Peranan guru Bahasa Melayu kini melangkaui tugas menyampaikan ilmu.
Mereka perlu menjadi teladan moral, melatih kemahiran berfikir dan membimbing pelajar menghadapi cabaran teknologi moden.
Dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan akses maklumat digital yang pantas, guru dituntut agar menjadi lebih kreatif dalam pengajaran.
Ia bukan sekadar dalam menyampaikan kandungan, bahkan juga membentuk nilai, etika dan jati diri pelajar – sesuatu yang tidak mampu digantikan oleh AI.
Demikian pandangan tiga daripada empat Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2025, Encik Zafilin Abdul Hamid; Encik Abdul Harris Sumardi; dan Dr Roszalina Rawi, yang ditemui Berita Harian (BH) semasa taklimat finalis Agab pada 18 Ogos, yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista.
Ketiga-tiganya sependapat bahawa meski AI semakin banyak digunakan dalam pendidikan, ia tidak boleh menggantikan peranan guru.
“Sebaliknya, AI harus dianggap sebagai pencipta bersama yang membantu guru mencetuskan idea dan menjadikan pembelajaran lebih menarik, dan tidak harus dianggap pesaing kepada guru,” kata Dr Roszalina, yang juga Pensyarah, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
“Guru-guru kita sudah terkenal dengan dedikasi dan kreativiti. Dengan memanfaatkan AI, mereka boleh membawa pengajaran ke tahap lebih tinggi.”
Namun, penggunaan teknologi dan AI harus berpatutan, ujar Encik Abdul Harris, Pengetua, Sekolah Menengah Westwood yang juga Naib Presiden, Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM).
“AI seharusnya menyokong apa yang kita sudah tahu. Jika kita bergantung sepenuhnya, kita akan hilang kemampuan berfikir.
“Cabarannya ialah bagaimana kita dapat menggunakannya untuk meluaskan pandangan, mendorong pelajar berfikir secara kritis, dan membuktikan bahawa bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa ilmu seperti bahasa Inggeris,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyampaian isi sahaja tidak mencukupi kerana tugas tersebut boleh dilaksanakan AI.
“Apa yang diperlukan pelajar ialah kemahiran berfikir, menganalisis dan menyesuaikan diri. Inilah tanggungjawab guru hari ini,” tambah Encik Abdul Harris.
Pandangan serupa turut dilahirkan Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Zafilin, yang menekankan kepentingan bimbingan guru dalam situasi sebenar.
“Dalam senario seperti penyampaian hujah atau perbincangan, pelajar perlu berhujah dan mempertahankan pendapat mereka. Kemahiran itu hanya boleh dibimbing oleh guru,” jelasnya.
Namun, di sebalik perbincangan tentang teknologi, panel pengerusi bersama itu menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya melihat guru sebagai penyampai ilmu semata-mata.
Bahkan, peranan guru kini sebagai pembentuk sahsiah dan suri teladan yang mampu mencorakkan generasi pelajar harus ditekankan.
Dr Roszalina berkata: “Finalis Agab harus menjadi obor yang bukan sahaja pakar dalam bahasa dan budaya, malah menampilkan kewibawaan, etika dan nilai kemanusiaan.
“Inilah ciri yang membezakan pendidik cemerlang.”
Bagi Encik Zafilin, gelaran Arif Budiman sendiri membawa makna guru sebagai panduan, bukan sahaja kepada murid, bahkan juga rakan sejawat.
“Dalam dunia sejagat yang penuh ketidakpastian, guru perlu memastikan pelajar bukan sahaja berilmu, bahkan juga mempunyai perwatakan yang baik,” katanya.
Menyifatkan peranan guru Bahasa Melayu hari ini amat besar dan Agab penting sebagai pengiktirafan, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab, yang juga Editor Cetak, Berita Harian (BH), Encik Puad Ibrahim, berkata:
“Guru-guru Bahasa Melayu adalah tonggak dalam memakmurkan bahasa dan budaya Melayu supaya ia tidak ditelan zaman.
“Harapan saya ialah mereka terus diberi motivasi untuk memanfaatkan segala sumber, termasuk AI, bagi menyemai semangat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak kita.”
Anugerah Guru Arif Budiman, yang kini memasuki edisi ke-19, mengiktiraf guru Bahasa Melayu yang memberi inspirasi bukan sahaja dalam mendidik, bahkan juga dalam membentuk peribadi pelajar seiring cabaran abad ke-21.
Anugerah tersebut terbahagi kepada dua kategori, iaitu Anugerah Perangsang bagi guru dengan kurang 10 tahun perkhidmatan, dan Anugerah Teladan bagi mereka dengan 10 tahun atau lebih.
Pemenang akan diumumkan pada 1 November ini.
“
Finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) harus menjadi obor yang bukan sahaja pakar dalam bahasa dan budaya, malah menampilkan kewibawaan, etika dan nilai kemanusiaan. Inilah ciri yang membezakan pendidik cemerlang.“
AI seharusnya menyokong apa yang kita sudah tahu. Jika kita bergantung sepenuhnya, kita akan hilang kemampuan berfikir. Cabarannya ialah bagaimana kita dapat menggunakannya untuk meluaskan pandangan, mendorong pelajar berfikir secara kritis, dan membuktikan bahawa bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa ilmu seperti bahasa Inggeris.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg