Seorang hakim telah menegur seorang peguam jenayah kerana kerendahan kualiti pembelaan bertulis yang diserahkan kepada mahkamah bagi pihak anak guamnya, yang mengaku bersalah atas tuduhan menipu.
Dalam penghakiman pada 11 November, Hakim Daerah Lim Tse Haw berkata beliau telah memberitahu Encik A. Revi Shanker bahawa pembelaannya “terlalu rumit dan panjang lebar”, serta penuh dengan kesalahan tatabahasa, sehingga beliau sukar memahami apa yang cuba disampaikannya.
“Peguam dan pendakwa perlu menyediakan hujah bertulis mereka sebaik mungkin dalam bahasa Inggeris yang ringkas dan mudah dibaca.
“Ini akan menjimatkan banyak masa berharga mahkamah untuk membaca dan memahami hujah tersebut,” kata Hakim Daerah Lim.
Untuk lebih memahami hujah pembelaan itu, beliau meminta Encik Shanker supaya membuat pembentangan secara lisan di mahkamah.
Jeremy Francis Cruez, seorang warga Sri Lanka berusia 60 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan pada Oktober kerana menipu bekas majikannya, Major’s Pest Management Services.
Cruez, seorang pengurus pengasapan, telah menghantar invois palsu antara 13 April 2017 dengan 22 Oktober 2019 untuk bekalan pengasapan bernilai $190,455.60.
Dia telah menaikkan harga bekalan sebanyak 5 peratus dalam invois, dan berniat untuk mengambil lebihan wang tersebut, lapor The Straits Times.
Apabila ditanya oleh pengarah urusan syarikat mengenai kaedah pembayaran secara tunai, dia menipu dengan mengatakan bahawa pembekal memerlukan bayaran tunai dan menunjukkan e-mel palsu daripada seorang eksekutif bernama Myrna, yang sebenarnya adalah rakannya yang bekerja sebagai pembantu rumah.
Mempercayai penipuan Cruez, syarikat tersebut membayar jumlah itu.
Kededua pihak membuat rayuan, namun Cruez kemudian menarik balik rayuannya.
Dalam penghakiman tersebut, Hakim Daerah Lim memberi fokus pada perenggan pertama pembelaan Encik Shanker, yang terdiri daripada satu ayat sepanjang 176 perkataan.
Setelah mengesahkan bahawa pembelaan itu ditulis Encik Shanker sendiri, hakim meminta beliau meringkaskan pembelaan itu secara lisan pada perbicaraan 22 Oktober 2024.
Semasa perbicaraan, Encik Shanker menjelaskan bahawa Cruez tidak mengubah pengakuan bersalahnya.
Anak guamnya juga telah menawarkan untuk membayar balik $12,953.73 – iaitu jumlah keuntungan 5 peratus yang diperoleh daripada invois palsunya – kepada syarikat tersebut.
Namun, tawaran itu ditolak oleh syarikat tersebut.
Hakim Daerah Lim menolak rayuan pembelaan agar mengenakan denda ke atas Cruez, dan pada masa yang sama, berkata rayuan pendakwaan untuk hukuman penjara antara 14 dengan 16 bulan terlalu berat.
Ini kerana Cruez tetap melaksanakan kerja pengasapan dan tidak melarikan keseluruhan wang yang tertera pada invoisnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg