Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Hakim: Usah aibkan saksi dalam kes jenayah seksual

Peringatan terkini agar karyawan perundangan lebih peka kesan proses perbicaraan terhadap mangsa
Jul 21, 2025 | 2:46 PM
Ketua Hakim Mahkamah Negara yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Vincent Hoong, menyifatkan tiada penghormatan dalam mendapatkan keterangan melalui penghinaan, begitu juga tiada kehebatan dalam mengambil kesempatan terhadap kegoyahan emosi saksi.
Ketua Hakim Mahkamah Negara yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Vincent Hoong, menyifatkan tiada penghormatan dalam mendapatkan keterangan melalui penghinaan, begitu juga tiada kehebatan dalam mengambil kesempatan terhadap kegoyahan emosi saksi. - Foto ST

Dalam perbicaraan melibatkan seorang lelaki yang didakwa merogol ibunya, peguam bela membuat kenyataan bahawa wanita itu “boleh sahaja dengan mudah mengelak” serangan tersebut jika beliau merapatkan kaki dan “menghalang akses” kepada kejadian yang tidak diingini.

Dalam kes lain pula, seorang peguam dilaporkan menatap bahagian dada mangsa gangguan seksual secara tidak wajar, dan memintanya berdiri sebagai hujah untuk menunjukkan bahawa wujud “motif” untuk mencabul kehormatannya jika mangsa memakai pakaian berleher luas.

Contoh itu dikemukakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Vincent Hoong, dalam satu ucapan baru-baru ini, sebagai antara soal balas yang tidak sepatutnya wujud dalam prosiding mahkamah di Singapura.

Hakim Vincent Hoong, yang juga Ketua Hakim Mahkamah Negara, berkata: 

“Kita harus ingat bahawa bilik mahkamah bukan medan pertempuran, dan kandang saksi bukan tempat untuk mengaibkan seseorang.

“Tiada penghormatan dalam mendapatkan keterangan melalui penghinaan, begitu juga tiada kehebatan dalam mengambil kesempatan terhadap kegoyahan emosi saksi.”

Beliau berkata demikian kepada anggota Akademi Undang-Undang Singapura dalam sebuah acara tertutup yang diadakan di Mahkamah Negara pada 2 Julai. 

Ucapan itu diterbitkan di laman web, Mahkamah Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Ucapan Hakim Hoong tentang kepekaan dalam soal balas pengadu dalam kes jenayah seksual adalah peringatan terkini yang dikeluarkan badan kehakiman kepada karyawan perundangan supaya lebih peka terhadap kesan proses perbicaraan terhadap mangsa.

Pada Disember 2024, Ketua Hakim Sundaresh Menon, menekankan keperluan agar hakim mengambil peranan pengawasan yang lebih aktif dalam menguruskan kes sebegitu, termasuk semasa pengambilan keterangan pengadu.

Susulan itu, pada Januari, beberapa langkah diperkenalkan seperti penggunaan senarai semak ketika peringkat praperbicaraan bagi mengenal pasti isu sensitif supaya hakim dapat menggugurkan soalan tidak relevan sepanjang perbicaraan.

Dalam ucapannya, Hakim Hoong berkata panduan kehakiman dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memperkasa dan memperjelas perlindungan undang-undang terhadap soal balas yang tidak wajar.

Soal balas yang tegas, apabila dijalankan mengikut batas yang sewajarnya, adalah penting bagi memastikan pihak pembelaan dapat mengemukakan kes secara menyeluruh dan adil, tambah Hakim Hoong.

Namun begitu, soal balas boleh berubah menjadi pengalaman yang menimbulkan trauma jika dilakukan tanpa kepekaan yang sepatutnya.

“Oleh itu, (adalah) menjadi tanggungjawab kita sebagai hakim dan peguam untuk menjalankan proses ini secara berhati-hati, tepat dan dengan kesedaran tinggi terhadap kesan yang mungkin timbul,” jelas Hakim Hoong.

Menurutnya, soalan yang mengulangi tanggapan yang sudah ketinggalan zaman – seperti jangkaan bahawa mangsa sepatutnya melawan secara fizikal atau segera melaporkan jenayah – boleh melangkaui batas dan menjadi sesuatu yang berbahaya, tidak relevan, atau merendahkan maruah pengadu.

“Menjadi tugas hakim untuk membezakan dan menentukan perkara tersebut dengan teliti dan berjaga-jaga,” katanya.

Namun begitu, peguam juga mesti memastikan soalan yang mereka kemukakan kepada pengadu adalah sesuai dan relevan.

“Soal balas bukan wadah untuk berlakon atau menunjukkan kebolehan dalam soal balas yang bersifat antagonistik, agresif, berulang dan menekan,” ujarnya.

Beliau menyenaraikan kes sebelum itu, apabila peguam mempersoalkan prinsip moral pengadu, menggunakan stereotaip berbahaya dan taktik menyalahkan mangsa.

Mereka cuba mengaitkan pakaian pengadu dengan “motif” tertuduh, atau mencadangkan serangan itu boleh dielakkan jika pengadu tidak membuka ruang kepada kejadian tersebut.

“Cabaran terhadap kebolehpercayaan dan kewibawaan saksi boleh dilakukan dengan cara berhati-hati, penuh hormat dan mengekalkan ketertiban mahkamah,” tambah Hakim Hoong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg