Jerebu di Singapura berisiko mencapai tahap berbahaya, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) melebihi 300 dalam beberapa hari mendatang dek keadaan cuaca, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 16 Oktober.

Bagaimanapun, tempoh peralihan monsun – yang dijangka bermula dalam tempoh tiga hingga empat minggu – kemungkinan besar akan meningkatkan mutu udara, kata beliau dalam satu sidang media yang dipengerusikannya bersama Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dan Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau.

“Apabila monsun timur laut membawa angin... sekitar awal Disember, sebarang jerebu dari Sumatera dan Kalimantan akan bertiup ke arah yang menjauhi Singapura,” kata Cik Fu.

Beliau menekankan bahawa bekalan pelitup N95 mencukupi, sama ada di gudang peruncit mahupun dalam simpanan stok pemerintah, meskipun sesetengah kedai runcit mungkin kehabisan stok pelitup buat sementara waktu berikutan peningkatan permintaan.

“Kami akan menjalankan satu lagi pusingan pengagihan pelitup sekiranya keadaan jerebu memerlukan tindakan sedemikian,” kata beliau.

Singapura mengalami tempoh mutu udara buruk yang paling lama sejak 2015 – 16 Oktober menandakan hari ke-12 berturut-turut negara ini mencatatkan bacaan PSI pada tahap tidak sihat.

Kali terakhir Singapura mencatatkan bacaan PSI melebihi 300 adalah pada 2015, apabila ia melonjak tinggi sehingga mencapai 341.

PSI mempunyai lima julat bacaan: baik (0-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih daripada 300).

Oleh sebab ia dikira merentas tempoh 24 jam, Cik Fu menjelaskan bahawa bacaan tersebut berguna untuk menilai tahap pendedahan yang berterusan.

Orang ramai harus merujuk kepada PSI seiring dengan satu lagi ukuran mutu udara, iaitu bacaan PM2.5 setiap jam, tambahnya.

Bacaan PM2.5, yang diukur dalam mikrogram bagi setiap meter padu dan digunakan sebagai ukuran mutu udara semasa, memberikan maklumat berguna mengenai keadaan pada waktu berkenaan, kata beliau.

Bacaan PM2.5 daripada 0 hingga 55 adalah normal, 56 hingga 150 menunjukkan konsentrasi zarah halus dalam udara yang meningkat, 151 hingga 250 dianggap tinggi, dan skor melebihi 251 diklasifikasikan sebagai sangat tinggi.

Cik Fu berkata bacaan PSI 24 jam yang tinggi berserta bacaan PM2.5 yang rendah menunjukkan keadaan semasa telah bertambah baik, walaupun pendedahan berpanjangan masih menjadi satu keprihatinan.

Sebaliknya, bacaan PSI 24 jam yang rendah berserta ukuran PM2.5 yang tinggi menunjukkan keadaan baru sahaja merosot, biarpun purata jangka panjang belum meningkat.

Lantaran itu, Cik Fu menasihatkan orang ramai supaya merujuk bacaan PSI 24 jam bagi merancang kegiatan bagi keesokan harinya, sambil menambah bahawa beliau telah meminta Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk menjadikan maklumat berkenaan lebih jelas di laman webnya.

Bagi kegiatan pada hari berkenaan pula, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada bacaan PM2.5 setiap jam, dan menyesuaikan rancangan mereka mengikut keperluan.

“Bagi individu, keputusan mengenai aktiviti yang boleh anda jalankan bergantung kepada lokasi anda berada, kerana kawasan berbeza mempunyai bacaan yang berbeza,” kata beliau.

Faktor lain yang perlu dipertimbangkan termasuk jenis aktiviti, termasuk sama ada ia melibatkan pendedahan berpanjangan di luar bangunan, serta tahap kesihatan dan fizikal setiap individu.

Menekankan kepentingan mengambil langkah berwaspada yang perlu, Cik Fu turut menyeru penduduk Singapura agar mengambil berat dan bertanya khabar tentang ahli keluarga serta rakan-rakan yang lebih mudah terjejas dengan jerebu, termasuk warga emas, wanita hamil, kanak-kanak kecil, serta mereka yang menghidap penyakit kronik.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti