Harga gas sejagat naik: Isi rumah, niaga perlu jimat elektrik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga gas sejagat naik: Isi rumah, niaga perlu jimat elektrik

Mar 12, 2026 | 3:42 PM

Harga gas sejagat naik: Isi rumah, niaga perlu jimat elektrik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
harga gas, jimat elektrik, krisis tenaga
Pada awal Mac, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) memberi amaran isi rumah mungkin akan melihat peningkatan harga elektrik jika kos bahan api kekal tinggi. - Foto ST

Walaupun langkah telah diambil bagi memastikan Singapura mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memenuhi keperluan, konflik di Timur Tengah telah menyebabkan harga gas sejagat meningkat.

Demikian kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, dalam satu hantaran Facebook pada 12 Mac.

“Oleh itu, kita harus menjangkakan harga elektrik akan meningkat dalam bulan-bulan mendatang,” katanya.

Dr Tan yang juga Menteri Tenaga Manusia menambah: “Isi rumah dan perniagaan memainkan peranan kerana mereka boleh mengimbangi sebahagian daripada kesan ini dengan menjimatkan penggunaan elektrik dan menggunakan peralatan yang lebih cekap tenaga.

“Pemerintah juga bersedia untuk menyokong isi rumah dan perniagaan jika perlu.”

Beliau merujuk langkah yang diumum dalam Belanjawan 2026, iaitu isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima 1.5 kali jumlah biasa baucar U-Save bagi mengimbangi bil api air, atau sehingga $570 dalam tahun kewangan tersebut.

Menurut Dr Tan, Timur Tengah adalah pengeluar bahan api utama menghantar 25 peratus minyak yang dibawa melalui laut dan 19 peratus gas asli cecair (LNG) melalui Selat Hormuz, yang kini ditutup akibat perang dengan Iran.

Ini dijangka menyebabkan harga bahan api sejagat yang lebih tinggi dalam jangka pendek, ujar beliau.

Persekitaran sejagat yang kurang stabil turut bermakna terdapat lebih banyak turun naik harga bahan api dan gangguan bekalan.

“Kesan ini dirasai di Singapura, memandangkan kita mengimport semua gas asli yang diperlukan untuk menghasilkan sekitar 95 peratus elektrik kita,” tambahnya.

Sekitar separuh daripada gas yang Singapura import kini dihantar melalui paip dari negara di rantau ini, dan bekalan ini tidak terjejas, kata Dr Tan.

Walaupun Singapura mengimport dari Timur Tengah, ia “tidak terlalu terdedah” pada kawasan tersebut, kerana pengimport LNG telah mempelbagaikan pembekal mereka untuk merangkumi negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia, jelas beliau.

Menurutnya lagi, Singapura juga telah menyimpan bekalan bahan api yang terdiri daripada campuran gas dan diesel, yang boleh diakses oleh syarikat penjanaan kuasa jika berlaku gangguan serius terhadap bekalan gas.

Seperti yang dikehendaki oleh peraturan, turbin penjana elektrik boleh beroperasi dengan kedua-dua gas dan diesel.

Di samping itu, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), tambah Dr Tan, turut menguji loji kuasa secara berkala bagi memastikan mereka mampu menghasilkan elektrik daripada diesel jika perlu.

Beliau menambah, pemerintah sedang memantau kesan daripada gangguan bekalan gas ekoran keadaan di Timur Tengah.

“Konflik ini adalah peringatan kita hidup dalam dunia yang tidak dapat diramalkan, dan kita tidak boleh membuat anggapan keselamatan tenaga kita sebagai sesuatu yang dijamin.

“Oleh itu, kita mesti lakukan apa yang kita boleh untuk menjimatkan penggunaan tenaga, dan setiap orang mempunyai peranan dalam hal ini,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg