Pejabat tenaga nuklear baru di S’pura mahu bangun keupayaan tempatan, kurang bergantung pada pihak asing
Pejabat tenaga nuklear baru di S’pura mahu bangun keupayaan tempatan, kurang bergantung pada pihak asing
Membangunkan bakat tempatan dalam tenaga nuklear merupakan satu bidang tumpuan pejabat yang baru ditubuhkan di Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), sekali gus mempersiapkan Singapura dengan lebih baik bagi penggunaan tenaga nuklear jika ia memutuskan untuk berbuat demikian.
“Kita tidak boleh bergantung pada rakan kongsi asing selama-lamanya,” kata Encik Darryl Chan, dalam temu bual pertama sebagai pengarah Pejabat Tenaga Nuklear yang baru ditubuhkan, pada 6 Februari.
“Kita perlu membina keupayaan domestik untuk melakukan analisis penting ini sendiri,” tambahnya semasa temu bual di ibu pejabat EMA di Pasir Panjang.
Pasukannya akan berusaha membangunkan kepakaran bukan saja dalam teknologi nuklear dan penilaian keselamatan, malah dalam analisis dasar, alam sekitar dan ekonomi, kata Encik Chan, yang dahulunya merupakan pengarah teknologi tenaga di EMA.
Singapura belum membuat keputusan untuk memanfaatkan tenaga nuklear, tetapi sedang menyediakan asas bagi menerokanya sebagai pilihan tenaga berdaya maju melalui pemeteraian perkongsian antarabangsa dan kajian pentauliahan.
Jika negara memutuskan memanfaatkan sumber tenaga ini, Singapura perlu dapat meyakinkan dirinya sendiri bahawa teknologi yang digunakannya adalah selamat, tambah Encik Chan, bercakap kepada The Straits Times.
Satu contoh bidang kritikal ialah Singapura memerlukan kepakarannya sendiri bagi penilaian berkaitan dengan sistem keselamatan reaktor yang berbeza, ujarnya.
Ini supaya negara dapat “dijamin sepenuhnya” bahawa mana-mana reaktor atau teknologi yang dipilih adalah selamat di sini.
Satu lagi keutamaan pejabat tersebut adalah untuk menilai teknologi nuklear bagi menentukan jenis reaktor yang selamat dan sesuai bagi persekitaran Singapura yang padat dan kekurangan tanah.
“Keselamatan nuklear adalah yang paling penting,” tegas Encik Chan.
Teknologi nuklear canggih termasuk reaktor modular kecil, yang mempunyai kapasiti kuasa yang lebih rendah, piawaian keselamatan yang dipertingkatkan dan memerlukan zon penampan yang jauh lebih kecil, berbanding dengan reaktor konvensional.
Singapura telah memeterai perjanjian dengan negara seperti Amerika Syarikat dan Perancis, untuk mempelajari teknologi nuklear dan penyelidikan saintifik.
Ia juga telah memeterai perjanjian dengan organisasi seperti kumpulan penyelidikan bukan mencari untung Battelle Memorial Institute dan Idaho National Laboratory – untuk lebih memahami kemungkinan penggunaan tenaga nuklear di sini.
EMA juga telah mengadakan lawatan ke Amerika, Switzerland, Perancis dan Korea Selatan untuk mengkaji teknologi dan keupayaan mereka.
“Negara yang berbeza mempunyai pengalaman yang berbeza dalam konteks teknologi dan membangunkan program kuasa nuklear mereka sendiri... kami ingin belajar daripada semua orang,” kata Encik Chan.
“Setiap negara perlu menyesuaikan peraturan, keperluan, piawaian, dengan keperluan kita sendiri… Saya tidak fikir kita boleh bergantung pada hanya sebuah negara untuk belajar daripadanya, tetapi sebaliknya gabungan negara yang berbeza, supaya kita boleh memilih yang terbaik dan kemudian menyesuaikannya mengikut keperluan kita,” tambahnya.
Badan pengawas atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menggariskan 19 isu infrastruktur nuklear yang perlu diambil kira oleh negara yang mempertimbangkan atau merancang loji kuasa nuklear pertama mereka di bawah pendekatan berperingkat.
Pengurusan sisa dan perancangan kecemasan adalah antara bidang ini.


