Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru Bahasa Melayu terus kreatif didik pelajar dalam era digital

Indranee sampaikan Anugerah Guru Arif Budiman kepada tiga guru atas semangat mereka terhadap bahasa, budaya Melayu
Nov 1, 2025 | 3:50 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah (tengah), dan  Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AGAB 2025, Dr Roszalina Rawi (dua dari kiri), bersama Penerima Anugerah Guru Arif Budiman (dari kiri) Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli, Cik Filzatul Azreen Gazali dan Cik Siti Suhana Alias.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah (tengah), dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AGAB 2025, Dr Roszalina Rawi (dua dari kiri), bersama Penerima Anugerah Guru Arif Budiman (dari kiri) Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli, Cik Filzatul Azreen Gazali dan Cik Siti Suhana Alias. - Foto BM oleh KHALID BABA

Dalam era penggunaan digital yang meningkat dalam bilik darjah, para pendidik Bahasa Melayu di Singapura terus berusaha mencari pendekatan kreatif untuk menarik minat pelajar yang kian celik teknologi, sambil memastikan bahasa ibunda terus dipelihara.

Berucap di Majlis Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) ke-19 pada 1 November, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, berkata usaha ini menuntut keseimbangan antara inovasi dengan tradisi.

“Cabaran untuk mendekati pelajar generasi digital bukan sesuatu yang mudah,” kata Cik Indranee.

“Para guru kita berjaya mengimbangi penggunaan teknologi dengan nilai teras pengajaran.

“Mereka berada di barisan hadapan dalam usaha menyemai minat serta menyuntik keceriaan dalam pembelajaran Bahasa Melayu, menghubungkan tradisi dengan inovasi,” tambahnya.

Majlis yang berlangsung di Muzium Tamadun Asia (ACM) itu menyaksikan seramai tiga guru diiktiraf atas semangat, kreativiti dan dedikasi mereka dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu.

Dua daripada mereka menerima anugerah bagi kategori ‘Guru Perangsang’.

Mereka ialah Cik Siti Suhana Alias dari Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist (Rendah) dan Cik Filzatul Azreen Gazali dari Sekolah Menengah Anderson.

Sementara penerima anugerah kategori ‘Guru Teladan’ ialah Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli dari Sekolah Rendah Waterway.

Cik Suhana, 29 tahun, berkata pengiktirafan tersebut memberinya semangat yang baru untuk terus menggunakan pendekatan teknologi dan juga aplikasi terkini dan inovatif.

Sebagai guru, Cik Suhana telah menerajui beberapa inovasi inisiatif untuk mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu termasuk membangunkan Pakej Kefahaman Membaca yang menggabungkan teknologi realiti terimbuh (AR) untuk meningkatkan penglibatan pelajarnya dan mendalami pemahaman mereka melalui teks interaktif.

“Apabila murid-murid dapat mempelajari isi pengajaran atau bahan bacaan dalam pakej kefahaman yang saya sediakan, saya berasa ia lebih bermakna dan dapat membantu mereka memahami apa yang dibaca, selain menyediakan suasana yang lebih santai bagi mereka belajar dan mendalami aspek bahasa,” tekannya.

Bagi Cik Filzatul, 33 tahun, anugerah itu dianggap sebagai pengiktirafan bagi usaha bukan daripada dirinya sendiri tetapi, juga berkat usaha orang-orang di sekelilingnya.

“Saya menganggap pencapaian ini bukan sahaja daripada saya, bahkan guru-guru saya dahulu, ibu bapa saya iaitu guru pertama saya, ahli keluarga yang lain dan juga para pelajar yang sebenarnya banyak mengajar saya dalam perjalanan perguruan saya selama ini,” katanya yang sudah mengajar selama tujuh tahun.

Cik Filzatul memperjuangkan inovasi pedagogi dengan menyesuaikan strategi pengajaran untuk memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai.

Sebagai contoh, beliau menggunakan Realiti Maya (VR) dalam pelajaran sasteranya untuk membantu pelajar lebih memahami watak dan plot, menjadikan pembelajaran lebih mengasyikkan dan mudah diingat.

Menurut Cik Fizlatul, pencapaian anugerah ini membakar semangatnya untuk terus menyumbang kepada bidang perguruan.

Encik Mukhlis, 33 tahun, yang sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan sekitar 10 tahun pula berkata anugerah tersebut merupakan amanah baginya untuk terus mendidik generasi masa hadapan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Di dalam kelas, Encik Mukhlis memanfaatkan aplikasi dalam talian seperti Knowledge Walls, untuk mewujudkan pembelajaran berasaskan kolaborasi bersama pelajar.

“Saya beasa anugerah ini memberi saya semangat untuk terus belajar dan melakarkan idea-idea yang berbeza untuk menjadi guru teladan kepada murid saya,” katanya.

“Harapan saya adalah untuk menjadi seorang guru yang berjaya membantu murid-murid lebih berjaya daripada saya pada masa akan datang,” tekannya.

Penganugerahan itu dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Sejak diperkenalkan pada 2007, AGAB telah mengiktiraf lebih daripada 80 pendidik cemerlang dari sekolah rendah, menengah dan maktab rendah di seluruh Singapura.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut termasuk Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga merupakan Pengerusi MLLPC.

Selain beliau, Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Pengerusi MBMS, juga hadir di majlis tersebut.

Dr Syed Harun berkata anugerah ini mengetengahkan guru yang berinovasi dalam pengajaran melalui penggunaan teknologi yang terkini dan kekal relevan.

Beliau turut menambah bahawa kerjasama MLLPC, sekolah dan masyarakat juga penting untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu kita.

“Dengan memperkukuh jaringan ini, kita harap dapat membentuk ekosistem yang menyokong pembangunan guru-guru kita serta menjadikan bahasa Melayu terus mekar, relevan, dan juga dihargai oleh generasi muda kita,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg