Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perkukuh kerjasama tubuh pusat penyelaras jerebu serantau sempena pengerusi Asean 2027
S’pura perkukuh kerjasama tubuh pusat penyelaras jerebu serantau sempena pengerusi Asean 2027
S’pura perkukuh kerjasama tubuh pusat penyelaras jerebu serantau sempena pengerusi Asean 2027
Singapura akan bekerjasama dengan negara anggota Asean untuk berusaha membentuk sebuah pusat penyelaras serantau bagi kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan sedang negara ini memegang jawatan pengerusi kumpulan serantau itu pada 2027, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Pusat Penyelarasan Asean bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) itu akan berpangkalan di Indonesia, yang akan mengukuhkan kerjasama dan penyelarasan dalam menangani kebakaran tanah dan hutan serta jerebu rentas sempadan.
Bagaimanapun, ini hanya akan berkuatkuasa selepas enam negara anggota Asean meratifikasi Perjanjian Penubuhan ACC THPC.
“Singapura akan menyerahkan Surat Ratifikasi bagi Perjanjian Penubuhan tersebut dalam tempoh beberapa hari akan datang, dan kami akan menggalak negara-negara anggota Asean yang lain untuk turut berbuat demikian,” kata beliau.
Cik Fu berkata demikian di Parlimen pada 3 November dalam menjawab soalan oleh para Anggota Parlimen (AP) mengenai bagaimana Singapura boleh bekerjasama dengan Asean untuk menangani isu jerebu.
Menurut beliau, Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) merupakan rangka kerja utama bagi negara anggota Asean bekerjasama secara kolektif untuk mencegah, memantau dan mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta jerebu yang terhasil daripadanya.
Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC), yang dihoskan Singapura sejak 1993, menyediakan penilaian cuaca, iklim, dan jerebu serantau kepada negara anggota Asean, serta menyebarkan imej satelit dan maklumat mengenai titik panas.
Selain itu, selaras dengan prosedur operasi yang dipersetujui Asean, pusat tersebut memberikan nasihat mengenai tahap amaran serantau – bermula daripada tahap sifar yang menandakan tiada risiko jerebu merentasi sempadan sehingga tahap tiga yang menandakan risiko tinggi bagi jerebu merentasi sempadan yang teruk.
Cik Fu berkata Singapura telah mengambil tindakan lebih awal sebelum bermulanya musim kemarau tahun ini.
Pada Mei, disebabkan risiko jerebu rentas sempadan yang meningkat, Singapura telah memaklumkan negara anggota Asean supaya mempertingkatkan kewaspadaan dan mengukuhkan penyelarasan serantau.
Perkara ini ditegaskan semula dalam mesyuarat Jawatankuasa Menteri Sub-Rantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada Julai, di mana Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand mengetengahkan langkah-langkah pencegahan nasional mereka, serta mengesahkan komitmen mereka untuk terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah sewajarnya sepanjang musim kemarau.
Oleh sebab keadaan kemudiannya berubah, ASMC menasihatkan pengaktifan Tahap Amaran 2 pada 3 Ogos susulan peningkatan kegiatan titik panas dan jerebu, serta menaikkan amaran kepada tahap tertinggi pada 26 Ogos memandangkan risiko telah meningkat dengan ketara berdasarkan keadaan titik panas yang berlaku, kata Cik Fu.
Apabila langkah-langkah pencegahan gagal, Cik Fu berkata Singapura bersedia membantu Indonesia sekiranya bantuan sedemikian diperlukan dan dialu-alukan – sesuatu yang telah disampaikan kepada pelbagai peringkat pihak Indonesia.
Bantuan sedemikian termasuk bantuan awam untuk menyokong pegawai bomba Indonesia dan sokongan operasi bagi kegiatan pembenihan awam.
Kerjasama dua hala berterusan mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan adalah sejajar dengan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Singapura dan Indonesia mengenai kerjasama sekitaran pada Jun lalu.
Cik Fu berkata Indonesia telah memaklumkan Singapura pada 19 Oktober bahawa ia berupaya menangani situasi dan tidak memerlukan bantuan asing.
“Singapura menghormati kedaulatan Indonesia dan penilaian keperluannya, termasuk sama ada penubuhan sebuah pasukan petugas serantau bersama bagi memadam kebakaran akan memberi manfaat,” kata beliau.
Selain AATHP, Cik Fu berkata Singapura akan bekerjasama dengan negara anggota Asean yang lain untuk mempertingkatkan pelaksanaan inisiatif relevan dalam tonggak sektoral Asean yang lain, yang menangani punca utama jerebu rentas sempadan, seperti pengurusan tanah dan tanah gambut secara mampan, serta garis panduan mengenai pembakaran tanaman.
“Beberapa negara anggota Asean telah menyatakan hasrat untuk membangkitkan isu jerebu rentas sempadan dalam mesyuarat Asean akan datang.
“Singapura akan menyokong perbincangan ini, dan berkongsi langkah yang akan diambil Singapura terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu itu,” kata beliau.