Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mengambil langkah tambahan untuk memperkukuh pasukan di GRC Marine Parade-Braddell Heights, setelah Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim melepaskan jawatan politik.

Demikian dikongsi Pengerusi PAP, yang juga Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, ketika menemui wartawan di cawangan PAP Kembangan di Blok 413 Eunos Road pada 20 Julai.

Encik Lee, yang ditemani para Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata usaha mengekalkan piawaian integriti dan tingkah laku yang tinggi adalah asas kepada PAP, dan parti itu akan terus berpegang teguh kepada piawaian tersebut.

“Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menghantar kod tingkah laku ini kepada semua pemegang jawatan dan kepada semua AP pada setiap tahun.

“Apa yang penting ialah setelah berfikir kembali, Dr Faishal mengakui terdapat kesilapan dalam penilaiannya dan tidak menepati piawaian tingkah laku yang diharapkan daripada diri beliau dan semua pemegang jawatan PAP,” kata Encik Lee.

Beliau berkata tindakan Dr Faishal untuk meletakkan jawatan ialah tindakan yang betul, walau ia merupakan keputusan yang menyakitkan.

“Ia adalah situasi yang sukar bagi kami, tetapi kami berpendapat bahawa ianya perlu demi menegakkan piawaian ini dan memastikan kepercayaan orang awam terhadap politik kita terus terpelihara,” tambah Encik Lee.

Beliau turut memberi jaminan bahawa AP GRC Marine Parade-Braddell Heights sedia ada akan menjaga semua lapisan masyarakat di sana sementara PAP menetapkan langkah seterusnya bagi memperkukuh pasukan itu.

Pasukan sedia ada terdiri daripada Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; dan Cik Diana Pang.

“Dalam masa terdekat, kami akan membuat pengumuman lanjut tentang bagaimana kami berhasrat untuk memperkukuh pasukan di GRC Marine Parade-Braddell Heights ini demi berkhidmat kepada semua penduduk,” ujarnya.

Beliau menambah: “Kami tahu bahawa ramai penduduk dan penyokong kecewa dengan apa yang telah berlaku, dan kami memohon maaf sedalam-dalamnya kerana telah mengecewakan mereka.”

Sementara itu, Encik Seah memberi jaminan kepada penduduk Kembangan bahawa para AP akan bekerja ‘dua kali ganda lebih keras’.

Merujuk kepada Sesi Bertemu Penduduk (MPS) kawasan undi itu yang dijadualkan pada setiap malam Isnin, Encik Seah berkata “tugas akan berjalan seperti biasa”, sambil menambah bahawa AP lain di GRC tersebut “akan ada bersama”.

Encik Seah berkata pengunduran Dr Faishal daripada pasukan itu akan dirasai oleh para penduduk.

Namun beliau memberi keyakinan yang para AP akan memastikan semua kegiatan masyarakat diteruskan kerana misi mereka tidak berakhir di sini.

Beliau turut menjawab soalan mengenai bagaimana AP bagi Kembangan telah bertukar untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun, dengan menyifatkannya sebagai “sesuatu yang disesalkan”.

Mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, yang sebelum ini merupakan AP bagi Kembangan, telah meletak jawatan pada Julai 2023.

Encik Seah menambah: “Sebagai sebuah pasukan, kami sentiasa fokus kepada apa yang perlu kami lakukan untuk melangkah ke hadapan, dan komitmen yang kami berikan kepada penduduk di Kembangan adalah… dengan sokongan pasukan di belakang kami, kami mempunyai pasukan yang baik dan pasukan yang kuat.”