Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) ketiga di Tanjong Rhu dan pembangunan 1,500 unit berdekatan laut di Woodlands adalah antara lima projek yang akan mula dijual pada Februari 2025.
Dua projek di Chencharu, kawasan perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang akan datang di Yishun, dan flat di Mei Chin Road di Queenstown juga akan ditawarkan.
HDB pada 16 Oktober mengeluarkan butiran di laman webnya mengenai lima projek yang akan dilancarkan dalam pelaksanaan jualan BTO pertama pada 2025.
Ia akan menawarkan kira-kira 5,000 flat di Kallang/Whampoa, Queenstown, Woodlands dan Yishun.
Projek di Tanjong Rhu – sebuah kawasan terletak di bawah Kallang/Whampoa – akan mempunyai kira-kira 800 flat dua bilik Flexi serta tiga dan empat bilik di atas tapak berhampiran Sungai Geylang.
Terletak di Tanjong Rhu Road, projek itu berhampiran Sekolah Tinggi Dunman dan dua stesen MRT – Tanjong Rhu dan Katong Park di Laluan Thomson-East Coast.
Stesen Stadium dan Mountbatten di Laluan Circle juga berada di kawasan sekitar.
Penganalisis hartanah menjangka projek itu, yang mungkin termasuk dalam kategori Prime, akan popular, memandangkan lokasinya yang menarik berhampiran pusat bandar, lapor The Straits Times.
Cik Wong Siew Ying, ketua penyelidikan dan kandungan di PropNex, berkata flat di situ mungkin mempunyai pemandangan panoramik Sungai Geylang dan Hab Sukan Singapura, serta Marina East.
Dua projek BTO yang lebih dekat dengan Sungai Geylang, Tanjong Rhu Riverfront I dan II di Kampong Arang Road, telah dilancarkan pada Jun.
Unit BTO yang lebih dekat dengan kemudahan seperti stesen MRT dan pusat bandar akan berada di bawah kategori Prime dan Plus sistem pengelasan flat baru yang dilancarkan pada Oktober.
Flat-flat itu akan dikaitkan dengan syarat jualan semula lebih ketat seperti tempoh penginapan minimum 10 tahun dan pengurangan subsidi, antara 6 dengan 9 peratus dalam pelaksanaan jualan Oktober.
Di Queenstown, tapak di Mei Chin Road akan menempatkan 1,110 flat Flexi dua bilik serta flat tiga dan empat bilik. Ia terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari stesen MRT Queenstown.
Sebuah projek 1,540 unit di Woodlands, yang terdiri daripada flat Flexi dua bilik serta flat tiga, empat dan lima bilik, akan dibina di Admiralty Road.
Pembangunan ini terletak berhampiran laut dan Pusat Pemeriksaan Woodlands serta taman, seperti Taman Admiralty dan Taman Waterfront Woodlands.
Dua projek BTO di Chencharu di Yishun pula akan mempunyai gabungan 1,510 unit.
Terdapat flat Flexi dua bilik serta tiga, empat dan lima bilik merentasi dua tapak, yang dipisahkan oleh Bah Soon Pah Road.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg