Penduduk Lentor kini mempunyai ruang khusus bagi kegiatan masyarakat dengan pelancaran Our Residents’ Hub @ Lentor Estate di Fudu Walk Park pada 1 Disember.
Bilik kontena ‘pop-up’ seluas 30 meter persegi ini adalah Hab Penduduk terkini yang sedang dibangunkan di serata Singapura, dan yang pertama menampilkan kerjasama antara Rangkaian Penduduk (RN) dengan Pusat Penuaan Aktif Lentor Health (AAC).
Kerjasama ini bertujuan memupuk gaya hidup yang lebih sihat dan aktif di kalangan warga emas di estet privet di Lentor, lapor akhbar The Straits Times.
Pelancaran ini diadakan sebagai sebahagian daripada Hari Yio Chu Kang 2024, dengan tema Di Mana Jiran Menjadi Keluarga.
Acara tersebut turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, serta Anggota Parlimen SMC Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, dan lebih 500 penduduk.
Ketika ditemui, Encik Yip berkata seorang daripada setiap empat rakyat Singapura akan berumur 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.
“Di estet Yio Chu Kang, sekitar 40 peratus (penduduk) berumur 65 tahun ke atas. Estet privet berhalaman, tidak seperti estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau kondominium, tidak mempunyai ruang fizikal bagi pusat penuaan aktif menjalankan kegiatan,” tambahnya.
Terdapat 1,024 hartanah privet berhalaman di estet Lentor dengan sekitar 30 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas, jelas Encik Yip.
Hab penduduk Our Residents’ Hub lain di Singapura terletak di Bedok, Bukit Timah dan Joo Chiat.
Hab penduduk di Lentor itu antara lain menawarkan kegiatan untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan sosial termasuk sesi senaman, ceramah kesihatan dan kumpulan hobi.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi bijak seperti akses pintu digital dan suis bijak, membolehkan penggunaan yang fleksibel di luar waktu biasa dan menyokong inisiatif yang dipacu oleh masyarakat.
Dalam pada itu, Kebun Masyarakat Lentor turut dilancarkan sempena acara Hari Yio Chu Kang itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg