Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu: S’pura mahu perketat undang-undang jerebu meski hadapi cabaran kumpul bukti, kerjasama
Grace Fu: S’pura mahu perketat undang-undang jerebu meski hadapi cabaran kumpul bukti, kerjasama
Grace Fu: S’pura mahu perketat undang-undang jerebu meski hadapi cabaran kumpul bukti, kerjasama
Singapura sedang meneliti usaha memperkukuh undang-undang jerebu rentas sempadan bagi menangani kelemahan penguatkuasaan dan meningkatkan keupayaan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kebakaran.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata pada 27 Oktober bahawa pengumpulan bukti dan mendapatkan kerjasama syarikat luar negara merupakan dua cabaran utama dalam menguatkuasakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Beliau berkata demikian pada acara perolehan mampan anjuran Majlis Sekitaran Singapura (SEC), ketika pemerintah memperluas siasatan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan keadaan jerebu baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya 20 syarikat di Singapura dan Indonesia telah menerima notis undang-undang.
Pada mulanya, 10 syarikat Indonesia menerima notis Seksyen 9 yang mewajibkan langkah pencegahan kebakaran, namun tiada penalti dikenakan jika mereka tidak memberikan maklum balas.
Singapura kemudian mengeluarkan notis Seksyen 10 kepada 10 syarikat minyak sawit dan perhutanan berdaftar di Singapura bagi mendapatkan maklumat bagi siasatan.
Cik Fu menjelaskan bahawa Seksyen 9 bertujuan mencegah kebakaran, manakala Seksyen 10 membantu dalam pengumpulan bukti.
Undang-undang itu pernah digunakan pada 2015, namun tiada syarikat didakwa atau didenda.
Kes empat syarikat Indonesia itu masih terbuka, dengan tiga daripadanya sekali lagi dikaitkan dengan jerebu 2026.
Menurut Cik Fu, penguatkuasaan sukar apabila syarikat luar negara enggan bekerjasama dan pegawainya tidak memasuki Singapura.
Singapura tetap bersedia bekerjasama dengan Indonesia, namun undang-undang penguatkuasaannya tidak seharusnya membenarkan syarikat menghalang siasatan hanya dengan enggan bekerjasama atau kekal di luar Singapura.
Cabaran kedua ialah mengumpul dan mengesahkan bukti merentasi sempadan, tambah beliau.
Selain membuktikan berlakunya kebakaran, Singapura perlu mengenal pasti kaitan korporat dan operasi, termasuk pemilikan atau penguasaan tanah, hubungan antara syarikat serta langkah yang diambil untuk mencegah dan memadamkan kebakaran.
Struktur syarikat dan rantaian bekalan yang merentasi pelbagai bidang kuasa menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan serta mengesahkan maklumat.
Cik Fu berkata: “Walaupun syarikat luar negara memberikan maklumat atau dokumen, pengesahan secara bebas tetap sukar.”
Pihak berkuasa Singapura juga tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki bidang kuasa negara lain untuk menjalankan siasatan, tambah beliau.
Sehubungan itu, pemerintah mengumumkan pada 23 Oktober pembentukan panel pakar guaman, audit dan penyiasatan bagi menyokong siasatan rentas sempadan terhadap operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan syarikat yang dikenal pasti.
Cik Fu berkata Singapura sedang menilai sama ada undang-undang semasa memadai.
Semakan ini bertujuan menangani kelemahan penguatkuasaan dan memperkukuh tanggungjawab syarikat, serta mungkin membawa kepada pindaan atau pengenalan undang-undang baharu jika perlu.
Namun, undang-undang hanya satu daripada cara Singapura menangani isu ini. Cik Fu berkata langkah lain, termasuk pendekatan kawal selia dan ekonomi, turut akan diteroka.
Merujuk kepada syarikat Singapura yang menerima notis Seksyen 10 pada 23 Oktober, Cik Fu berkata: “Penelitian lebih ketat ini telah menyebabkan syarikat memberikan maklum balas secara terbuka dan menjelaskan pendirian masing-masing. Lebih penting, syarikat bukan hanya bertanggungjawab kepada pihak pengawal selia.
“Pelabur, pembiaya, pelanggan dan masyarakat umum semakin mengharapkan syarikat mengamalkan penjagaan alam sekitar secara bertanggungjawab.”
Kesemua 10 syarikat Singapura mengakui menerima permintaan maklumat, namun tiga tidak menyatakan secara jelas kesediaan bekerjasama.
Dua syarikat mempunyai kaitan dengan Asia Pulp & Paper (APP), yang produknya termasuk Paseo, Nice dan Paperline.
SEC meningkatkan pemeriksaan rantaian bekalan dan pada 18 Oktober mengambil tindakan terhadap APP selepas pembekalnya dikaitkan dengan kebakaran.
Penggunaan label hijau APP mungkin digantung jika langkah pencegahannya tidak memadai.
Cik Fu menegaskan bahawa perolehan mampan bukan sekadar label, tetapi juga penghasilan yang bertanggungjawab, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.