Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura bimbang krisis kemanusiaan di Timur Tengah kian teruk

Ulangi pendirian tindakan Israel melampaui batas; Gesa gencatan senjata serta-merta, tebusan dibebaskan; S’pura hantar bantuan kelima bernilai $700,000
Nov 1, 2024 | 9:12 PM
(Dari kiri) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berbincang bersama para wakil badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan Unicef dan RLAF yang hadir dalam majlis penyerahan cek di pejabat Kementerian Ehwal Luar pada 1 November.
(Dari kiri) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berbincang bersama para wakil badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan Unicef dan RLAF yang hadir dalam majlis penyerahan cek di pejabat Kementerian Ehwal Luar pada 1 November. - Foto MFA

Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Timur Tengah amat mengerikan, dengan konflik Israel-Palestin kini melimpah ke Lebanon dan mempunyai risiko nyata merebak ke negara-negara lain, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Balakrishnan berkata Singapura sangat bimbang sekiranya krisis kemanusiaan ini akan menjadi semakin teruk dan ulangi kenyataan yang dibuatnya pada Mac 2024 bahawa tindak balas ketenteraan Israel “sudah melampaui batas” dan Singapura telah menyampaikan mesej ini “kepada peringkat tertinggi pemerintah Israel”.

Dr Balakrishnan berkata:

“Sudah lebih setahun sejak serangan pengganas yang dimulakan kumpulan Hamas pada 7 Oktober dan disebabkan itu, tercetusnya konflik yang bermula di Gaza. Ia kini melibatkan Lebanon dan mempunyai risiko yang sangat nyata untuk menjangkau melewati negara-negara ini (dan) menjangkau aspek ketenteraan.

“Kita sangat bimbang sekiranya krisis kemanusiaan ini akan menjadi semakin teruk.”

Dr Balakrishnan juga menggesa semua pihak mengadakan gencatan senjata kemanusiaan di Gaza dan supaya semua tebusan dibebaskan tanpa bersyarat.

Dr Balakrishnan berkata demikian di majlis penyerahan pakej bantuan kemanusiaan kelima Singapura untuk Gaza berupa cek bernilai $700,000 daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) pada 1 November.

Nilai ini termasuk AS$200,000 ($264,870) yang disumbangkan pemerintah Singapura.

Cek itu diserahkan kepada Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Sejak bermulanya konflik Israel-Palestin, Singapura telah memberikan lima bantuan kemanusiaan bernilai sekitar $18 juta untuk Gaza. Ini termasuk $8.1 juta dana yang dikumpul RLAF untuk UNRWA, serta lebih $2 juta yang turut dikumpul RLAF untuk Unicef.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang turut hadir di majlis itu berkata:

“Rumah yang musnah, atau keluarga yang berpecah belah atau terpisah, adalah ciri-ciri yang menyayat hati sesiapa sahaja yang menyaksikannya di mana sahaja – di media atau pun di televisyen.

“Jelas semuanya adalah kerana tindakan tentera Israel yang telah melampaui batas.”

Majlis di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) itu turut dihadiri wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi.

Dalam pada itu, Dr Balakrishnan juga menyampaikan “kebimbangan mendalam” Singapura setelah Parlimen Israel, Knesset, pada 28 Oktober, meluluskan undang-undang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dari beroperasi di wilayah dan kawasan diduduki Israel.

Ini, menurutnya, boleh menghalang pelaksanaan usaha penting agensi PBB dalam memberi bantuan bagi rakyat Gaza.

Bantuan kemanusiaan Singapura yang terakhir pada Julai 2024 melibatkan penghantaran sekitar 300 tan sardin dalam tin dan 1,000 tan beras putih.

Memberi perkembangan terkini mengenai penghantaran itu, Dr Balakrishnan berkata bantuan itu kini berada di Cyprus dan sedang menanti dipindahkan ke atas kapal untuk ke Israel sebelum disalurkan ke Gaza.

Singapura menghantar bantuan kemanusiaan pertamanya ke Gaza pada November 2023, apabila Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan) berangkat ke Kahirah, Mesir bagi menyerahkan sumbangan derma warga Singapura serta barangan kemanusiaan dari Palang Merah Singapura, seperti bekalan perubatan dan makanan, kit pembersihan kepada mangsa di Gaza.

Pada bulan itu juga, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menghantar 10 tan bekalan kemanusiaan sebelum melakukan penghantaran bekalan makanan kedua, sebanyak 20 tan, pada Mac 2024 yang dibantu Kerajaan Jordan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg