SYDNEY: Meta, pemilik Facebook dan Instagram, telah menutup lebih 750,000 akaun yang disyaki dimiliki pengguna Australia berusia bawah 16 tahun sejak negara itu melaksanakan larangan media sosial terhadap golongan tersebut.

Syarikat itu pada 13 Ogos berkata sebanyak 462,000 akaun Instagram dan 294,000 akaun Facebook yang dipercayai milik pengguna bawah umur dinyahaktifkan antara tempoh sebelum larangan berkuat kuasa pada Disember lalu hingga Jun.

Jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding 331,000 akaun Instagram dan 173,000 akaun Facebook yang dilaporkan telah ditutup sehingga Januari.

“Penguatkuasaan masih diteruskan dan angka ini akan terus meningkat,” kata Meta dalam satu kenyataan.

Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan larangan media sosial bagi kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun apabila undang-undang itu berkuat kuasa pada 10 Disember 2025.

Langkah tersebut diperkenalkan berikutan kebimbangan pemerintah Australia mengenai kesan penggunaan media sosial terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta remaja.

Meta berkata ia mahu mematuhi undang-undang berkenaan walaupun sebelum ini syarikat itu, bersama beberapa pengendali platform lain, menyuarakan bantahan terhadap larangan tersebut.

“Kami berkongsi matlamat pemerintah Australia untuk memastikan golongan muda mendapat pengalaman dalam talian yang selamat dan sesuai dengan usia mereka, dan kami memenuhi kewajipan kami di bawah undang-undang,” kata Meta.

Bagaimanapun, keberkesanan pelaksanaan larangan itu terus menjadi perhatian.

Data pemerintah Australia dan beberapa kajian bebas menunjukkan lebih lapan daripada 10 pengguna bawah 16 tahun masih menggunakan media sosial dalam tempoh tiga bulan pertama selepas larangan tersebut dilaksanakan.

Keadaan itu menyebabkan pemerintah Australia menuduh syarikat teknologi tidak mengambil langkah mencukupi dan sengaja melaksanakan sistem dengan cara yang boleh menyebabkan larangan itu gagal mencapai matlamatnya.

Pengawal selia Internet Australia juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap beberapa platform media sosial, termasuk yang dimiliki Meta, kerana didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mematuhi peraturan berkenaan.

Australia turut memperkenalkan undang-undang bagi menggandakan hukuman maksimum terhadap syarikat yang gagal mematuhi peraturan itu kepada A$99 juta ($89 juta), selain memberikan pengawal selia kuasa lebih luas untuk mendapatkan dokumen dalam siasatan.

Wakil Meta, TikTok, Google yang memiliki YouTube, serta Snap yang mengendalikan Snapchat dijadual memberi keterangan kepada siasatan Parlimen Australia pada 14 Ogos mengenai perubahan tersebut. Pegawai pemerintah dan pengawal selia juga dijadual tampil dalam siasatan itu.

Isu pelaksanaan larangan Australia diperhatikan dengan teliti di peringkat antarabangsa ketika beberapa negara lain mempertimbangkan sekatan umur yang serupa.

Salah satu cabaran utama ialah menentukan usia sebenar pengguna tanpa terlalu bergantung kepada maklumat umur yang mereka sendiri berikan ketika membuka akaun.

Satu ujian teknologi pengesahan usia yang dijalankan Australia pada 2025 mendapati produk yang tersedia di pasaran mampu membantu melaksanakan sekatan umur secara berkesan.

Kebanyakan platform utama, termasuk yang dikendalikan Meta, menggunakan teknologi menganggarkan usia berdasarkan gambar.

Namun, syarikat teknologi berkata mereka biasanya terlebih dahulu menggunakan kaedah anggaran usia, dengan sistem menilai kemungkinan umur seseorang berdasarkan kegiatan dan tingkah laku mereka dalam talian.

Meta berkata ia turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis profil pengguna bagi mencari petunjuk bahawa sesuatu akaun mungkin dimiliki individu bawah 16 tahun.

Antara petunjuk itu termasuk hantaran mengenai sambutan hari lahir atau sebutan mengenai peringkat persekolahan seseorang pengguna.

Sistem Meta juga menganalisis laporan yang dibuat mengenai akaun yang disyaki dimiliki pengguna bawah umur.

Bagi menghalang remaja daripada berulang kali membuka akaun baharu selepas akaun mereka ditutup, Meta berkata ia turut menghapuskan pilihan yang sebelum ini membolehkan seseorang membuat beberapa percubaan untuk mendaftar akaun baharu.

Langkah terbaru itu meletakkan tekanan lebih besar terhadap syarikat media sosial untuk menunjukkan bahawa teknologi pengesahan dan anggaran usia mereka benar-benar mampu menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada mengakses platform berkenaan. - Agensi berita