Kerjasama serantau akan memainkan peranan yang semakin penting sedang minat terhadap tenaga nuklear dan aplikasi yang lain terus meningkat di Asia Tenggara, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Singapura di Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke-70 yang diadakan di Vienna, Austria, pada 14 September.

Cik Fu, menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Singapura dalam memacu keupayaan bertindak balas terhadap kecemasan nuklear di rantau ini.

“Singapura akan terus bekerjasama dengan negara anggota Asean dan IAEA untuk memperkukuh kesediaan dan tindak balas kecemasan, mengendalikan protokol serantau, memperluaskan rangkaian pemantauan radiasi dan aturan perkongsian maklumat, serta melaksanakan latihan demi memastikan kesiapsiagaan.

“Kita boleh melakukan demikian menerusi platform seperti ASEANTOM dan Aturan Praktikal Asean-IAEA.

“Usaha ini membina keyakinan, mempertingkat penyelarasan dan memperkukuh keupayaan rantau ini untuk bertindak balas terhadap kecemasan nuklear atau radiologi,” kata beliau.

Sebagai sebuah negara kota yang kecil dan padat dengan kekurangan sumber tenaga alternatif, Singapura mengambil pendekatan yang cermat dan berstruktur dalam menilai potensi tenaga nuklear, kata Cik Fu.

Beliau menjelaskan bahawa Singapura sedang mencari jalan yang dapat memenuhi matlamat iklim dan tenaga jangka panjangnya, termasuk sama ada tenaga nuklear boleh menjadi pilihan yang berdaya maju atau tidak.

Dalam konteks ini, beliau berkata negara ini sedang membina keupayaan untuk mengkaji teknologi nuklear termaju, termasuk reaktor modul kecil (SMR).

Namun, sebelum sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear dibuat, Singapura mesti mempunyai keupayaan saintifik, teknikal, institusi dan kawal selia yang kukuh untuk menilai teknologi reaktor secara objektif.

“Kami sedang membina keupayaan ini secara berterusan merentasi pemerintah, institusi penyelidikan dan sistem kawal selia kami.

“Kami juga sedang memperkukuh kerjasama dengan pengawal selia nuklear dan rakan kongsi antarabangsa untuk mempelajari pendekatan mereka terhadap tadbir urus, peraturan dan keselamatan,” kata beliau.

Sebagai langkah persediaan, Singapura bakal menjalankan Misi Fasa 1 Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu (INIR) bersama IAEA pada 2027.

Misi itu akan membolehkan Singapura menanda aras keupayaannya dengan Pendekatan Penanda Aras IAEA.

Ini selain bertujuan menilai tahap kesediaan negara dalam membuat keputusan termaklum mengenai penggunaan tenaga nuklear dan mengenal pasti bidang yang perlu dibangunkan lebih lanjut.

Cik Fu menegaskan bahawa pelaksanaan Misi INIR itu bukanlah satu komitmen untuk menerima tenaga nuklear, namun adalah cara untuk membantu menentukan sama ada Singapura mempunyai kepakaran, institusi dan rangka kerja untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat dan lengkap.

Selain aspek tenaga, Singapura terus menyokong penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman, termasuk perubatan nuklear.

Cik Fu mendedahkan bahawa Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) akan ditetapkan sebagai ‘Rays of Hope Anchor Centre’ di persidangan tersebut untuk membantu meningkatkan keupayaan perubatan nuklear di rantau ini.

Singapura juga mengesahkan komitmennya untuk memenuhi ikrar sumbangan Dana Kerjasama Teknikal bagi 2027.

Dana itu membiayai Program Kerjasama Teknikal yang membantu anggota negara memanfaatkan sains dan teknologi nuklear untuk pembangunan.

Dengan Singapura bakal mengambil alih sebagai pengerusi Asean pada 2027, Cik Fu berkata negara ini komited untuk terus bekerjasama secara membina bersama rakan serantau dan IAEA.

“Kami berharap dapat bekerjasama secara membina dengan negara-negara anggota Asean dan IAEA untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa ke arah mencapai matlamat bersama kita, iaitu penggunaan teknologi nuklear yang selamat, terjamin, dan aman demi manfaat semua,” kata beliau.