Sebanyak 119 tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) Malaysia telah diambil dan dipasang di dalam kenderaan di kaunter maklumat VEP Woodlands sejak pilihan untuk mengambil tag itu dari pejabat di ingapura bermula pada 12 September.
Pengurus di pusat maklumat di lantai tiga, 186 Woodlands Industrial Park E5, Encik Ng Poh Heng, berkata pada 18 September bahawa pasukan itu telah, dan akan, memasang 30 VEP dalam kenderaan setiap hari sehingga 30 September, sebelum menambah bilangan kepada 50 VEP setiap hari dari 1 Oktober hingga 4 Oktober.
Beliau merancang untuk mengupah seorang lagi kakitangan untuk memenuhi sasarannya untuk memasang 100 hingga 150 VEP setiap hari menjelang pertengahan Oktober.
Ini berlaku selepas berita mengenai pembukaan pusat pengambilan di Singapura muncul pada 3 September, apabila pemandu kenderaan boleh memilih untuk mengambil tag mereka di kaunter Woodlands – bukannya Danga Bay di Johor atau melalui pos – dengan bayaran $39.
Mulai 1 Oktober, kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat perlu mempunyai VEP yang sah, yang bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan ini di Malaysia.
Ini kerana setiap permit mempunyai tag pengenalan frekuensi radio (RFID), yang membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kenderaan berdaftar asing.
VEP boleh digunakan untuk membayar yuran tol di lebuh raya Malaysia, serta caj jalan raya RM20 ($6) yang dikenakan ke atas kenderaan asing apabila mereka memasuki Malaysia.
Pemilik kenderaan bukan berdaftar di Malaysia boleh dinafikan masuk ke Johor atau didenda sehingga RM2,000 jika didapati tanpa VEP yang sah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg