Harga flat jualan semula serta jumlah urus niaga menyaksikan peningkatan dalam suku ketiga 2024 melebihi anggaran awal.
Demikian data yang dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 25 Oktober.
Indeks Harga Jualan Semula HDB untuk suku ketiga menunjukkan peningkatan 2.7 peratus berbanding suku sebelumnya.
Urus niaga bagi suku tersebut meningkat 10.7 peratus kepada 8,142 berbanding 7,352 pada suku kedua 2024, dan meningkat 21.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
HDB berkata bahawa sebahagian besar flat jualan semula pada suku terakhir adalah pada harga yang “jauh lebih rendah” daripada $1 juta, lapor The Business Times.
Menurut ketua penyelidik dan ahli strategi di OrangeTee, Cik Christine Sun, jumlah jualan semula terkini adalah yang tertinggi sejak suku ketiga 2021, yang mencatat 8,433 unit dijual.
“Memandangkan harga hartanah swasta kekal tinggi, peningkatan permintaan mungkin disebabkan oleh lebih ramai orang yang beralih dari flat jualan semula yang lebih kecil kepada yang lebih besar.
“Selain itu, lebih ramai pemilik rumah privet yang mungkin memilih membeli flat jualan semula HDB kerana faktor kemampuan,” kata Cik Sun.
HDB mengaitkan pertumbuhan harga flat jualan semula dan bilangan jualan pada suku itu kepada permintaan yang kukuh, serta bekalan di pasaran yang agak terbatas.
Ini disebabkan oleh bilangan flat baru yang memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2024 berbanding 2023.
Menurut Cik Sun, permintaan perumahan mungkin susut pada suku akhir 2024 disebabkan cuti akhir tahun dan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang mencukupi dan yang telah diumumkan untuk jualan pada Oktober.
Namun, beliau menjangkakan harga flat jualan semula kekal tinggi dek bekalan flat MOP yang terbatas, di samping meramalkan harga flat jualan semula HDB secara keseluruhan meningkat 7 hingga 8 peratus pada 2024.
HDB meluluskan 9,118 permohonan untuk menyewakan flat pada suku ketiga 2024, penurunan 4.6 peratus berbanding 9,554 pada suku sebelumnya.
Terdapat 59,178 unit HDB yang disewakan pada akhir September 2024, menunjukkan peningkatan 1 peratus berbanding 58,596 unit pada suku sebelumnya.
Cik Sun juga meramalkan permintaan sewa akan “menghadapi sedikit tekanan” apabila lebih ramai penyewa beralih ke pasaran kondominium, dengan sewa hartanah privet “menjadi lebih menarik”.
HDB berkata ia bersedia menawarkan 5,000 flat BTO di Kallang/Whampoa, Queenstown, Woodlands dan Yishun pada Februari 2025.
Pada Februari 2025, ia juga bakal mengadakan Jualan Baki Flat (SBF) terbesarnya dengan menawarkan lebih 5,500 flat merentasi pelbagai bandar dan estet.
Sekitar empat daripada 10 flat SBF akan siap, dengan bakinya akan disiapkan secara bertahap dari 2025 hingga 2028.
Menurut HDB, ini bermakna lebih 10,000 flat baru akan ditawarkan pada Februari 2025.
HDB dijadual melancarkan sejumlah 100,000 flat dari 2021 hingga 2025.
Sebanyak 21,225 flat baru telah dilancarkan HDB setakat ini.
Ia terdiri daripada 19,637 flat BTO dan 1,588 flat yang ditawarkan di bawah SBF pada Februari 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg