Had usia bagi penderma darah kali pertama akan dinaikkan daripada 60 tahun kepada 65 tahun mulai 2 Januari 2026, sebagai usaha untuk memastikan bekalan darah yang mampan bagi keperluan Singapura, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 22 Disember.
Dengan perubahan ini, penderma baru boleh menderma darah hingga sehari sebelum ulang tahun ke-66 mereka, manakala penderma berulang boleh terus menderma hingga usia 75 tahun, hingga sehari sebelum ulang tahun ke-76 mereka.
“Data HSA menunjukkan bahawa dalam kalangan penderma darah kali pertama hingga usia 60 tahun, reaksi buruk semakin berkurangan seiring dengan peningkatan umur,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan media, lapor The Straits Times (ST).
Ini selaras dengan penemuan daripada kajian antarabangsa, tambahnya.
Menurut HSA, dengan menaikkan had usia bagi penderma kali pertama, ia akan memperluas kumpulan penderma di Singapura seiring dengan penuaan penduduk, memastikan kemampanan bekalan darah tanpa menjejas keselamatan penderma yang lebih berusia.
“Dengan penduduk kita yang semakin menua, adalah penting untuk kita manfaatkan setiap peluang bagi memperluas kumpulan penderma sambil mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi untuk kedua-dua penderma dan penerima,” kata Ketua Eksekutif HSA, Profesor Adjung Raymond Chua.
Penderma mesti berada dalam keadaan kesihatan yang baik secara umum, bebas daripada simptom jangkitan dan berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram (kg).
Selain itu, penderma wanita perlu mempunyai paras hemoglobin minimum 12.5 gram bagi setiap 100 mililiter (g/dL) manakala bagi penderma lelaki, paras hemoglobin minimum ialah 13 g/dL.
Penderma yang mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau diabetes yang terkawal boleh menderma darah jika tiada komplikasi terjadi, kata HSA, tetapi sesetengah syarat berkaitan ubat mungkin dikenakan.
Sebagai contoh, penderma dengan tekanan darah tinggi boleh menderma jika mereka mengambil tidak lebih daripada dua jenis ubat.
Penderma diabetes juga boleh menderma jika mereka tidak menggunakan insulin.
Calon penderma kali pertama boleh melengkapkan kuiz dalam talian, di https://www.hsa.gov.sg/blood-donation/can-i-donate untuk memeriksa kelayakan mereka sebelum membuat janji temu.
Penderma berulang yang berusia 66 tahun dan ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan perubatan yang diatur oleh HSA untuk memastikan mereka masih layak menderma darah.
Menurut laman web HSA, penderma berusia 66 tahun dan ke atas boleh terus menderma jika mereka telah menderma sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun lalu, kekal sihat dan lulus pemeriksaan perubatan.
HSA menggesa penderma tampil pada tempoh hujung tahun, yang biasanya menyaksikan penurunan kutipan darah sehingga 20 peratus.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menggesa orang ramai menderma darah sebelum akhir tahun.
“Apabila ramai daripada kita ke luar negara pada hujung tahun, kita menjadi tidak layak menderma darah untuk suatu tempoh, bergantung kepada negara atau kawasan yang dikunjungi,” tulis beliau.
“Pendermaan darah akan menurun pada tempoh ini dan boleh menimbulkan risiko bekalan darah sesetengah jenis.”
HSA berkata penderma yang telah mengunjungi negara atau kawasan yang mempunyai penyakit bawaan serangga mungkin tidak layak menderma sehingga empat bulan selepas kembali ke Singapura, yang boleh menjejas bekalan darah dalam beberapa bulan akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg