Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir 30% rakyat yang layak sudah ambil pelitup N95, pemerintah terus pantau situasi
Hampir 30% rakyat yang layak sudah ambil pelitup N95, pemerintah terus pantau situasi
Hampir 30 peratus rakyat Singapura yang layak telah mengambil pelitup N95 mereka setakat 29 Oktober, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Ini susulan dua pusingan pengagihan pelitup tersebut ketika keadaan jerebu memburuk – yang pertama pada 14 Oktober kepada warga berusia 67 tahun dan ke atas serta mereka yang lebih mudah terjejas seperti wanita hamil dan kanak-kanak, dan yang kedua pada 23 Oktober apabila kelayakan diperluaskan untuk merangkumi semua rakyat Singapura berusia 60 tahun dan ke atas.
Menjawab soalan para Anggota Parlimen (AP) berhubung isu jerebu di Parlimen pada 3 November, Cik Fu berkata pemerintah akan terus menyemak skala dan kelayakan pengagihan pelitup sedang keadaan berubah, dan bersedia memperluaskan sokongan jika perlu.
Beliau menambah bahawa pemerintah mengutamakan rakyat yang lebih mudah terjejas dengan kesan jerebu, atau yang mungkin kurang berkemampuan apabila mengagihkan pelitup N95 percuma.
“Pemerintah mempertimbangkan tahap keterukan dan tempoh jerebu yang dijangkakan, risiko kesihatan awam semasa, serta keperluan golongan yang lebih mudah terjejas, apabila menentukan pengaktifan pengagihan pelitup kepada kumpulan yang layak.
“Dalam kes jerebu, tiada risiko penularan antara individu yang akan memerlukan semua rakyat Singapura memakai pelitup dengan segera,” kata beliau.
Dalam pada itu, menyentuh tentang bacaan mutu udara pula, Cik Fu berkata tidak ada keperluan bagi kementeriannya merangkumkan ramalan PM2.5 12 jam, 24 jam atau 48 jam kerana “terlalu banyak petunjuk mungkin merumitkan penyampaian maklumat kita kepada orang ramai”.
Singapura menyediakan ramalan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam dan juga bacaan PM2.5 setiap jam. PSI dikira merentas tempoh 24 jam, dengan bacaan tersebut berguna untuk merancang kegiatan untuk hari seterusnya.
Cik Fu berkata ramalan itu mengambil kira mutu udara semasa, keadaan cuaca setempat dan serantau, dan situasi titik panas dan jerebu serantau yang dinilai menerusi imej satelit.
Bacaan PM2.5 setiap jam pula, yang diukur dalam mikrogram bagi setiap meter padu dan digunakan sebagai ukuran mutu udara semasa, memberikan maklumat berguna mengenai keadaan pada waktu berkenaan.
Ini berdasarkan bacaan daripada 23 stesen pemantauan mutu udara Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang dipasang merentas negara.
Cik Fu berkata penduduk, sekolah dan majikan harus menggunakan ramalan PSI dan nasihat kesihatan yang berkaitan untuk merancang kegiatan luar bagi hari berikutnya, dan merujuk kepada bacaan PM2.5 tempatan satu jam terkini apabila membuat keputusan mengenai kegiatan luar yang akan dijalankan dengan segera.
“Penggunaan ramalan PSI 24 jam bagi perancangan dan PM2.5 setiap jam untuk membuat keputusan telah terbukti berkesan,” kata beliau.
“NEA akan terus menyemak bagaimana ramalan dan khidmat maklumat awam boleh dipertingkat untuk memberikan bimbingan lebih berguna.”