Seorang pemandu kereta sewa privet, Encik Jackson Tan, memohon Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk memandu ke Malaysia pada 8 Julai, namun hanya diberitahu pada 19 Ogos supaya mengambil permit itu di pusat Johor pada Oktober.
Semasa membuat permohonan, beliau tidak mempunyai kad log kenderaannya, yang boleh diperoleh daripada laman web OneMotoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Beliau dimaklumkan mengenai kesilapan dalam permohonannya itu oleh kakitangan di kaunter maklumat VEP baru yang terletak di tingkat tiga di 186, Woodlands Industrial Park E5.
Encik Tan, 55 tahun, adalah satu-satunya pemohon di kaunter maklumat itu pada 11.25 pagi, 19 Ogos ketika kaunter tersebut dibuka buat kali pertama.
Ia mempunyai dua kakitangan kaunter dan tiga kakitangan sokongan teknikal.
Namun pada 2 petang, bilangan pengunjung ke kaunter maklumat itu meningkat kepada 200 orang, lapor The Straits Times.
Mulai 1 Oktober, semua kenderaan berdaftar di luar negara yang memasuki Johor dari Singapura dikehendaki mempunyai VEP.
Permit itu berfungsi seperti “kad pengenalan” bagi kenderaan dari luar negara yang memasuki Malaysia.
Antara lain, ia akan membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengesan rekod trafik kenderaan dari luar negara, termasuk saman tertunggak dan kesalahan trafik.
Peraturan mewajibkan VEP itu akan dikuatkuasakan di pintu masuk di kededua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Linkedua Malaysia-Singapura.
Pemandu tanpa VEP sah menghadapi risiko dihalang memasuki Malaysia, atau didenda hingga RM2,000 ($600).
Menurut Encik Tan, permohonannya yang dibuat dalam talian mempunyai beberapa masalah dokumen. Oleh itu, beliau menyerahkannya sekali lagi sekitar dua minggu lalu.
“Tetapi ia masih belum diluluskan, jadi saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lanjut. Sekarang, saya ada slot janji temu untuk mengambil VEP saya di Malaysia,” ujarnya.
Kaunter maklumat di Woodlands itu bagus dan memudahkan pemandu warga Singapura, memandangkan satu lagi kaunter VEP terletak di Danga Bay, Johor Bahru, tambahnya.
Kaunter maklumat itu bertujuan membimbing pemandu Singapura dalam proses permohonan VEP dalam talian. Perkhidmatan itu adalah percuma.
Pemandu tidak boleh memasang atau mengambil tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) VEP mereka di kaunter tersebut.
Mereka hanya boleh mengambilnya di pusat pengambilan Danga Bay atau memilih kaedah kiriman melalui pos ke alamat di Singapura atau Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg