Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru prasekolah My First Skool dipecat lepas dakwaan salah urus kanak-kanak

Oct 18, 2024 | 5:38 PM
Seorang guru dipecat daripada pusat prasekolah My First Skool di Tampines berikutan laporan dakwaan mengenai cara pengurusan kanak-kanak yang tidak sesuai. Gambar ini tiada kaitan dengan lokasi tepat prasekolah itu, yang tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).
Seorang guru dipecat daripada pusat prasekolah My First Skool di Tampines berikutan laporan dakwaan mengenai cara pengurusan kanak-kanak yang tidak sesuai. Gambar ini tiada kaitan dengan lokasi tepat prasekolah itu, yang tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA). - Foto ST

Seorang guru dipecat dari pusat prasekolah My First Skool di Tampines berikutan laporan dakwaan mengenai cara pengurusan kanak-kanak yang tidak sesuai.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) menerima laporan daripada prasekolah itu pada 26 September, dan memberitahu The Straits Times (ST) ia sedang meneliti secara berasingan maklum balas daripada dua ibu bapa lain di prasekolah yang sama.

Prasekolah itu memberhentikan guru tersebut daripada sebarang tugas menjaga dan mengajar pada 24 September, dan menamatkan perkhidmatannya pada 27 September.

Lokasi tepat prasekolah itu dan nama ibu bapa tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti mangsa, mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).

Polis mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan.

Jurucakap NTUC First Campus, yang menguruskan My First Skool, berkata pendekatan guru itu dalam menguruskan kanak-kanak “tidak selaras dengan piawaian pengajaran dan penjagaannya”.

Beliau menjelaskan bahawa pusat itu menerima maklum balas daripada ibu bapa mengenai seorang guru pada 21 September, dan guru itu diberi tugas bukan mengajar semasa siasatan dijalankan.

NTUC First Campus sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan, tambahnya.

Ibu kanak-kanak terbabit dalam kejadian itu memberitahu ST bahawa seorang guru berkata anaknya yang berusia dua tahun terjatuh pada 16 September, meninggalkan kesan di mukanya.

Pada hari-hari berikutnya, beliau dan suaminya melihat kesan lain di belakang anak lelaki mereka itu, serta perubahan besar dalam tingkah lakunya.

Dia mula kurang tidur pada waktu malam, dan menangis sambil berkata “tidak mahu” berkali-kali apabila melihat pakaian sekolahnya, kata ibunya.

Beliau melaporkan perkara tersebut kepada prasekolah itu dan meminta melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan anaknya jatuh, namun tidak diberi akses. 

Pengetua pusat itu melihat rakaman tersebut dan memberitahu suaminya bahawa anaknya tidak jatuh dan dia mengalami kesan itu selepas “dibuai dan digoyang dengan kasar” oleh seorang guru.

Ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis pada 26 September dan memohon memberhentikan anaknya dari pusat prasekolah itu dengan segera esoknya.

Menurut ibu itu, beliau mula tertanya-tanya tentang kejadian lalu apabila anaknya pulang dengan kesan lain, seperti calar di bawah mata, benjol bengkak di kepala, dan bibir berdarah.

Beliau bertambah bimbang kerana tidak dapat melihat sebarang rakaman CCTV. 

Menurut garis panduan Ecda, akses ibu bapa kepada rakaman CCTV diberikan hanya bagi “tujuan memberikan titik rujukan objektif untuk menjelaskan maklum balas atau untuk membantu siasatan insiden serius di dalam premis prasekolah”.

“Hati kami tidak akan tenang hingga siasatan selesai dan kami mendengar keputusannya,” kata ibu itu.

Jurucakap NTUC First Campus berkata: “Keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak (di bawah jagaan kami) tetap menjadi keutamaan kami, dan semua kebimbangan mengenai penjagaan mereka adalah penting bagi kami.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg