Masyarakat Islam di Singapura bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun 2024, umum Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir pada 7 Jun.
Menurut Mufti, menerusi kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mengikut kiraan hisab dan kriteria imkanur rukyah, anak bulan Zulhijah berada di atas ufuk Singapura selama 49 minit setelah matahari terbenam pada petang 7 Jun – menandakan awal Zulhijah bagi tahun 1445H bermula pada 8 Jun.
Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Haji disambut pada 10 Zulhijah setiap tahun.
Ustaz Dr Nazirudin berkata: “Sukacita saya mengisytiharkan bahawa Aidiladha, iaitu Hari Raya Haji, jatuh pada hari Isnin bersamaan 17 Jun 2024.”
“Marilah kita menyambut kedatangan bulan Zulhijah dengan amal kebaikan, serta mendoakan agar jemaah haji dikurniakan keselamatan dan ibadat yang mabrur,” tambahnya.
Beliau turut mengajak masyarakat Islam Singapura supaya menghayati erti pengorbanan di sebalik Aidiladha dan menyambutnya dengan penuh keihsanan.
Sempena awal Zulhijah, Pejabat Mufti Singapura, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama islam Singapura (Pergas) serta Masjid Sultan akan menganjurkan acara secara bersama, Majlis Fi Rihabi Rahmah.
Majlis akan berlangsung pada 8 Jun dari 6 petang hingga 8 malam di dewan solat utama Masjid Sultan.
Hadirin berpeluang mendengar tazkirah daripada Ustaz Dr Nazirudin; Presiden Pergas, Ustaz Tarmizi Wahid; dan Ahli Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Selepas maghrib, Ustaz Dr Nazirudin akan mengimamkan solat hajat bersama untuk mendoakan keamanan sejagat.
Johan Qari Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura 2023 bagi kategori kanak-kanak, Uwais Qarni Hezrul Iskandar, juga dijemput untuk membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Semua Muslimin dan Muslimat dipersilakan hadir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg