Keprihatinan Sharon Ismail terhadap masa depan dan daya tahan anak seni Singapura jelas terpancar daripada pandangannya yang mendalam tentang cabaran golongan itu.
Beliau, yang juga karyawan pendidikan di Politeknik Ngee Ann (NP), begitu peka terhadap ramai bakat muda yang tidak didedahkan kepada realiti perlunya ada kewangan secukupnya sebagai jaringan keselamatan pada usia senja.
Perihal kegunaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mahupun pemilikan insurans perlu disampaikan kepada bakat seni muda, supaya mereka tidak menghadapi kesukaran kewangan di usia tua nanti akibat simpanan yang tidak mencukupi atau tidak terurus dengan baik.
Dalam satu episod podcast Berita Harian (BH), NoTapis, Sharon, 51 tahun, yang baru-baru ini dinobat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi bagi telefilem Hari Raya Haji, Mencari Hajar, pada Pesta Perdana 2025, berkata:
“Saya tak percaya dengan konsep atau istilah ‘artis miskin’.
“Kalau awak berbakat dan menyumbang kepada masyarakat, awak berhak untuk hidup selesa dan mendapat ganjaran sewajarnya.”
Selama 30 tahun, bakat lakonan Sharon, yang memiliki ijazah Sarjana Pengajian Persembahan daripada Universiti London, disemai dengan keupayaannya menghayati setiap watak.
Beliau pernah menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik sebanyak tiga kali menerusi drama, Sayang Semuanya, Rahsia Perkahwinan dan Ayah Kat Rumah.
Perjalanan rezekinya, jelas Sharon, sudah tertulis, dengan beliau kini seronok diamanahkan tugas sebagai pendidik yang memupuk bakat media generasi seterusnya.
Ibu kepada dua anak perempuan remaja itu, yang kini menggalas amanah sebagai Penolong Pengarah, Kehidupan dan Jangkauan Pelajar di NP, berkata:
“Dulu kalau orang seni ingin ceburi dunia media, tidak ada struktur.
“Kita tidak tahu tentang kemajuan kerjaya yang sedia ada ataupun mentor yang dapat membimbing kita.
“Dengan pengalaman yang saya ada sekarang, saya ingin menyumbang kembali kepada generasi baru dalam dunia media.”
Berani mencuba pelbagai watak, termasuk penjual mi rebus dalam drama bersiri Channel 5, 128 Circle, dan bos garang dalam drama Mediacorp Suria, Interns, Sharon menetapkan matlamat untuk mempersiapkan pelajarnya dengan kemahiran dan pemikiran relevan sesuai dengan tuntutan industri seni masa kini.
Menurutnya, yang juga seorang pengacara, dunia media memerlukan lebih daripada sekadar bakat.
Ia menuntut strategi hidup yang terancang, terutama bagi mereka yang bekerja secara bebas.
“Apabila anda bekerja bersendirian, anda adalah bos sendiri.
“Jadi, anda harus mengambil tanggungjawab untuk menentukan bila masa sesuai untuk meningkatkan kemahiran dan merancang kerjaya masa depan,” jelasnya.
Sharon turut menekankan kepentingan pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Ia merupakan ciri yang beliau asah dalam diri pelajar untuk memastikan mereka mampu bertahan dalam sektor yang pesat berubah.
Walaupun telah mengukir nama sebagai antara karyawan pendidikan dan pelakon tersohor di Singapura, Sharon mengakui masih berdepan dengan rasa sangsi akan pencapaian mahupun kebolehannya.
Rasa takut dianggap ‘penipu’ meskipun berkelulusan dan berjaya – ciri seseorang yang mengalami ‘imposter syndrome’ atau sindrom penyamar – kadangkala menghantuinya.
Namun, kata Sharon, kematangan membantunya menerima semua peluang sebagai amanah dan rezeki yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Apa yang saya terima dan lalui adalah rezeki dan amanah yang diberi Tuhan.
“Saya akan menjalankan tugas saya sebaik mungkin,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau masih terbuka untuk menjayakan dunia lakonan meskipun sibuk dengan tugas hariannya di NP, Sharon menjawab penuh semangat:
“Ya! Ini adalah cinta pertama saya selama lebih 20 tahun sehingga kini.
“Cita-cita saya kalau diberi peluang ialah membintangi drama Korea, suatu hari nanti.
“Mengapa tidak? Sebelum ini, saya pernah diberi peluang untuk berlakon di Channel 8 tetapi saya terpaksa menolak kerana tempoh penggambaran terlalu panjang.
“Sekiranya saya diberi peluang dan jadual saya mengizinkan mengapa tidak?”
Bagi Sharon, kejayaan diukur bukan sekadar kemunculan di kaca televisyen, namun bagaimana seseorang itu memberi kesan dalam kehidupan orang lain.
“Sama ada di hadapan kamera atau dalam bilik darjah, saya berharap dapat terus menjadi personaliti yang membimbing, memberi inspirasi dan membentuk masa depan industri media,” jelasnya.
“
Dulu kalau orang seni ingin ceburi dunia media, tidak ada struktur. Kita tidak tahu tentang kemajuan kerjaya yang sedia ada ataupun mentor yang dapat membimbing kita. Dengan pengalaman yang saya ada sekarang, saya ingin menyumbang kembali kepada generasi baru dalam dunia media.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg