Intonasi suara, penerbitan skrip dan mewujudkan suasana yang sesuai sangat penting dalam mengendalikan podcast.
Seramai 15 guru Bahasa Melayu berpeluang meninjau teknik dan amalan baik dalam mengendalikan podcast sewaktu menghadiri Bengkel Podcast di studio Berita Harian (BH) di Toa Payoh North pada 1 Ogos, dari 2.30 hingga 6 petang.
Bengkel tersebut, yang dianjurkan oleh akhbar pelajar, Gen G, terbitan BH, dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), bertujuan membantu guru-guru memanfaatkan podcast sebagai wadah kreatif untuk memperkukuh penguasaan dan kelancaran bertutur pelajar dalam bahasa Melayu.
Gen G merupakan akhbar khas untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
Bengkel itu dikendalikan hos dan penerbit podcast BH Notapis, Cik Natasha Mustafa, dan penggiat teater terkenal Singapura, Cik Aidli ‘Alin’ Mosbit.
Mereka telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing untuk mengendalikan podcast yang berkesan.
Guru-guru diperkenalkan kepada podcast sebagai wadah media terkenal buat masa ini serta teknik asas mengendalikan podcast itu sendiri.
Kepentingan tonasi suara serta teknik bertanya soalan juga diketengahkan untuk menghasilkan podcast lebih menarik untuk pendengar.
Guru-guru kemudian, secara berkumpulan, merancang dan menyampaikan podcast mereka sendiri.
Sebelum bengkel ditamatkan, Pustakawan (Bahasa Melayu) NLB, Encik Herman Rothman, berkongsi platform dan bahan-bahan digital yang disediakan oleh NLB untuk membantu memperkaya kandungan pembelajaran dan pengajaran para pendidik.
Antaranya adalah NLB Online, Archives Online dan NewspaperSG.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Rivervale, Cik Nazrah Hanani Mohd Rawi, menyertai bengkel tersebut untuk mendalami trend podcast dan meraih ilmu mengendalikannya.
Setelah mendengar perkongsian pengendali bengkel, beliau mendapati podcast boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan kemahiran pelajar dalam latihan lisan.
“Saya memerhatikan banyak persamaan antara latihan lisan dan podcast, terutama aspek lontaran suara dan intonasi untuk menyampaikan sesuatu emosi.
“Podcast merupakan trend yang moden, jadi saya harap murid-murid dapat meningkatkan kemahiran lisan melalui wadah sebegini,” jelasnya.
Cik Rosneayu Rosenen daripada Sekolah Rendah Rulang pula yakin podcast mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar berbual secara bersemuka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg