Penduduk Marine Parade kini mempunyai sebuah hab bawah tanah sehenti di mana mereka boleh memanfaatkan kemudahan harian dan perkhidmatan sosial, serta mencari cara untuk menyumbang kembali kepada masyarakat mereka.

The Anchor @ Marine Parade, terletak bersebelahan stesen MRT Marine Parade, merupakan yang pertama seumpamanya di Singapura.

Kawasan sepanjang 450 meter itu menempatkan pelbagai agensi perkhidmatan sosial (SSA), badan amal dan pengendali komersial.

Ini termasuk Khidmat Masyarakat Fei Yue, Khidmat Masyarakat TOUCH dan kedai runcit Twigly’s.

Ia dibuka pada 4 April dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2027.

Pada 1 Ogos, penduduk menyertai acara berjalan kaki kejiranan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kemudahan baharu itu, serta premis perniagaan dan ruang masyarakat berdekatan.

Kegiatan itu dianjurkan Pusat Sukarelawan SG Cares di Geylang, Jalan Besar dan Serangoon, yang dikendalikan oleh persatuan khidmat masyarakat, Care Community Services Society dan badan amal Marine Parade Community Space Limited (MPCSL).

Hab itu kini menempatkan sembilan SSA dan badan amal, dengan satu lagi dijangka menyertai pengendali yang lain tidak lama lagi.

Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, turut menyertai penduduk dalam acara berjalan kaki kejiranan.

Encik Goh, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), berkata usaha menempatkan pelbagai SSA di bawah satu bumbung membolehkan mereka bekerjasama dengan lebih rapat.

Beliau berkata: “Keluarga selalunya berdepan pelbagai isu yang saling berkaitan, bukan sekadar satu isu yang berasingan.

“Justeru, kemudahan sehenti ini membolehkan semua orang mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan.” 

SSA tersebut menawarkan perkhidmatan yang merangkumi kaunseling dan sokongan penyepaduan semula bagi bekas pesalah, serta sokongan bagi golongan penjaga dan individu berkeperluan khas dalam mendapatkan pekerjaan.

Ketua pegawai transformasi Khidmat Masyarakat TOUCH, Cik Anita Low-Lim, berkata The Anchor lebih daripada ruang fizikal yang dikongsi masyarakat.

Bahkan, ia mewujudkan peluang bagi pertubuhan mendekati masyarakat, menjalankan usaha jangkauan kepada penduduk dan sekolah berdekatan, serta membina asas kerjasama sedia ada sambil menjalin hubungan baharu dengan masyarakat di kawasan itu.

“Mempunyai pelbagai pertubuhan penting di satu tempat membolehkan kami memperluas jangkauan dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan,” katanya.

Hab tersebut turut menempatkan sebuah kedai barangan terpakai amal yang dikendalikan oleh sukarelawan, di samping pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, kedai makanan dan minuman, pusat pengayaan serta gim yang mesra warga emas.

Pengarah Eksekutif MPCSL, Encik Derrick Wong, yang menyelia projek di kawasan itu seperti The Anchor, berkata ia direka untuk bersifat inklusif bagi semua penduduk.

“Impian saya adalah agar setiap daripada mereka merasakan keterikatan dengan tempat ini,” ujarnya.