Persatuan Guaman Singapura telah melantik peguam veteran, Encik Samuel Chacko, sebagai naib presiden barunya, berikutan peletakan jawatan pendahulunya, Encik Chia Boon Teck.
Persatuan itu menyiarkan di halaman media sosialnya pada 11 April bahawa pelantikan Encik Chacko akan berkuat kuasa serta-merta.
Penggal beliau akan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2025.
Dalam hantaran media sosial yang sama, persatuan itu mengumumkan bahawa Peguam Kanan Tan Cheng-Han akan dilantik sebagai ahli berkanun dalam majlis itu, lapor The Straits Times (ST).
Awal dari ini, Encik Chia meletak jawatan pada 25 Mac di tengah-tengah reaksi hebat terhadap komen yang dibuatnya mengenai seorang mangsa rogol.
Antara lain, Encik Chacko pula mengetuai kumpulan amalan penyelesaian pertikaian di Legis Point Chambers dan merupakan pakar dalam timbang tara, pertikaian komersial dan perdagangan antarabangsa.
Menurut laman web firmanya, Encik Chacko lulus dari University College of Wales, Aberystwyth, pada 1991 sebelum mendapatkan ijazah Sarjana Undang-undang dari University of Cambridge pada 1993.
Encik Chacko pertama kali diterima masuk ke Badan Peguam Inggeris pada 1992, dan diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Agung Singapura pada 1994.
Awal sebelum ini, Encik Chia, dipilih sebagai naib presiden Persatuan Guaman pada Ogos 2023.
Beliau berkhidmat sebagai bendaharinya, sebelum dituduh “memalukan mangsa” atau victim shaming, selepas Encik Chia menyiarkan komen mengenai mangsa itu dalam kes perogol yang disabitkan kesalahan, Lev Panfilov.
Panfilov yang merupakan pencipta kandungan TikTok, penulis skrip dan pelakon dengan sebuah saluran YouTube tempatan, disabitkan pada 21 Mac atas dua pertuduhan merogol, satu pertuduhan serangan seksual dan satu pertuduhan mencabul kehormatan.
Komen Encik Chia itu menyebabkan ramai peguam menggesa beliau meletak jawatan, termasuk presiden Persatuan Guaman, Cik Lisa Sam Hui Min.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, turut memberikan respons terhadap hantaran Encik Chia itu dan menyatakan kebimbangannya tentang kesan komen tersebut terhadap mangsa lain.
Apabila mereka mengadakan pertemuan pada 10 April, seperti yang diminta oleh Encik Chia, Encik Shanmugam telah menyeru peguam itu supaya merenungkan komennya.
Encik Chia bersetuju berbuat demikian, berubah dan mencari cara untuk menyumbang kepada masyarakat, kata Encik Shanmugam dalam hantaran Facebook pada hari yang sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg