Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gubahan lagu superintenden polis bawa rentak ke hati masyarakat

Dec 30, 2025 | 9:01 PM
Singapore, Singapore Police Force, SPF, band, conductor, Esplanade
Pengarah Muzik Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF), Superintenden Sulaiman Abdul Wahab (tengah), ketika memimpin pancaragam itu semasa acara gala bagi memperingati ulang tahun ke-100 Pancaragam SPF, diadakan di Dewan Konsert Esplanade pada 30 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI


Bakat dan minat Superintenden Sulaiman Abdul Wahab dalam bidang muzik memang terserlah sejak dari kecil lagi apabila beliau mula memetik gitar pada usia sembilan tahun. 

Lantaran itu, apabila menyaksikan konduktor berseragam memegang baton semasa beliau menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau terpanggil untuk menyertai pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF). 

Detik itu adalah permulaan dalam perjalanannya memimpin pancaragam itu sebagai Pengarah Muzik sejak enam tahun lalu. 

Kerjaya seninya itu mencapai kemuncak apabila lagu gubahan beliau berjudul Bringing the Beat to You (Membawa Rentak Kepada Anda) dimainkan semasa acara gala bagi memperingati ulang tahun ke-100 Pancaragam SPF, di Dewan Konsert Esplanade pada 30 Disember.  

Menjelaskan lebih lanjut, Superintenden Sulaiman, 52 tahun, berkata inspirasi karya tersebut tercetus apabila beliau merenung semula makna di sebalik usia 100 tahun bagi Pancaragam SPF.

Menurutnya, karya tersebut mencerminkan perjalanan SPF selama seabad dalam menunjukkan disiplin dan ketahanan selain menegaskan kepercayaannya terhadap muzik sebagai jambatan yang menghubungkan SPF dengan masyarakat Singapura.

“Seiring dengan slogan Bringing the Beat to You, kami mahu mencipta rentak kami yang tersendiri,” katanya yang belajar bermain saksofon semasa menyertai pancaragam ketenteraan di sekolah menengahnya. 

Beliau menjelaskan bahawa gubahan karya itu dimulakan dengan nyanyian solo, diikuti rentak yang mencerminkan sifat patriotik, sebelum disertai nyanyian koir dan korus berirama disko bagi mewujudkan suasana perayaan.

“Niat saya adalah untuk menyatukan masa lalu dan masa kini. Ia mencerminkan permulaan kami, perjalanan yang telah dilalui, serta disiplin dan ketahanan Pancaragam SPF,” tambah bapa empat anak itu.

Bagi Superintenden Sulaiman, memimpin Pancaragam SPF bukan sekadar untuk menghasilkan muzik tetapi juga satu bentuk khidmat dan sumbangan kepada negara.

Apabila ditanya tentang peranan muzik dalam merapatkan hubungan antara SPF dan masyarakat, beliau berkata pancaragam tersebut telah terus berkembang dengan memperluaskan koleksi lagu yang boleh dipersembahkan bukan sahaja untuk perbarisan tradisional, malah menerusi konsert yang mencerminkan identiti berbilang budaya Singapura.

Pancaragam SPF juga giat mendekati masyarakat melalui program jangkauan di ruang masyarakat, yang mana “muzik telah menjadi jambatan yang berkesan untuk mendekatkan Pancaragam SPF dengan orang ramai”, tambah beliau.

“Seiring dengan slogan Bringing the Beat to You, kami mahu mencipta rentak kami yang tersendiri... Niat saya adalah untuk menyatukan masa lalu dan masa kini. Ia mencerminkan permulaan kami, perjalanan yang telah dilalui, serta disiplin dan ketahanan Pancaragam SPF (Pasukan Polis Singapura).”
Superintenden Sulaiman Abdul Wahab.
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg