GRC Marsiling-Yew Tee, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), melancarkan siri kedua kempen pengumpulan dana ‘Marsiling-Yew Tee GIVES – Humanitarian Aid to Gaza’.
Berlangsung dari 14 November hingga 6 Disember, masyarakat akan bersatu sekali lagi untuk mengumpul dana bagi mereka yang terjejas oleh krisis berterusan di Gaza melalui inisiatif beriani amal.
Kempen yang dilancarkan di Masjid An-Nur itu dihadiri penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Marsiling-Yew Tee, termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; dan penasihat kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Limbang, Encik Ong Teng Koon.
Inisiatif itu mengajak orang ramai menyumbang kepada usaha kemanusiaan tersebut dengan menderma, dengan pilihan untuk mendapatkan beriani itu di salah satu daripada empat tempat pungutan derma mingguan yang ditetapkan di sekitar GRC Marsiling-Yew Tee.
1) 14 November 2024, Masjid An-Nur, 6 petang hingga 9 malam.
2) 24 November 2024, Foyer Kelab Masyarakat (CC) Yew Tee, 6 petang hingga 7 malam.
3) 1 Disember 2024, Foyer Blok 306A Woodlands Street 31, 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.
4) 6 Disember 2024, Kampong Pavilion berdekatan Blok 669A Choa Chu Kang Crescent, 6 petang hingga 8 malam.
Selain itu, penderma boleh membuat sumbangan terus melalui pelbagai platform dalam talian seperti go.gov.sg/mytgives2, serta sumbangan tunai dan cek di kotak sumbangan di kelab masyarakat (CC) dalam GRC.
Menurut satu kenyataan media Persatuan Rakyat (PA), semua dana yang dikumpul itu akan disalurkan kepada menyediakan bantuan penting, termasuk makanan, bekalan perubatan dan sokongan pendidikan kepada mereka yang terjejas oleh krisis yang sedang berlaku di Gaza.
Encik Zaqy, yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Marsiling, menghargai penglibatan berterusan masyarakat dalam kempen itu, yang berjaya menjual lebih 1,300 set beriani.
Dalam meneliti sentimen masyarakat terhadap kemelut di Gaza, Encik Zaqy berkata:
“Inilah platform yang memberi kita peluang menggabungkan usaha seluruh masyarakat, untuk kali kedua, dan memastikan sokongan yang berterusan serta melakukan sesuatu yang positif melalui pengumpulan dana dan doa, seperti yang kita lakukan malam ini di Masjid An-Nur.”
“Kita berharap bahawa usaha kita akan memberi harapan kepada orang di Gaza. Walaupun kita jauh dari mereka, kita terus mahu membantu dan membawa kasih dari Singapura.”
Dalam pada itu, penderma juga mempunyai pilihan untuk menderma beriani mereka kepada benefisiari tempatan.
“(Ia adalah) dalam semangat memupuk rasa perpaduan dan menunjukkan komitmen untuk menangani keperluan secara global dan tempatan,” kongsi PA.
Menurut salah seorang penderma beriani amal itu, Encik Muhammad Afiq Abdul Aziz, 31 tahun, beliau terdorong mengambil bahagian kerana ia mempromosikan bantuan kepada Gaza.
“Saya berharap sumbangan saya, walaupun kecil, dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan di Gaza. Saya hanya cuba untuk membantu semampu saya,” ujar beliau, yang tinggal di estet perumahan Marsiling.
Kempen itu akan sampai ke kemuncaknya pada 6 Disember, dengan majlis penyampaian cek kepada RLAF apabila jumlah keseluruhan yang dikumpul akan didedahkan.
Sebelum ini, mereka sudah menyumbang lebih $79,000 kepada RLAF pada Mac 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg