Hampir 100 sukarelawan belia ganding bahu jayakan inisiatif Ramadan pada awal pagi di Masjid Kassim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir 100 sukarelawan belia ganding bahu jayakan inisiatif Ramadan pada awal pagi di Masjid Kassim

Mar 7, 2026 | 7:02 PM

Hampir 100 sukarelawan belia ganding bahu jayakan inisiatif Ramadan pada awal pagi di Masjid Kassim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (empat dari kanan); dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi (empat dari kiri), menyertai sekitar 100 belia di Masjid Kassim pada awal pagi 7 Mac untuk membungkus pek keperluan dapur bagi keluarga rentan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (empat dari kanan); dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi (empat dari kiri), menyertai sekitar 100 belia di Masjid Kassim pada awal pagi 7 Mac untuk membungkus pek keperluan dapur bagi keluarga rentan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun tidak cukup tidur pada malam sebelumnya, Cik Farra Nur Quraisya Irwan tetap bangun seawal pagi untuk menyumbang tenaga membungkus pek keperluan dapur di Masjid Kassim untuk diedarkan kepada keluarga rentan.

Sebelum memulakan kegiatan sukarelawan itu, beliau turut bersahur di masjid tersebut, sekaligus meluangkan hampir keseluruhan pagi di sana bagi menjayakan program itu.

Cik Farra, 24 tahun, pelajar Institut Pengurusan Singapura (SIM), merupakan antara sekitar 100 belia yang membantu secara sukarela dalam inisiatif RamaDAWN, yang berlangsung di Masjid Kassim mulai sekitar 4 pagi pada 7 Mac.

“Walaupun kami kurang tidur dan meluangkan lebih masa di luar rumah, saya rasa pada akhirnya ia semua berbaloi kerana kami dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Saya rasa inisiatif seperti RamaDAWN yang dipimpin oleh belia amat penting kerana menerusinya, kami dapat meluaskan perspektif dan memahami dengan lebih mendalam apa yang berlaku di peringkat masyarakat,” ujarnya.

Dianjurkan cabang Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra Belia), ia merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang menggembleng belia daripada Institusi Pengajian Tinggi (IHL), pertubuhan Melayu/Islam (MMO), pertubuhan India/Islam (IMO), Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) serta rangkaian M³@Bandar.

Meskipun tidak cukup tidur, Cik Farra Nur Quraisya Irwan, gembira dapat menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi inisiatif RamaDAWN di Masjid Kassim pada awal pagi 7 Mac.
Meskipun tidak cukup tidur, Cik Farra Nur Quraisya Irwan, gembira dapat menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi inisiatif RamaDAWN di Masjid Kassim pada awal pagi 7 Mac. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Hadir semasa inisiatif RamaDAWN ialah penasihat kepada PA Mesra Belia, termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi; serta Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.

Dalam inisiatif tersebut, para sukarelawan membungkus sebanyak 1,000 pek keperluan dapur yang akan diagihkan kepada sekitar 1,000 keluarga rentan di seluruh Singapura merentasi kesemua bandar di bawah rangkaian M Kuasa Tiga (M³).

Bandar tersebut ialah M³@Toa Payoh, M³@Jalan Besar, M³@Bedok, M³@Geylang Serai, M³@Pasir Ris-Changi, M³@Punggol, M³@Tampines, M³@Woodlands, M³@Marsiling-Yew Tee, M³@Nee Soon, M³@Jurong, dan M³@Chua Chu Kang.

Antara barang keperluan yang didapati dalam setiap pek termasuk beras, minyak masak, paket kopi, garam, rempah kari, dan kurma.

Setiap pek mengandungi pelbagai barang keperluan seperti beras, minyak masak, paket kopi, garam, rempah kari, dan kurma.
Setiap pek mengandungi pelbagai barang keperluan seperti beras, minyak masak, paket kopi, garam, rempah kari, dan kurma. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Seorang lagi sukarelawan belia, Cik Sofiyyatul Husna Habeeb Mohamed, 22 tahun, berkata pengalaman tersebut membuka matanya tentang kepentingan peranan belia dalam menyokong masyarakat.

“Sebagai belia, kami perlu tampil memikul tanggungjawab sebagai pemimpin generasi akan datang.

“Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk menyedari hakikat yang dihadapi pelbagai lapisan masyarakat, dan cuba memahami cabaran yang menjejaskan kehidupan harian mereka.

“Inisiatif ini juga menunjukkan bagaimana usaha individu boleh digabungkan untuk menghasilkan kesan besar kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Pengalaman menyertai RamaDAWN membuka mata Cik Sofiyyatul Husna Habeeb Mohamed tentang betapa pentingnya peranan belia dalam menyokong masyarakat.
Pengalaman menyertai RamaDAWN membuka mata Cik Sofiyyatul Husna Habeeb Mohamed tentang betapa pentingnya peranan belia dalam menyokong masyarakat. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pengerusi PA Mesra Belia, Encik Iylia Shukor, berkata beliau berbesar hati melihat belia daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu dan berganding bahu untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi inisiatif tersebut.

Menurutnya, ia sekaligus membuktikan semangat khidmat masyarakat yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

“Saya rasa inti pati inisiatif ini adalah untuk menyatukan belia daripada pelbagai masyarakat, sekolah, MMO dan IMO demi manfaat masyarakat.

“Menuju ke hadapan, kami bercadang untuk melibatkan belia daripada agama dan budaya lain, bukan hanya daripada masyarakat Melayu/Islam dan India/Islam, supaya kita dapat menyatukan semua pihak demi kebaikan masyarakat secara keseluruhan,” terang beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg