Sebanyak $600,000 jadi sasaran satu projek pengumpulan dana berskala besar yang baru dilancarkan dalam usaha menyalur bantuan kemanusiaan bagi Gaza – kerjasama antara M³@Bandar dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Inisiatif yang dinamakan M³ in SG60 Action: Connecting, Contributing & Caring – Aid for Gaza’(Tindakan SG60 M³: Menghubung, Menyumbang & Mengambil Berat – Bantuan bagi Gaza) itu bertujuan menggalakkan masyarakat, sukarelawan dan rakan kongsi korporat daripada pelbagai kaum dan agama menyokong usaha global yang mulia ini.
Berita Harian (BH) merupakan rakan media rasmi inisiatif tersebut.
Pada 1 Mac, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melancarkan inisiatif itu di reruai #364 di Bazar Raya di Wisma Geylang Serai.
Ketika pelancaran tersebut, Encik Masagos mengumumkan bahawa sejauh ini, $166,200 telah berjaya dikumpul, hasil sumbangan daripada individu, perniagaan dan organisasi sejak usaha pengumpulan dana itu bermula pada 24 Februari.
“Di tengah-tengah tragedi ini, kita telah menyaksikan sesuatu yang benar-benar luar biasa, iaitu warga Singapura dari semua lapisan masyarakat berkumpul, bersatu dengan empati, belas kasihan dan keazaman bersama untuk membantu.
“Pelancaran Bantuan bagi Gaza M³ mencerminkan perpaduan masyarakat Melayu/Islam dalam memberikan sokongan bermakna kepada rakyat Palestin di Gaza,” kata Encik Masagos.
Dalam catatan Facebooknya, Encik Masagos berkata Singapura turut berkongsi kesedihan dan keperitan mereka atas segala kemusnahan yang telah berlaku di Gaza.
“Di sebalik tragedi ini, kita menyaksikan sesuatu yang amat menyentuh hati – rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang bersatu atas dasar belas ihsan dan keazaman untuk membantu. Sejak Oktober 2023, Singapura telah menyalurkan tujuh siri bantuan kemanusiaan ke Gaza berjumlah lebih $19 juta,” kata Encik Masagos.
Semasa pelancaran itu, wakil penderma dari beberapa M³@Bandar telah menghulurkan sumbangan masing-masing dalam bentuk cek.
Antara mereka yang hadir ialah Encik Stephen Chong, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Hospital Besar Changi (CGH).
Ini bukan kali pertama CGH bekerjasama dengan M³, katanya. Malah, hospital tersebut telah bekerjasama rapat dengan M³ dalam menjaga masyarakat setempat melalui pelbagai penjagaan masyarakat dan inisiatif kesihatan penduduk.
Ia juga terlibat dalam pelbagai inisiatif di luar penjagaan perubatan, termasuk pendekatan masyarakat, khidmat sukarelawan dan acara pengumpulan dana.
“Dengan mengambil bahagian dalam inisiatif M³ ini, CGH mengukuhkan ikatan masyarakat melalui tindakan kolektif bagi tujuan global dan menunjukkan komitmen bersama terhadap usaha kemanusiaan.
“Pemimpin CGH telah menerajui seruan ini dan kakitangan kami digalakkan untuk memberi, di mana mereka boleh, kepada inisiatif oleh M³ ini.
“Melalui usaha kolektif ini, CGH berhasrat untuk menyemai budaya memberi, di mana rakan sekerja kami menyumbang kepada penjagaan masyarakat setempat dan global bukan sahaja sebagai karyawan penjagaan kesihatan tetapi juga sebagai individu masyarakat yang penuh belas kasihan,” jelas Encik Chong.
Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah beberapa penasihat M³@Bandar termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat; dan AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Ditemui media, Dr Maliki yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan) akur terdapat banyak usaha pengumpulan dana bagi Gaza, lebih-lebih lagi sempena Ramadan.
Platform yang berbeza menyediakan kepelbagaian dari segi memenuhi aspirasi penderma yang berbeza. Misalnya, ada yang mahu menyumbang dalam bentuk kewangan tetapi ada pula yang lebih selesa menyumbang dalam bentuk barangan.
“Apa yang penting ialah ke mana ia (bantuan) disalurkan. Jika anda mengatakan bahawa ia akan disalurkan kepada mangsa Gaza, maka bekerjasama dengan organisasi yang mantap, seperti RLAF, adalah penting kerana RLAF mempunyai pengalaman untuk berhubung dengan organisasi antarabangsa.
“RLAF, dengan kerjasama MFA (Kementerian Ehwal Luar) dan kementerian lain, menyelaraskan pengagihan – dan di sinilah kami mahu memastikan terdapat tadbir urus yang betul dari segi dana yang dikumpul dan dana yang diagihkan – agar ia diagihkan kepada organisasi yang betul yang dapat memastikan dana yang disumbang itu dapat sampai kepada penerima bantuan yang diinginkan,” ulas Dr Maliki.
Mereka yang ingin menyumbang kepada usaha ini boleh melakukannya melalui PayNow ke UEN 200910530ZRLA (Rahmatan Lil Alamin Foundation Ltd) atau melalui pemindahan bank atau deposit tunai ke OCBC Current Account 629-069154-001.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://rlafoundation.org.sg/
“
“Di tengah-tengah tragedi ini, kita telah menyaksikan sesuatu yang benar-benar luar biasa, iaitu warga Singapura dari semua lapisan masyarakat berkumpul, bersatu dengan empati, belas kasihan dan keazaman bersama untuk membantu.”“
“RLAF, dengan kerjasama MFA dan kementerian lain, menyelaraskan pengagihan – dan di sinilah kami mahu memastikan terdapat tadbir urus yang betul dari segi dana yang dikumpul dan dana yang diagihkan – agar ia diagihkan kepada organisasi yang betul yang dapat memastikan dana yang disumbang dapat sampai kepada penerima bantuan yang diinginkan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg