Badan persuratan, kesenian dan budaya Melayu disyorkan agar lebih giat dalam menganjurkan kegiatan kebahasaan dan persuratan di peringkat tadika hingga ke institusi pengajian tinggi, kata mantan presiden, Puan Halimah Yacob.
Berkata demikian di acara perasmian Bisikan Pena anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS), Puan Halimah berkata program yang dijalankan harus bersifat pengayaan yang memberi nilai tambah dan membantu generasi muda lebih menghargai, lebih menyantuni dan selesa menggunakan bahasa ibunda dan senang mendukung budaya Melayu.
“Hakikatnya, keadaan hari ini lebih mencabar, dengan sebahagian besar rakyat Singapura merentasi usia dan kaum, lebih senang berbahasa Inggeris – dari si comel di prasekolah sehinggalah mereka yang dewasa. Ini tidak harus dibiasakan.
“Atas kesedaran itu, saya menggalak dan menggesa generasi muda Melayu hari ini untuk menyahut cabaran – kembali meningkatkan penguasaan bahasa Ibunda. Jangan malu untuk bercakap dan berbual dalam Bahasa Melayu. Kita perlu ada kemahuan, tekad dan kesungguhan untuk fasih bertutur dan berupaya menulis dalam bahasa Ibunda dengan baik.
“Saya mengesyorkan agar badan persuratan, kesenian dan budaya Melayu lebih giat dalam menganjurkan kegiatan kebahasaan dan persuratan di peringkat tadika hingga ke institusi pengajian tinggi,” kata beliau.
Sempena meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura pada 2025, Puan Halimah menggesa badan-badan kebahasaan, persuratan dan kesenian Melayu agar memulakan langkah untuk membentuk satu Majlis Kerja Tetap – berpandukan matlamat yang digariskan setiap lima tahun.
Ini sebagai titik mula usaha bermakna dalam memberi tumpuan penuh kepada usaha pembangunan dan pengembangan bahasa, persuratan dan kesenian Melayu secara lebih tersusun, dinamis, profesional lagi membina untuk manfaat generasi muda hari ini dan seterusnya, kata beliau.
“Majlis Kerja Tetap yang disarankan ini merangkumi badan-badan yang kaya sumber daya selain sumber tenaga dan kepakaran merangkumi golongan kreatif, guru, sarjana bahasa, sasterawan, pustakawan, usahawan sektor penerbitan, usahatekwan dan karyawan media.
“Menerusi penubuhan Majlis Kerja Tetap ini, tumpuan penuh dalam merangka kegiatan kebahasaan untuk setiap lapisan umur dapat diperhalusi, ditawarkan dan dilaksanakan di pelbagai saluran – sama ada di balai rakyat, sekolah, perpustakaan, wadah media digital, media cetak, saluran tv dan radio ataupun media sosial.
“Kejayaan Majlis Kerja Tetap ini bersandarkan kepada penyertaan aktif setiap badan persuratan dan kesenian Melayu dalam melakar rapi agenda kegiatan bahasa dan kesenian Melayu dengan pendekatan yang segar, baharu lagi menarik di samping mengekalkan program tradisional bagi memenuhi kehendak semasa dari peringkat prasekolah hingga universiti; golongan remaja dan golongan ibu bapa yang dahagakan sumber pengajaran Bahasa Melayu untuk anak-anak mereka, pencinta bahasa dan sastera serta penulis mapan dan muda,” ujar beliau.
Yang jelas, tambah Puan Halimah, Majlis Kerja Tetap perlu meningkatkan penggunaan bahasa ibunda di kalangan generasi muda, dan menerusinya melahirkan barisan yang arif bahasa, sastera dan budaya serta resam hidup Melayu di Singapura selain membangun golongan pelapis yang berkeupayaan dan berwibawa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg