Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hakim S’pura dapat lebih kuasa halang permohonan yang jejas kebajikan anak

Sep 17, 2024 | 5:27 PM
Pindaan kepada Akta Keadilan Keluarga termasuk menghalang seseorang daripada memfailkan satu permohonan yang menangguh prosiding atau menambah kos guaman, atau memberi kesan negatif kepada kebajikan anak.
Pindaan kepada Akta Keadilan Keluarga termasuk menghalang seseorang daripada memfailkan satu permohonan yang menangguh prosiding atau menambah kos guaman, atau memberi kesan negatif kepada kebajikan anak. - Foto ST

Mulai 15 Oktober, hakim di Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC) akan mendapat lebih banyak kuasa untuk menghalang permohonan tanpa merit yang boleh menjejas kebajikan anak atau menangguh prosiding perceraian tanpa keperluan, apabila pindaan kepada Akta Keadilan Keluarga 2014 berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan pada 16 September, FJC menyatakan pindaan kepada Akta tersebut, yang akan berkuat kuasa pada 15 Oktober, termasuk:

* Menghalang seseorang daripada memfailkan satu permohonan yang akan menjejas proses keadilan, menangguh prosiding atau menambah kos guaman, atau memberi kesan negatif kepada kebajikan anak.

* Menghalang seseorang daripada memfailkan satu permohonan untuk menukar perintah mahkamah sedia ada jika ia dilakukan tanpa merit, atau memberi kesan negatif kepada kebajikan anak.

* Memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah substantif walaupun pihak yang terlibat tidak memfailkan permohonan sedemikian, selepas memastikan semua pihak yang terlibat telah diberi peluang untuk didengar oleh mahkamah. Perintah substantif ini mungkin berkaitan perkara seperti akses kepada anak, penjagaan anak dan nafkah, kata beberapa peguam yang ditemu bual.

Semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Perubahan terhadap Keadilan Keluarga pada Mei 2023, Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang) ketika itu, Cik Rahayu Mahzam, menarik perhatian bahawa ramai yang terlibat dalam kes keluarga tidak diwakili peguam.

Oleh itu, mereka mungkin tidak mengetahui mengenai arahan mahkamah yang diperlukan untuk menangani masalah tertentu, atau menjaga kebajikan anak mereka, tambahnya.

Memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah substantif, walaupun mereka yang terlibat tidak meminta perintah sedemikian, akan membolehkan mahkamah membuat perintah yang diperlukan untuk menangani pelbagai masalah secara berkesan, jelas Cik Rahayu.

Beliau kini menyandang jawatan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan).

Menurut beberapa peguam, contoh permohonan tanpa merit yang boleh ditolak apabila pindaan kepada Akta baru itu berkuat kuasa, termasuk percubaan berulang kali untuk menukar perintah akses kepada anak kerana ibu bapa tidak berpuas hati dengan aturan sedia ada, lapor The Straits Times (ST).

Perintah akses ialah perintah mahkamah yang membolehkan ibu atau bapa yang tidak tinggal bersama anak, meluangkan masa bersama anak selepas perceraian.

Semasa Persidangan Keluarga Persatuan Undang-undang Singapura 2024 pada 3 September,  Hakim Ketua FJC, Encik Teh Hwee Hwee, berkata perubahan itu adalah sebahagian usaha untuk mengurangkan konflik dalam kes perceraian dan mengambil “pendekatan yang lebih dipimpin hakim”.

Dalam pendekatan yang dipimpin hakim, hakim yang pakar dalam hal keluarga mengetuai dan mengawal rentak dan hala tuju prosiding perceraian.

Satu seksyen baru Akta Keadilan Keluarga 2014 juga melindungi lebih ramai saksi yang memerlukan bantuan, dalam lebih banyak jenis prosiding mahkamah, seperti kes melibatkan mangsa keganasan keluarga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg