Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai poligraf di CID berbakat di pentas tari

Dec 30, 2025 | 9:01 PM
Sarjan (SGT) 3 Sharmilah Muhammad Salim, persembahan tarian, gala, ulang tahun ke-100 Pancaragam SPF
Sarjan (SGT) 3 Sharmilah Muhammad Salim telah membuat persiapan rapi bagi persembahan tarian untuk gala bagi memperingati ulang tahun ke-100 Pancaragam SPF yang diadakan pada 30 Disember di Dewan Konsert Esplanade. - Foto ZAOBAO

Pada siang hari, Sarjan (SGT) 3 Sharmilah Muhammad Salim memikul tugas sebagai seorang pemeriksa poligraf di Jabatan Siasatan Jenayah (CID), yang menjalankan pemeriksaan poligraf untuk menilai kebenaran maklumat yang diberikan oleh individu.

Namun apabila menjelang malam, beliau yang berusia 33 tahun akan ‘berubah wajah’ dan menyelami dunia tarian sebagai penari bersama kumpulan tarian Pasukan Polis Singapura (SPF). 

SGT 3 Sharmilah adalah antara pegawai yang terlibat dalam persembahan tarian Tapestry of Temasek semasa acara gala bagi memperingati ulang tahun ke-100 Pancaragam SPF, yang diadakan di Dewan Konsert Esplanade pada 30 Disember. 

Melahirkan rasa teruja dapat mengambil bahagian dalam acara itu, beliau yang menyifatkan tarian sebagai saluran kreatif bagi menampilkan sudut yang berbeza dalam pasukan polis, berkata:

“Peluang untuk menyumbang dalam acara bersejarah ini amat bermakna. Melakukan apa yang saya cintai sambil mewakili SPF menjadikan pengalaman ini lebih berharga.” 

Berkongsi lebih lanjut, SGT 3 Sharmilah berkata tarian bukan sekadar hobi, ia merupakan aspek penting dalam hidupnya yang membentuk disiplin dan fokus dalam dirinya, di samping memberinya ruang untuk menjadi kreatif. 

Perjalanannya dalam dunia tarian bermula pada 2017 apabila beliau membuat persembahan bersama SPF di Sidang Puncak Asia Timur dan Polis Asean (Aseanapol), sebuah organisasi serantau yang memupuk kerjasama antara pasukan polis di Asia Tenggara. 

Pengalaman itu kemudian memupuk minatnya dalam bidang tarian lantas beliau terus berusaha untuk mengasah kemahiran dalam gaya tarian seperti dancehall, lyrical dan jazz.

Setiap kali ada peluang, beliau akan menghadiri kelas terbuka, bengkel dan mengambil bahagian dalam produksi tarian, sekali gus sentiasa mencabar diri untuk berkembang dari segi teknikal dan kreativiti.

Pada 2024, SGT 3 Sharmilah memutuskan menjalani uji bakat bagi pasukan tarian SPF dalam satu persembahan ketenteraan antarabangsa tahunan yang menampilkan kumpulan tentera bernama Basel Tattoo

Selepas dua pusingan pemilihan, beliau terpilih mewakili SPF.

Menurut SGT 3 Sharmilah, mengimbangi kegiatan tarian dengan tugas sepenuh masa sebagai pemeriksa poligraf CID tentunya ada cabaran. 

Bagaimanapun, kedua bidang itu saling melengkapi. 

Misalnya, setiap sesi temu duga yang harus dijalankan selaku pemeriksa poligraf memerlukan perancangan teliti dan perhatian khusus terhadap latar belakang serta keadaan individu yang diperiksa untuk memastikan profesionalisme dan objektiviti.

Tetapi nilai-nilai yang dipelajari dalam bidang tarian seperti disiplin, fokus dan bermotivasi telah membentuk dirinya dan membolehkannya menguruskan kedua-dua tanggungjawab dengan berkesan.

“Kadang-kadang menyeimbangkan kedua-duanya memang mencabar secara fizikal, tetapi minat saya terhadap tarian sentiasa memberi motivasi,” jelas SGT 3 Sharmilah.

Tambah beliau, tarian mengajarnya untuk lebih sedar tentang pergerakan, masa dan ekspresi seseorang – iaitu kemahiran yang boleh membantunya semasa pemeriksaan poligraf.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg