Hampir 200 warga S’pura dibantu pindah dari Doha ke Riyadh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir 200 warga S’pura dibantu pindah dari Doha ke Riyadh

Pemindahan dilakukan selama 3 hari sebelum sebahagian rakyat dibawa pulang menaiki penerbangan dikerah oleh pemerintah S’pura
Mar 10, 2026 | 1:50 PM

Hampir 200 warga S’pura dibantu pindah dari Doha ke Riyadh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
doha, riyadh, qatar, singapore embassy
Hampir 200 rakyat Singapura dan anggota keluarga mereka telah dibantu melalui pelepasan jalan darat dari ibu kota Qatar, Doha, ke Riyadh, Arab Saudi, oleh Kedutaan Singapura di Doha. - Foto FACEBOOK KEDUTAAN SINGAPURA DI DOHA

Hampir 200 rakyat Singapura dan anggota keluarga mereka mendapat bantuan daripada Kedutaan Singapura di Doha untuk melakukan perjalanan darat dari ibu kota Qatar, Doha ke Riyadh, Arab Saudi.

Dalam satu hantaran di Facebook sejurus selepas 12 tengah malam pada 10 Mac, Kedutaan Singapura menyatakan pemindahan itu dilakukan selama tiga hari, dari 7 hingga 9 Mac.

“Sebahagian daripada mereka akan pulang ke tanah air dengan menaiki penerbangan yang dikerahkan oleh pemerintah Singapura esok (11 Mac).

“Kami bersyukur dapat membantu rakyat Singapura pulang ke tanah air ketika berlakunya gangguan besar terhadap perjalanan udara di tengah-tengah ketegangan serantau,” kata kedutaan tersebut.

Kedutaan itu juga akan terus memaklumkan rakyat Singapura mengenai perkembangan penting.

Maklumat penting daripada pihak berkuasa Qatar juga akan dikongsi semula di laman media sosial, tambahnya.

Sementara itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berkongsi Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah berlepas dari Pangkalan Udara Changi menuju ke Riyadh pada awal pagi 10 Mac.

Menurut Encik Zaqy dalam satu hantaran Facebook yang berasingan, ramai rakyat Singapura telah meminta bantuan untuk pulang ke Singapura di tengah-tengah kekurangan pilihan komersial ekoran konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

“Pemerintah Singapura telah mengerahkan pesawat MRTT tersebut untuk membawa mereka pulang.

“Ini merupakan satu misi yang penting dan kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan semua orang kembali dengan selamat,” kata Encik Zaqy.

Pengerahan pesawat MRTT RSAF ke Riyadh pada 10 Mac merupakan penerbangan ketiga Singapura dalam usaha membawa pulang rakyatnya susulan serangan yang bermula pada 28 Februari.

Penerbangan penghantaran pulang seterusnya dirancang pada 12 Mac, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Sebelum ini, dua penerbangan yang membawa pulang rakyat Singapura dari Muscat, Oman, melalui pesawat sewaan khas Singapore Airlines (SIA) telah berlepas pada 7 dan 8 Mac dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi.

MFA sebelum itu pada 6 Mac mengaturkan perjalanan darat bagi warga Singapura di Dubai dan Abu Dhabi, Amariah Arab Bersatu (UAE), untuk ke Muscat sebagai persediaan bagi penerbangan penghantaran pulang dari ibu kota Oman itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg