S’pura hantar pesawat RSAF ke Riyadh bawa pulang warga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura hantar pesawat RSAF ke Riyadh bawa pulang warga

Pesawat RSAF A330 dikerah 10 Mac, penerbangan kedua pada 12 Mac dalam perancangan
Mar 9, 2026 | 3:33 PM

S’pura hantar pesawat RSAF ke Riyadh bawa pulang warga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MFA, Mindef, pesawat RSAF, bawa pulang warga, Saudi, repatriation
Kenyataan bersama Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 9 Mac menyatakan Singapura akan menghantar pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330, milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), bagi membantu dalam usaha pemindahan rakyat Singapura dari Riyadh, Arab Saudi. - Foto fail

Singapura akan mengerahkan sebuah pesawat tentera untuk membawa pulang rakyat Singapura di Timur Tengah dari Riyadh, Arab Saudi, pada 10 Mac, dengan penerbangan pemindahan seterusnya dirancang pada 12 Mac.

Usaha itu dilakukan bagi memenuhi permintaan warga Singapura yang berada di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi yang berdepan dengan pilihan penerbangan yang terhad di rantau Timur Tengah di tengah-tengah konflik yang meruncing di benua itu.

Demikian kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan bersama pada 9 Mac.

MFA dan Mindef berkata Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), akan dikerahkan bagi membantu dalam usaha pemindahan tersebut.

MFA akan menghubungi warga Singapura yang melahirkan hasrat bersama kementerian itu bagi pemindahan pulang untuk butiran lanjut, tambah kenyataan itu.

Dalam catatan Instagram MFA pada 9 Mac, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, berkata situasi di Timur Tengah masih tidak menentu.

Beliau berkata lapangan terbang utama dan syarikat penerbangan di rantau itu sebahagian besarnya “belum bersedia untuk menyambung semula operasi” seperti biasa.

“Usaha mengerahkan penerbangan pemindahan memerlukan rancangan dan penyelarasan yang teliti. Situasi keselamatan di lapangan boleh berubah dengan cepat.

“Pegawai MFA di Singapura dan kedutaan luar negara sedang bekerja keras untuk melaksanakan operasi ini, di tengah-tengah persekitaran yang sangat mencabar,” ujarnya.

Cik Gan berkata pemerintah akan terus menggiatkan usaha membawa pulang warga Singapura di rantau itu dan menggesa agar warga Singapura yang masih di Timur Tengah untuk mengambil langkah berjaga-jaga, di samping terus berhubungan dengan kedutaan MFA masing-masing.

Dengan pengerahan pesawat MRTT RSAF ke Riyadh pada 10 Mac, ini menjadikannya penerbangan pemindahan ketiga Singapura dalam usaha negara ini membawa pulang rakyatnya yang terkesan dek konflik Israel-Amerika dengan Iran dan menggugat rantau Timur Tengah.

Awal dari itu, dua penerbangan pemindahan pertama untuk membawa pulang rakyat Singapura dari Muscat, Oman – salah satu negara dengan ruang udara yang masih dibuka seperti biasa – melalui pesawat sewaan khas Singapore Airlines (SIA) telah berlepas pada 7 dan 8 Mac dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi.

MFA sebelum itu pada 6 Mac telah mengaturkan perjalanan melalui darat bagi warga Singapura di Dubai dan Abu Dhabi, Amariah Arab Bersatu (UAE), untuk ke Muscat sebagai persediaan bagi penerbangan pemindahan dari ibu kota Oman itu.

Usaha penerbangan pemindahan ini dilakukan sedang Amerika dan Israel terus mempergiat serangan ke atas Iran sejak 28 Februari.

Iran kemudian melakukan serangan balas terhadap beberapa negara Teluk termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan UAE. Sejak itu, ruang udara bagi kebanyakan negara terbabit masih ditutup.

Pada 7 Mac, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, berkata Iran akan mengelak daripada menyerang negara-negara jiran di Teluk, kecuali jika serangan terhadap Iran berpunca dari negara-negara berkenaan.

Beliau turut memohon maaf kepada negara-negara jiran berikutan ketegangan serantau yang semakin meningkat sambil menegaskan Iran tiada niat menceroboh negara lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg