Perasaan gembira bercampur sedih menyelubungi hati Cik Mastura Ahmad sebaik beliau menjejak masuk ke Lapangan Terbang Changi.
Setelah menunggu lebih 10 tahun, akhirnya beliau merupakan antara jemaah terpilih bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini.
Namun, Cik Mastura, 49 tahun tidak dapat elak daripada berasa sayu kerana akan melakukan perjalanan ke Tanah Suci berseorangan tanpa suami kesayangan disisi.
Pada 2023, genap 10 tahun mereka mula mendaftar bagi menunaikan haji, Cik Mastura kehilangan suami akibat penyakit barah.
Ia adalah detik pahit manis buatnya ketika beliau menyertai kumpulan terakhir jemaah Haji Singapura – terdiri daripada 127 anggota jemaah – yang berangkat ke Tanah Suci pada 10 Jun.
Turut hadir di Lapangan Terbang Changi bagi menghantar rombongan jemaah haji terakhir – terdiri daripada jemaah dari Halijah Travels, Shahidah Travel and Tours dan TM Fouzy Travel and Tours – adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau diiringi Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
Mengenang detik mula membuat pendaftaran bagi menunaikan ibadah haji, Cik Mastura memberitahu Berita Harian (BH) bahawa ia merupakan cadangan arwah suaminya.
“Kami membuat pendaftaran pada 2013 dan suami saya yang bersemangat dan beria-ia hendak menunaikan ibadah haji.
“Kami sebenarnya telah mendapat surat tawaran pertama pada 2022. Tetapi memandangkan kami menerima surat itu lewat, kami tidak dapat memberi komitmen dan juga mendapati sukar untuk mengambil cuti dari kerja.
“Oleh itu, kami terpaksa menangguhkan niat kami itu,” kata ibu kepada empat anak berusia antara 9 hingga 24 tahun.
Setahun kemudian, pasangan suami dan isteri itu sekali lagi menerima surat tawaran, namun disebabkan keadaan kesihatan arwah suaminya yang semakin tenat, mereka terpaksa membatalkan rancangan itu.
“Tidak sempat kami tunaikan ibadah haji ini bersama, arwah suami saya telah kembali kepada Allah pada April 2023,” kongsi Cik Mastura.
Sungguhpun hajat asal tidak kesampaian, Cik Mastura, yang mengikuti rombongan Halijah Travels, tetap bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan lagi untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.
Itulah antara nasihat arwah suaminya kepada beliau.
“Sebelum suami saya pergi, beliau ada beritahu saya bahawa beliau memang teringin melakukan ibadah haji bersama-sama saya.
“Namun sekiranya beliau tidak dapat memenuhi hajat itu, beliau menasihatkan agar saya teruskan perjalanan itu jika saya mendapat surat tawaran sekali lagi,” kata guru bahasa Inggeris yang mengajar di sebuah sekolah rendah setempat.
Kumpulan pertama jemaah haji Singapura selamat berangkat ke Tanah Suci pada 3 Jun.
Mereka terdiri daripada jemaah Noor Mohamad Services & Travel & Halijah Travels iaitu seramai 109 orang kesemuanya.
Pada 2024, Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 900 tempat haji bagi Singapura.
Rombongan Haji Singapura akan diketuai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan). Beliau telah berangkat untuk ibadah Haji pada malam 9 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg