Selepas beberapa kali mencari pelitup di beberapa farmasi di sekitar kawasan tengah Singapura, Cik Sarah (bukan nama sebenar) akhirnya berjaya mendapatkan sekotak pelitup N95 di pasar raya FairPrice di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) di Yishun.

Beliau agak bernasib baik kerana kotak yang mengandungi 20 pelitup itu merupakan stok terakhir yang terletak di rak belakang kaunter pasar raya itu.

Menurut Cik Sarah, 48 tahun, beliau sudah puas mengelilingi farmasi di beberapa tempat selama beberapa hari untuk mencari pelitup tersebut.

Namun, bekalan pelitup N95 sudah habis dijual di semua farmasi dan pasar raya yang beliau kunjungi.

Bagi Cik Sarah, beliau benar-benar ingin mendapatkan pelitup tersebut buat dirinya dan juga ibunya yang kini sedang berada di KTPH kerana mengalami flu.

“Saya senang hati dapat membeli sekotak pelitup yang terakhir ini.

“Saya sudah pergi ke beberapa farmasi di kawasan Ang Mo Kio dan juga farmasi di hospital ini, tapi sayangnya, semua sudah kehabisan stok pelitup N95.

“Jadi, apabila saya diberitahu di pasar raya FairPrice ini mungkin ada dijual, saya pun langsung ke sini dan ternyata tinggal kotak yang terakhir untuk saya dapatkan.

“Saya amat bersyukur sebab ibu saya yang sedang berada di hospital dan diri saya memerlukannya.

“Sejak jerebu, saya mengalami sakit tekak kerana mutu udara yang tidak sihat dan ibu saya menghidapi flu yang agak teruk.

“Justeru, saya ingin mengambil langkah berjaga-jaga dengan situasi udara yang tidak baik ini agar penyakit kami tidak melarat,” kata beliau.

Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH) yang telah ke 11 farmasi dan pasar raya di beberapa kawasan termasuk Yishun, Woodlands dan Choa Chu Kang pada 16 Oktober, bekalan pelitup N95 didapati sudah kehabisan di kesemua tempat itu sejak 14 dan 15 Oktober.

Menurut kakitangan di salah sebuah farmasi yang terletak di Northpoint City, Yishun, bekalan pelitup N95 sudah habis dijual pada 15 Oktober. Kini yang tinggal hanyalah pelitup perubatan ataupun surgical mask.

Menurut syarikat produk kesihatan, Watsons Singapore, mereka telah memantau keadaan jerebu serta permintaan bagi pelitup secara rapi.

Justeru, langkah bagi penambahan semula bekalan sedang dilaksanakan demi menyokong keperluan pelanggan.

“Berikutan kemerosotan mutu udara baru-baru ini, kami mencatatkan lonjakan mendadak dalam permintaan bagi pelitup yang mencapai lebih lima kali ganda berbanding dua minggu lalu.

“Ini telah mengakibatkan kekurangan bekalan sementara di seluruh cawangan dan kedai dalam talian kami.

“Kami telah mendapatkan bekalan tambahan, dan penambahan semula stok dijangka tiba minggu depan,” kata jurucakap Watsons dalam satu e-mel menjawab pertanyaan Berita Harian pada 16 Oktober.

Seorang lagi yang mendapati pelitup N95 telah habis dijual di kebanyakan farmasi dan pasar raya ialah Encik Rahim Othman, 70 tahun.

Beliau, yang menghidapi penyakit jantung tersumbat dan kesukaran bernafas, berkongsi bahawa beliau memang perlukan pelitup N95 bagi membantu mengurangkan risiko penyakitnya.

Sewaktu ditemui wartawan, Encik Rahim sedang memakai pelitup KN95.

Menurut beliau, pelitup yang digunakan itu telah diagihkan kepada beliau oleh sukarelawan di kawasan kejiranannya di Yishun sekitar dua minggu lalu.

“Saya dapat pelitup KN95 ini daripada relawan di kejiranan saya sekitar dua minggu lalu. Saya terima beberapa keping dan sudah pun menggunakannya.

“Jadi, saya ingin mendapatkan pelitup N95 yang baharu dan cuba mencarinya di beberapa pasar raya dan farmasi tetapi semuanya sudah tiada stok,” kata beliau.

Namun, Encik Rahim yang baharu sahaja mendapat tahu tentang pengagihan pelitup yang dijalankan pemerintah sejak 14 Oktober, telah bercadang untuk mengambilnya di kelab masyarakat berdekatan.

Singapura telah mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam pada tahap tidak sihat setiap hari sejak 5 Oktober.

Tempoh jerebu selama 12 hari secara berterusan itu merupakan julat mutu udara buruk yang paling lama dialami di Singapura sejak krisis jerebu pada 2015.

Bacaan PSI di kawasan tengah pada 3 petang ialah 229, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi baharu bagi 2026.

Setakat 6 petang pada 16 Oktober, bacaan PSI di kawasan tengah telah mencecah 227.

Sementara itu, kawasan barat 204; timur 203; selatan 182 manakala bacaan di kawasan utara ialah 162.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti