Harga gas dan elektrik akan dinaikkan untuk tiga bulan akan datang.
Dari 1 Julai hingga 30 September, isi rumah yang dibekalkan elektrik oleh SP Group akan menyaksikan kenaikan 0.3 peratus dalam tarif elektrik berbanding suku sebelum ini, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada 28 Jun.
Bagi isi rumah, tarif itu berjumlah 29.88 sen setiap kilowatt-jam (kWj) sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), meningkat daripada 29.79 sen pada masa ini.
Tarif baru itu masih satu sen lebih rendah berbanding suku pertama 2024.
Dengan tarif baru itu, bil elektrik bulanan secara purata buat keluarga yang tinggal di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan naik sebanyak 35 sen sebelum GST, meningkat daripada $118.03 ke $118.38.
Kenaikan itu disebabkan peningkatan kos tenaga, sebanyak 0.09 sen setiap kWj secara purata, kata SP Group.
Kos tersebut, yang dibayar kepada syarikat penjanaan kuasa, diselaraskan setiap suku tahun untuk mencerminkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kuasa.
City Energy, pengeluar dan peruncit gas berpaip, berkata dalam kenyataan berasingan pada 28 Jun bahawa tarif gas bandar akan meningkat sebanyak 0.3 sen setiap kWj dalam tempoh yang sama, juga disebabkan kos yang lebih tinggi.
Ini bermakna isi rumah akan membayar 23.42 sen setiap kWj sebelum GST, meningkat daripada 23.12 sen.
Dengan GST, tarif yang disemak berjumlah 25.53 sen.
Tarif yang disemak telah diluluskan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
*Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg