Topik diikuti
Pergi ke BHkuGreater Sentosa beri nafas baru pantai selatan S’pura
Greater Sentosa beri nafas baru pantai selatan S’pura
Greater Sentosa beri nafas baru pantai selatan S’pura
Pelan Induk Greater Sentosa akan merangkumi kawasan seluas 500 hektar di Sentosa dan 120 hektar di Pulau Brani, yang menyediakan ruang untuk hotel, tarikan, serta pengalaman gaya hidup baharu.
Demikian antara rancangan bercita-cita tinggi yang bertujuan memberi nafas baharu kepada kawasan pantai selatan.
Tarikan baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat mulai awal 2030-an.
Apabila siap sepenuhnya pada 2045, ia dijangka menarik jumlah pengunjung lebih seganda berbanding bilangan yang mengunjungi Sentosa pada masa ini.
Antara tarikan yang bakal ditawarkan di Greater Sentosa ialah Imbiah Lookout Walk iaitu laluan pejalan kaki berbumbung dan bertingkat merentasi kawasan hutan sekunder, menghubungkan tarikan Sentosa Sensoryscape ke Imbiah Lookout, serta laluan alam semula jadi di sekitarnya.
Ia dijangka menjadi antara beberapa projek terawal yang akan siap di bawah Pelan Induk Greater Sentosa pada awal 2030-an.
Selain itu, Imbiah Canopy yang terletak di atas Mount Imbiah, akan menawarkan pemandangan panorama yang indah seluruh pulau tersebut.
Rancangan bagi tarikan tersebut termasuk konsep makan malam yang disertai pengalaman yang menyeronokkan, pembinaan tarikan baharu, serta ruang acara berbumbung.
Bangunan warisan yang terletak di bahagian bawah, Imbiah Canopy Plaza, pula akan menempatkan kafe, hotel dan restoran butik.
Pengunjung akan mendapat gambaran awal mengenai Greater Sentosa di pintu masuk utama, iaitu Hab Pengangkutan Island Heart, yang menghubungkan tanah besar Singapura, Pulau Brani dan Sentosa.
Antara tarikan utamanya ialah kanopi berkuasa suria, yang menyediakan perlindungan daripada semua keadaan cuaca, selain hotel yang dihiasi landskap hijau, dengan tanaman menegak, serta pilihan tempat makan baharu di pesisiran.
Satu sistem pengangkutan baharu pula akan dibina untuk menggantikan sistem monorel Sentosa Express.
Tarikh pengangkutan baharu itu mula beroperasi, bagaimanapun, belum diperincikan.
Ia bakal melengkapkan pilihan pengangkutan sedia ada seperti Kereta Kabel Singapura dan pilihan perjalanan lain yang sedang dalam perancangan, seperti teksi air.
Sebagai salah satu tapak pembangunan terbesar di bawah pelan Greater Sentosa, Brani West akan menempatkan tarikan baharu yang ‘membawa perubahan besar’.
Kawasan di pesisiran airnya juga akan menampilkan unsur yang meraikan warisan pelabuhannya, di samping pelbagai kegiatan berasaskan air.
Terletak di titik pertemuan antara hutan dengan pesisiran Pantai Siloso, kompleks Sensorium bakal menampilkan ruang hijau redup yang direka khas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung, lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca Singapura yang panas.
Ia juga akan merangkumi pengalaman gaya hidup, tarikan dalam bangunan, serta ruang untuk penganjuran pesta.
Kawasan pantai sepanjang tiga kilometer di Sentosa turut diberi nafas baharu.
Pulau-pulau kecil yang melindungi garisan pantai daripada hakisan juga akan dihubungkan melalui pelantar laluan terapung, sekali gus membawa pengunjung lebih dekat dengan air.
Antara idea yang sedang diterokai termasuk kelab pantai yang menawarkan pemandangan matahari terbit dan terbenam, serta pilihan tempat makan di atas pokok, di sepanjang pesisiran pantai.
