Selama berminggu-minggu, jerebu menyelubungi Kuala Lumpur dan Singapura, manakala asap dari Kalimantan kini sampai ke Jakarta. 

Pada 13 Oktober, kepekatan zarah halus di Kuala Lumpur mencecah 166 mikrogram bagi setiap meter padu (mcg/m³), lebih 10 kali ganda paras harian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Pemantau bebas menganggarkan hampir 900,000 hektar kawasan terbakar di Indonesia menjelang akhir Ogos, manakala jumlah titik panas di rantau ini pada separuh pertama 2026 meningkat sekitar 86 peratus berbanding 2025.

Setiap kali musim jerebu tiba, kita mudah menuding jari mencari pihak yang bersalah.

Kita mahu mengelakkannya. 

Rakyat Indonesia paling awal dan paling teruk terjejas: petani dan masyarakat orang asal di Kalimantan dan Sumatera, kanak-kanak di Pontianak dan Pekanbaru serta anggota bomba yang bertugas dalam kepulan asap. 

Persoalan yang perlu dijawab Asean bukanlah siapa yang bersalah, tetapi bila ahli anggotanya akan menggunakan mekanisme yang telah dipersetujui untuk menangani jerebu.

Apabila menteri luar Asean bermesyuarat di Filipina pada November, isu jerebu sekali lagi bakal dibangkitkan. Menteri Luar Malaysia menyatakan bahawa mekanisme pengurusan bencana Asean tidak merangkumi jerebu. 

Beliau tepat mengenai kelemahan penyelarasan institusi, tetapi masalah sebenar bukan kekurangan undang-undang, sebaliknya penguatkuasaan melalui mekanisme yang sesuai.

Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) 2002 diluluskan secara rasmi oleh semua negara anggota ketika itu. 

Di bawah Artikel 3, setiap pihak bersetuju tanpa sebarang pengecualian untuk memastikan kegiatan di bawah bidang kuasanya tidak membawa kesan buruk kepada negara jiran.

Pada 2025, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan bahawa setiap negara wajib mengambil langkah pencegahan yang ketat terhadap kerosakan alam sekitar yang boleh dijangka, termasuk kerosakan pada sistem iklim.

Prinsip tidak campur tangan memberi setiap negara hak menguruskan hal ehwal sendiri, tetapi tidak membenarkan tindakannya menjejaskan negara jiran.

Meminta sesebuah negara menunaikan kewajipan yang telah dipersetujuinya bukanlah campur tangan.

Piagam Asean sendiri mengimbangi prinsip itu dengan tanggungjawab bersama.

Masalahnya ialah kekurangan langkah untuk melaksanakan perjanjian itu.

Selepas 24 tahun, pusat penyelarasan yang dijanjikan masih belum mendapat pengiktirafan undang-undang untuk beroperasi, walaupun pejabat sekretariatnya dibuka di Jakarta pada April.

Tiada protokol rasmi diluluskan setakat ini.

Dana Jerebu pula masih bergantung pada sumbangan sukarela, dengan sasaran awal hanya AS$500,000 ($650,000), berbanding kerugian AS$16.1 bilion akibat kebakaran di Indonesia pada 2015, menurut anggaran Bank Dunia.

Asean mampu melakukan lebih baik.

Seorang daripada kami merupakan Setiausaha Agung Asean ketika AATHP dan Tindak Balas Kecemasan dirundingkan dalam empat bulan selepas tsunami Lautan Hindi pada 2004. 

Seorang lagi berpengalaman puluhan tahun dalam bantuan kemanusiaan serantau.

Kami sendiri menyaksikan Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) mendapat kepercayaan negara anggota dengan membantu pemerintah, tanpa mengambil alih kuasa mereka. 

Pada 2018, pusat itu membantu Indonesia menerajui usaha menangani tsunami dan gempa bumi di Sulawesi Tengah. Pendekatan inilah yang perlu digunakan untuk menangani jerebu.

Kami mencadangkan lima langkah.

Kebanyakannya tidak memerlukan perjanjian baharu, hanya kesungguhan melaksanakan perjanjian semasa.

Pertama, setiap musim jerebu, negara yang terjejas perlu mengemukakan permintaan rasmi secara bertulis untuk mendapatkan maklumat dan mengadakan rundingan mengikut Artikel 4(2).

Kementerian Luar Indonesia menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada pemerintah negara jiran, walaupun Malaysia mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak pada September.

Permintaan rasmi bukan tuduhan, sebaliknya langkah yang ditetapkan dalam perjanjian untuk membuka ruang perbincangan yang tidak dapat dicapai melalui kenyataan tidak rasmi.

Kedua, semua pihak perlu segera mengesahkan Perjanjian Penubuhan pusat penyelarasan supaya ia dapat berfungsi seperti Pusat AHA, dengan paparan data bersama yang menunjukkan titik panas pada peta kawasan tanah yang diberikan hak untuk diusahakan oleh syarikat perladangan.

Persidangan Pihak-Pihak juga perlu menggunakan kuasa di bawah Artikel 18 untuk menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan yang membantu, bukan menyalahkan atau menghukum, seperti jawatankuasa Perjanjian Paris yang dipersetujui semua anggota Asean.

Tanpa semakan berkala bagi memastikan kewajipan dipenuhi, usaha menangani jerebu terpaksa bermula dari awal setiap musim.

Ketiga, Persidangan Pihak-Pihak perlu bersetuju supaya pihak berkuasa penguatkuasaan saling berkongsi bukti.

Banyak syarikat perladangan mempunyai ibu pejabat, disenaraikan di bursa saham atau menerima pembiayaan di Singapura atau Malaysia.

Perkongsian ini membantu pendakwa raya Indonesia mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut, selain memudahkan Singapura menguatkuasakan undang-undang jerebunya. Indonesia mendapat cara tambahan untuk bertindak, tanpa kehilangan kuasa.

Keempat, menteri alam sekitar dan kesihatan perlu bersama-sama menetapkan paras mutu udara yang selamat untuk kesihatan secara berperingkat mengikut sasaran sementara WHO, serta kaedah seragam untuk merekodkan penyakit dan kematian akibat jerebu.

Menurut anggaran kajian, jerebu pada 2015 sahaja menyebabkan sekitar 100,000 kematian lebih daripada biasa di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Tanpa angka yang jelas, tindakan tidak akan diambil.

Begitu juga dengan pelepasan karbon.

Ketika kebakaran memuncak pada 2015, pelepasan karbon setiap hari melebihi jumlah pelepasan seluruh ekonomi Amerika Syarikat.

Namun, pelepasan akibat kebakaran tanah gambut tidak dicatat secara berasingan dalam laporan negara.

Semua pihak perlu melaporkannya secara berasingan di bawah Perjanjian Paris supaya musim kebakaran yang teruk turut dicatat sebagai kegagalan menangani perubahan iklim.

Kelima, Dana Jerebu perlu beralih daripada sumbangan sukarela kepada sistem insurans, dengan kadar sumbangan negara sebagai panduan mulai sekarang.

Ketika semakan Pelan Hala Tuju Kedua pada 2028, syarikat yang diberi hak mengusahakan tanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap risiko kebakaran di seluruh kawasan mereka.

Langkah ini perlu disokong insurans kebakaran wajib dan levi ke atas syarikat terbabit, mengikut sistem dana pampasan antarabangsa bagi pencemaran minyak.

Mereka yang meraih keuntungan daripada tanah mesti menanggung risiko kebakaran, bukan pekebun kecil atau dana awam.

Pemantau kebakaran, termasuk penganalisis bebas dan pertubuhan masyarakat, wajar dilindungi, bukan dicurigai.

Perlindungan terbaik ialah pengiktirafan rasmi. 

Semua pihak perlu mengiktiraf pemantau bebas secara rasmi dan menggunakan data mereka dalam pemantauan di bawah Perjanjian itu. 

Pada masa sama, suruhanjaya hak asasi manusia Asean perlu merangka garis panduan serantau bagi melindungi pejuang alam sekitar.

Ancaman baru-baru ini untuk menyekat orang ramai daripada mendapatkan data hutan dan kebakaran bertentangan dengan semangat AATHP serta matlamatnya melindungi rakyat.

Pada Oktober 2025 di Kuala Lumpur, pemimpin Asean menegaskan hak setiap individu terhadap persekitaran selamat, bersih, sihat dan mampan. 

Belum setahun berlalu, janji itu diuji melalui setiap nafas dari Pontianak ke Johor Bahru hingga Singapura. 

Kebakaran pasti berulang tahun depan.

Keputusan menteri pada November menentukan sama ada Perjanjian itu kembali berfungsi atau terus tersimpan tanpa digunakan untuk tahun ke-25. 

Muafakat ialah pendekatan Asean. Ia sepatutnya membuka jalan kepada tindakan, bukan menjadi tempat berselindung.

Duta Ong Keng Yong merupakan Setiausaha Agung Asean dari 2003 hingga 2007 dan kini Timbalan Pengerusi Eksekutif Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura. Profesor Jemilah Mahmood ialah Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planet Sunway di Universiti Sunway, Malaysia, serta pengasas MERCY Malaysia. Artikel ini kali pertama diterbitkan RSIS Commentary.