mampu mengurangkan tahap keseriusan senario kemalangan sekali gus mengecilkan andaian yang menjadi asas kepada mencipta pelan kecemasan.
Bagi sebuah negara bandar yang padat, ini adalah satu pertimbangan yang penting, tambah Dr Azha.
Justeru, ciri-ciri seperti itu menjadikan loji SMR amat sesuai untuk Singapura sebagai negara berpenduduk padat dan mendepani kekangan tanah, kata Dr Azha.
Kini, terdapat lebih 100 reka bentuk SMR dan reaktor Generasi IV dalam proses pembangunan.
Ini termasuk SMR yang memanfaatkan teknologi penyejukan air dan Reaktor Disejukkan Gas Suhu Tinggi.
Bagaimanapun, para pakar tersebut tetap menegaskan kepentingan meneliti teknologi SMR secara menyeluruh.
Encik Toh menekankan bahawa ciri keselamatan dan keupayaan fungsi SMR perlu dinilai secara bebas oleh badan kawal selia nuklear yang berpengalaman bersama barisan pakar teknikal Singapura
Dr Azha menarik perhatian tentang beberapa aspek dalam menjalankan operasi tenaga nuklear, termasuk pemilihan tapak pembinaan loji, penyediaan pelan semasa kecemasan bagi persekitaran padat Singapura serta pengurusan bahan api nuklear terpakai dan sisa radioaktif.
Dalam pada itu, Singapura telah mengukuhkan keupayaannya selaras dengan pendekatan pencapaian yang digariskan oleh IAEA.
Ini termasuk membina keupayaan dalam aspek keselamatan nuklear, pengurusan sisa radioaktif serta penglibatan pihak berkepentingan seperti masyarakat umum.
Singapura bakal menjalankan Misi Fasa Satu Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu (INIR) bersama IAEA pada 2027.
Menjelang semakan itu, Singapura telah melaksanakan institut khas dan pelbagai program sebagai persiapan.
Antaranya ialah pertubuhan SNRSI pada 2014, yang telah dirasmikan sebagai institut sepenuhnya pada 2025.
Menurut Dr Azha, institut itu menyokong pemerintah dalam membina keupayaan penilaian teknikal, memberi saranan bagi aspek dasar dan tatakelola, serta membangunkan modal insan dan asas bukti yang diperlukan bagi membuat keputusan pada masa hadapan.
Ini termasuk menyokong EMA, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).
Dalam dekad yang lalu, SNRSI telah memberi 30 biasiswa possiswazah dalam sains nuklear dan kejuruteraan. Kini, terdapat lebih 50 penyelidik di institut itu.
Menurut EMA, SNRSI merancang untuk memperluaskan tenaga kerja institut itu untuk merangkumi sekitar 100 pakar keselamatan.
Namun, para pakar menegaskan kepentingan memastikan masyarakat Singapura sedia dan yakin terhadap teknologi nuklear.
Tinjauan akademik dan kajian mendapati orang awam mungkin mengaitkan tenaga nuklear dengan risiko kemalangan, sisa radioaktif, kesan kepada kesihatan dan pengganasan, kata Dr Azha.
Beliau menambah bahawa persepsi awam itu juga dibentuk oleh kepercayaan dalam pemerintah dan pakar sains, di samping bagaimana mereka mengimbangi kebaikan dan risiko teknologi nuklear.
Dalam hal ini, Dr Azha percaya Singapura mempunyai kelebihan kerana sudah mempunyai asas kepercayaan dalam pemerintah yang kukuh.
Menurut Encik Toh, pemerintah telah mengambil pelbagai langkah demi meningkatkan kefahaman awam mengenai tenaga nuklear, contohnya untuk mengupas topik seperti peranan tenaga nuklear dan aspek keselamatannya.
Usaha itu merangkumi penerbitan kertas latar belakang mengenai pemupukan teknologi nuklear, penyebaran kandungan media sosial, penglibatan secara bersemuka dengan pelbagai lapisan masyarakat, penganjuran Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) dan lebih lagi.
Mengulas perkara itu, Encik Toh berkata:
“Pemerintah sedar bahawa usaha membina kepercayaan awam dalam peralihan tenaga memerlukan lebih daripada sekadar perkongsian maklumat.
“Ia mengambil masa dan menuntut pemahaman secara ikhlas terhadap kebimbangan serta pandangan rakyat Singapura.”
Pemerintah turut membina keupayaan dalam aspek pengurusan sisa radioaktif.
Sebahagian usaha itu, pihak EMA telah menjalankan kajian pada 2023 untuk memahami keperluan pengurusan sisa radioaktif.
Menurut Encik Toh, kajian tersebut menampilkan pelbagai amalan bagi penyimpanan dan pelupusan sisa radioaktif secara selamat yang sudah kukuh di peringkat antarabangsa.
Ia turut mengesyorkan pilihan pengurusan sisa radioaktif yang sedang diteliti oleh pemerintah.
Pada masa sama, Singapura terus memperdalam kerjasama dengan negara lain serta pertubuhan antarabangsa yang mempunyai keupayaan nuklear yang kukuh, kongsi Encik Toh.
Setakat ini, pemerintah belum membuat keputusan untuk melaksanakan tenaga nuklear.
Oleh kerana terdapat pelbagai aspek dalam mempertimbangkan tenaga nuklear, pemerintah memanfaatkan usaha dan keupayaan rentas pelbagai agensi.
Ini termasuk EMA, NEA, MSE, METI dan selainnya. Setiap agensi memainkan peranan khas yang melengkapi satu sama lain.
Misalnya, METI membentuk hala tuju dasar berkaitan dengan tenaga nuklear, manakala EMA membangunkan keupayaan untuk meneliti kebolehlaksanaan pengerahan tenaga nuklear di Singapura.
Antara peranan MSE pula ialah untuk memajukan dasar mengenai keselamatan nuklear, perlindungan radiasi dan aspek kawal selia tenaga nuklear.
NEA menyokong usaha MSE dengan membina kepakaran dalam aspek keselamatan, sekuriti dan perlindungan nuklear.
Pemerintah turut bekerjasama dengan institut penyelidikan dan pendidikan, seperti SNRSI, untuk membina keupayaan berkaitan yang lebih luas serta menyokong pembinaan kesedaran awam terhadap tenaga nuklear.
Ini selain menyokong usaha melatih pakar dan saintis menerusi inisiatif seperti Program Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan Nuklear (NSREP).
Menurut jurucakap pemerintah, segala usaha tersebut membina keupayaan luas yang diperlukan untuk meneliti kebolehlaksanaan pengerahan tenaga nuklear secara selamat di Singapura atau di rantau ini.
Pada Mei 2026, Encik Wong mengumumkan bahawa Singapura akan memulakan fasa pertama Semakan Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) pada 2027, yang merupakan sebahagian proses berstruktur bagi negara yang sedang mempertimbangkan program kuasa nuklear awam.
Semakan ini merupakan langkah pertama dalam proses panjang bagi negara yang mempertimbangkan program kuasa nuklear awam.
Ia berdasarkan pendekatan pencapaian IAEA, yang mempunyai tiga fasa – dengan pencapaian yang sepadan – untuk membimbing negara-negara, daripada pertimbangan yang perlu dibuat sebelum menggunakan nuklear hingga akhirnya mengendalikan loji nuklear.
Sekiranya sesebuah negara memutuskan untuk menggunakan kuasa nuklear, masih terdapat fasa kedua untuk menilai kesediaannya bagi mempelawa bidaan membina loji, dan fasa ketiga untuk menilai sama ada ia bersedia mentauliahkan dan mengendalikan loji pertamanya dengan selamat.
Menurut Pendekatan Pencapaian IAEA, proses membangunkan program tenaga nuklear hingga ke pelancaran loji tenaga nuklear yang pertama lazimnya mengambil masa 10 hingga 15 tahun.
Menurut ramalan Dr Azha, setelah mengambil kira kekangan tanah serta kepadatan penduduk di Singapura, tempoh masa antara 20 dengan 30 tahun adalah anggaran yang lebih realistik.