Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Habuan Harapan’ penawar keluarga memerlukan

Mar 8, 2025 | 8:46 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tiga dari kanan), menyampaikan pakej perayaan kepada penduduk Tampines sebagai sebahagian daripada sumbangan Ramadan menerusi program ‘Habuan Harapan 2025’.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tiga dari kanan), menyampaikan pakej perayaan kepada penduduk Tampines sebagai sebahagian daripada sumbangan Ramadan menerusi program ‘Habuan Harapan 2025’. - Foto DANA MASYARAKAT

Lebih 7,000 beg perayaan diagihkan kepada keluarga memerlukan menerusi satu inisiatif amal Dana Masyarakat (ComChest) dan kumpulan sukarelawan, Heartwarmers, Habuan Harapan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 8 Mac.

Habuan Harapan yang diusahakan dengan bantuan 600 sukarelawan itu digerakkan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dalam ucapannya, berkata:

“Ramadan menimbulkan semangat perpaduan, keihsanan dan kemurahan hati – nilai yang boleh dikaitkan dengan Dana Masyarakat. Saya gembira memerhatikan semangat ini yang sangat menyerlah dalam acara ini.”

Ini adalah tahun kedua Habuan Harapan dikendalikan oleh Dana Masyarakat.

Merujuk kepada Belanjawan 2025, Encik Masagos, menjelaskan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan tentang geran padanan SG Gives, yang dipertingkat dengan $1.50 (dahulunya $1) kini ditokok pemerintah bagi setiap dolar yang disumbang kepada wadah seperti Dana Masyarakat.

Dengan komitmen pemerintah ini, sekurang-kurangnya $250,000 setiap tahun dapat disalurkan bagi tempoh tiga tahun, jelas Encik Masagos.

Pengerusi Dana Masyarakat, Encik Chew Sutat, mengalu-alukan peningkatan sokongan pemerintah dalam mengukuhkan usaha pengumpulan dana untuk amal dan tujuan sosial.

“Ini menggalakkan peralihan dalam kalangan individu dan badan korporat ke arah pemberian berterusan dan tepat pada masanya semasa kita berkumpul untuk meraikan tahun penting, iaitu sambutan SG60,” katanya.

Antara penerima beg perayaan pada 2025 ialah Cik Jamilah Jumaat, 39 tahun (bukan nama sebenar), ibu empat anak yang bekerja sambilan bagi menampung kehidupan anak-anaknya yang berumur antara enam hingga 10 tahun.

Menurut Cik Jamilah, beg perayaan yang diisi dengan cokelat dan kuih-muih serta makanan lain, membawa keseronokan buat anak-anaknya.

“Wang tunai yang disertakan juga membolehkan saya membeli pakaian Hari Raya dan menyediakan hidangan kegemaran mereka seperti lontong dan lemak cili padi.

“Saya amat berterima kasih kerana inisiatif seperti Habuan Harapan ini dapat membantu kami menyambut Hari Raya dengan lebih sempurna,” kata Cik Jamilah.

Bagi Cik Mariam Dahlan (juga bukan nama sebenar), 54 tahun, yang tinggal di flat dua bilik dengan enam anggota keluarga lain, situasi kehidupan keluarganya amat mencabar dengan masalah kesihatan ibu bapa dan anaknya yang kini dalam tahanan.

Namun, mereka bertekad untuk terus tinggal bersama sambil memberi sokongan dengan setiap ujian yang melanda.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa tentang situasi kami sekarang kerana kesusahan yang kami lalui. Anak saya pula baru masuk penjara. Jadi tahun ini (2025), Hari Raya agak sayu.

“Sekurang-kurangnya program ini dapat membawa sedikit keceriaan agar kami bersemangat untuk beraya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg