Singapura tidak boleh mengawal harga makanan secara langsung, tetapi boleh memastikan harga makanan yang boleh dimampui dapat diperkukuh secara mampan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan.

Ia boleh dilakukan melalui beberapa pendekatan, termasuk mengekalkan persaingan adil, mempelbagaikan sumber makanan, meluaskan pilihan pengguna, dan menyediakan sokongan kepada isi rumah yang paling memerlukan bantuan, tambah beliau.

Menurutnya, selain menyediakan sokongan kepada isi rumah, pemerintah juga memastikan makanan dengan harga yang boleh dimampui dapat diakses secara fizikal melalui rangkaian luas pilihan tempat makan masyarakat yang berdekatan dengan rumah, seperti pusat penjaja.

Cik Goh berkata demikian dalam respons kepada satu usul berkenaan menjamin masa depan makanan negara di Parlimen pada 9 September, yang dikemukakan oleh empat Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) – Cik Poh Li San, Cik Nadia Samdin, Encik Ng Shi Xuan dan Cik Valerie Lee, yang merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran.

Mereka telah menyeru pemerintah supaya mempertingkat daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan melalui kerjasama dengan segenap lapisan masyarakat.

Ini demi memastikan rakyat Singapura mempunyai akses kepada bekalan makanan mampu milik di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim.

“Bahagian pertama pendekatan kami adalah untuk memastikan pasaran makanan kita kekal berdaya saing dan berdaya tahan.

“Kepelbagaian sumber bukan sahaja memperkukuh jaminan makanan, malah turut menyumbang kepada harga makanan yang boleh dimampui,” katanya.

Menurut Cik Goh, dengan mendapatkan bekalan dari pelbagai negara dan pembekal, kesan kejutan bekalan terhadap harga dapat dikurangkan.

“Persaingan antara pembekal juga memberi pengguna akses kepada pilihan makanan yang lebih luas pada pelbagai peringkat harga,” ujarnya.

Memahami kebimbangan rakyat mengenai harga makanan, Cik Goh berkata pemerintah memastikan harga yang boleh dimampui menjadi keutamaan mereka.

Ini terutamanya kerana Singapura tidak boleh mengasingkan pasaran domestiknya daripada tekanan harga sejagat, memandangkan ia mengimport lebih 90 peratus makanannya.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kita terdedah kepada pergerakan harga makanan sejagat.

“Kita telah melihat perkara ini semasa Covid-19 dan berikutan perang Russia-Ukraine pada 2022.

“Baru-baru ini, gangguan dalam bekalan tenaga global telah meningkatkan harga bahan api, pengangkutan barang, dan baja, sekali gus menambah tekanan kepada harga makanan di seluruh dunia,” kongsinya.

Beliau berkata, mengurangkan harga makanan secara buatan bukanlah langkah mampan.

Ini kerana ia tidak menyelesaikan punca kenaikan harga, malah berisiko menjejas kelangsungan peniaga dan penjaja yang turut menanggung peningkatan kos.

Bagi meredakan tekanan kos sara hidup, Cik Goh menambah bahawa pemerintah menyediakan sokongan kewangan terus secara fleksibel kepada isi rumah, antaranya melalui baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), rebat U-Save, dan bantuan ComCare.

Langkah itu turut diperkukuh menerusi kerjasama rakan masyarakat dan perniagaan yang menawarkan inisiatif makanan yang boleh dimampui, antaranya mesin penjual makanan CDC North West menyediakan hidangan berharga $3.

Cik Goh percaya makanan dengan harga yang boleh dimampui perlu mudah diakses dekat dengan rumah, dan ini disediakan melalui rangkaian 120 pusat penjaja sekitar Singapura.

“Pendekatan kami terhadap pusat penjaja adalah bersasar dan unik.

“Kami menganggapnya sebagai prasarana sosial yang memastikan pilihan makanan dimampui kekal berada dalam jangkauan rakyat Singapura, di samping memperkukuh hubungan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pemerintah terus membuat pelaburan besar dalam pembinaan pusat penjaja, terutama di estet perumahan baharu.

Berbeza dengan premis makanan dan minuman (F&B) komersial biasa, Cik Goh berkata, pemerintah menanggung kos awalan yang besar untuk membina pusat penjaja.

Selain itu, ia tidak mengutip semula kos tersebut daripada pemilik gerai, memandangkan pusat penjaja berkhidmat untuk tujuan awam yang lebih luas.

Menyentuh mengenai isu sisa makanan – yang merupakan aliran sisa keutamaan di bawah Pelan Induk Sifar Sisa 2019 – Cik Goh berkongsi bahawa pada 2025, Singapura menghasilkan 790,000 tan sisa makanan, iaitu sekitar 11 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dihasilkan di sini.

Mengulas tentang isu penyelamatan dan pemprosesan semula sisa makanan bagi jaminan makanan, Cik Goh menjelaskan bahawa sisa makanan wujud dalam pelbagai bentuk.

Ia termasuk makanan berlebihan yang boleh dimakan dan produk luput tarikh, hinggalah sisa dapur serta bahan sampingan kilang.

Maka, setiap jenis sisa makanan memerlukan penyelesaian yang berbeza, katanya.

“Hasilnya, pendekatan kami mengikut hierarki yang jelas – iaitu mengelakkan sisa makanan seawal mungkin, kemudian mengekalkan makanan yang masih boleh dimakan di dalam sistem makanan, dan akhirnya memperoleh semula nilai daripada sisa makanan yang tidak dapat dielakkan,” kongsinya.

Pemerintah akan melaksanakannya melalui empat peringkat.

Ini termasuk menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab, mengagihkan makanan berlebihan, memproses sisa bersih menjadi produk baharu, dan menukar baki sisa kepada tenaga, ujar beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti