Pemerintah Singapura bersedia untuk mempertimbangkan sekatan tambahan demi mengutamakan keselamatan dalam talian dan melindungi generasi muda daripada bahaya ketagihan digital.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2026 di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 23 Ogos.

Beliau mendedahkan, setiap satu daripada enam golongan muda berusia 10 hingga 24 tahun di Singapura kini menunjukkan tanda-tanda penggunaan media sosial yang bermasalah.

“Bagi sesetengah daripada mereka, masalah ini boleh menjadi sangat serius apabila mereka menghabiskan masa selama enam atau tujuh jam sehari melayari media sosial, kadangkala sehingga awal pagi.

“Golongan kanak-kanak dan remaja amat rentan memandangkan otak mereka masih dalam fasa perkembangan. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih mudah terpengaruh oleh tekanan sosial, serta senang terjebak dengan ciri-ciri aplikasi yang direka khas untuk mengekalkan tumpuan mereka secara berterusan,” ujar Encik Wong.

Meskipun kebanyakan platform media sosial secara teori telah menetapkan had umur minimum 13 tahun, Encik Wong menjelaskan penguatkuasaannya didapati tidak berkesan kerana sekadar bersandar kepada kaedah pengisytiharan usia oleh pengguna itu sendiri.

“Kaedah pengisytiharan sendiri ini jelas tidak mencukupi,” tegas Encik Wong, sambil meluahkan rasa bimbang terhadap bilangan murid sekolah rendah yang dikesan sudah mula aktif di media sosial.

“Langkah penguatkuasaan sebahagian besarnya diserahkan kepada pihak platform itu sendiri. Pada masa ini, mereka amat bergantung pada tindakan pengguna untuk mengisytiharkan usia sendiri, dan kita tahu kaedah ini tidak berkesan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Encik Wong menggalakkan syarikat media sosial agar melaksanakan pemeriksaan usia yang lebih cekap dan boleh dipercayai bagi memastikan had usia yang ditetapkan dipatuhi.

Langkah perlindungan yang lebih kukuh juga perlu diterapkan bagi melindungi individu berusia 13 tahun ke atas, tambah Encik Wong.

“Keutamaan segera kami adalah untuk memastikan media sosial ‘selamat secara reka bentuk’. Banyak platform media sosial direka dengan ciri-ciri untuk memastikan pengguna terus menatal tanpa henti, mengklik, dan kembali melayari aplikasi tersebut.

“Ciri-ciri ini sendiri sudah cukup sukar ditangani oleh golongan dewasa. Bagi golongan remaja pula, risikonya adalah jauh lebih besar. Oleh itu, kami akan mewajibkan sistem perlindungan yang lebih kukuh dibangunkan untuk melindungi pengguna muda.

“Jika sesebuah platform ingin memenuhi keinginan pengguna muda di Singapura, ia mesti memenuhi keperluan ini,” tegas beliau.

Dalam catatan Facebook beliau pada 23 Ogos, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata butiran lebih lanjut mengenai keperluan bagi syarikat media sosial dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan pemerintah untuk menjadikan platform mereka lebih selamat bagi kanak-kanak dan golongan muda di Singapura akan dikongsi dalam beberapa hari mendatang.

“Tiada penyelesaian tunggal yang mampu menangani setiap risiko. Apa yang penting ialah menyediakan langkah-langkah perlindungan yang praktikal dan bersesuaian dengan peringkat umur, di samping terus menyokong ibu bapa dan golongan muda dalam dunia dalam talian,” kata Cik Teo.