Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makan bersama di kantin buka ruang guru selami cabaran hidup murid

Finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Teladan) didorong pengalaman silam dibantu guru bangkit daripada kesukaran hidup
Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Anugerah Guru Arif Budiman, Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli, Bahasa Melayu
Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri, guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Waterway, sudah sedekad dalam bidang pendidikan, sejak mula berkhidmat sebagai guru kontrak pada 2015. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sekurang-kurangnya sekali seminggu, Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli, meluangkan masa duduk bersama murid-muridnya di kantin semasa waktu rehat.

Dari mata kasar, ia tampak seperti rutin biasa seorang guru yang merebut peluang beramah mesra dengan anak didiknya.

Namun bagi beliau, meja makan yang sederhana itu umpama jendela kecil yang menyingkap kisah kehidupan murid-muridnya, kisah yang jarang terpapar pada kertas ujian mahupun keputusan peperiksaan.

Ada muridnya yang tidak berpeluang menjamah sesuap nasi pun kerana ketiadaan wang saku.

Ada pula, dek kesibukan keluarga yang terlupa menyediakan bekal makanan ke sekolah, maka mereka terbiar tanpa hidangan mengisi perut.

Kepekaan itu tidak datang begitu sahaja, tetapi berakar daripada pengalaman hidup beliau sendiri, saat hadir seorang guru yang menyalakan cahaya harapan dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya di tengah-tengah kesusahan keluarga.

Perbuatan sederhana itu meninggalkan bekas yang begitu mendalam, lantas menyedarkan Encik Mukhlis bahawa tugas seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah menyemai kasih, membimbing dengan jiwa, dan menyalakan keyakinan dalam diri murid.

Dari situlah lahir tekadnya untuk menjadi insan yang mampu memberi harapan, sebagaimana gurunya menyinari hidupnya suatu masa dahulu.

Kini, setelah sedekad menabur bakti dan terpilih sebagai finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2025, guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Waterway itu meneruskan tekad menjadi penyuluh ilmu buat pelajarnya.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista, Encik Mukhlis, 33 tahun, berkata:

“Saya mengalami masa yang sukar dalam hidup, di mana saya tidak dapat hadir ke sekolah secara konsisten kerana masalah keluarga.”

Ketidakhadirannya semasa sekolah menengah itulah yang mendorong gurunya menziarahi rumahnya pada satu sambutan Hari Raya – satu kunjungan yang menyentuh hati dan membuka matanya kepada peranan seorang guru yang bukan hanya mengajar di bilik darjah, malah turut membimbing dan memberi kasih sayang.

Antara guru yang memberi inspirasi kepada beliau ialah Cik Ung Choo Hock, guru tingkatan (‘form teacher’) ketika beliau di Menengah 1 dan 2; serta Encik Hubert Song, guru tingkatan ketika di Menengah 3 di Sekolah Menengah Bedok South.

Justeru, sepertimana yang telah dilakukan gurunya itu, Encik Mukhlis juga ingin mendekati muridnya, namun dengan cara tersendiri.

“Berbeza sedikit pendekatan saya. Saya meluangkan masa untuk makan bersama mereka pada waktu rehat sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam seminggu, dan dari situ saya mendekati pelajar saya.

“Kadangkala mereka tidak makan. Saya akan tanya dan ada yang jawab ‘tak ada duit’, ada yang ibunya terlalu sibuk sehingga lupa hendak sediakan bekal, atau lupa nak berikan duit.

“Dari situ, saya dapat lihat dan faham, rupa-rupanya murid-murid saya ni ada masalah,” kongsinya.

Bagi beliau, meja kantin bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi lanjutan kepada bilik darjah di mana ia lebih mendekatkan dirinya kepada pelajar.

Bukan sahaja cara beliau mendekati pelajar berbeza, bahkan cara beliau mengajar subjek Bahasa Melayu juga lain daripada lain.

Baginya, bahasa bukan hanya tentang tatabahasa dan peraturan, malah tentang pembudayaan jati diri serta nilai yang membentuk keperibadian.

“Orang Melayu ini penuh dengan adab dan kesantunan. Jadi kalau murid tidak diajar, mereka akan lupa dan lama-kelamaan budaya kita akan pupus,” jelasnya.

Justeru, Encik Mukhlis menggalak murid-muridnya supaya berani menggunakan bahasa Melayu walaupun tidak sempurna, kerana beliau percaya minat dan keyakinan harus disemai dahulu sebelum ketepatan dikejar.

“Kalau setiap perkataan murid saya betulkan, itu akan mematikan semangat mereka… minat itu harus diperkukuh dahulu,” katanya.

Dengan mencipta ruang yang selamat untuk muridnya mencuba, melakukan kesilapan dan memperbaiki penggunaan bahasa, beliau bukan sahaja memupuk kemahiran berbahasa, malah juga daya tahan dan kesediaan muridnya untuk terus belajar.

Antara kaedah yang digunakan termasuk menerapkan muzik, lagu, drama dan permainan di samping memanfaatkan teknologi seperti ClassPoint dan Padlet sebagai jambatan pembelajaran, kongsi Encik Mukhlis, yang juga Ketua Mata Pelajaran Kepimpinan Pelajar itu.

Ketika ditanya perasaannya apabila mendapat tahu beliau dicalonkan sebagai finalis Agab 2025 bagi Kategori Anugerah Teladan, Encik Mukhlis berkata ia sesuatu yang tidak disangka.

Akur zaman dan keperluan pelajar kian berubah, beliau berhasrat untuk terus meneroka kaedah pengajaran yang berkesan agar pembelajaran Bahasa Melayu kekal relevan.

Bukan itu sahaja.

Bapa empat orang anak yang berusia antara tiga dengan lapan tahun, termasuk sepasang kembar berusia tujuh tahun, itu berkata:

“Saya ingin mendekati lebih ramai kanak-kanak dan belia yang berhadapan dengan cabaran hidup, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berisiko atau kurang berkemampuan.

“Saya juga ingin memberikan inspirasi kepada rakan-rakan guru untuk terus berkongsi amalan baik dan mengukuhkan sokongan antara kami.

“Saya percaya, apabila kita menyumbang bakti dengan sepenuh hati, kita bukan sahaja membentuk masa depan pelajar kita, bahkan juga membina masyarakat yang lebih penyayang dan berdaya tahan. Pendek kata, ‘kita jaga kita’.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg