Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga flat jualan semula HDB terus susut pada suku kedua 2026
Harga flat jualan semula HDB terus susut pada suku kedua 2026
6,396 unit dijual, jumlah transaksi flat jualan semula naik 1.8% dipacu flat baru MOP
Harga flat jualan semula HDB terus susut pada suku kedua 2026
Harga bagi pasaran jualan semula perumahan awam Singapura turun sebanyak 0.3 peratus pada suku kedua 2026, berikutan penurunan 0.1 peratus pada suku sebelumnya, menurut data daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Indeks Harga Flat Jualan Semula (RPI) kali ini berada pada paras 202.8.
Dalam kenyataannya pada 24 Julai, HDB menyatakan bahawa jumlah transaksi flat jualan semula turut meningkat 1.8 peratus pada suku kedua.
Ia mencatatkan jualan sebanyak 6,396 unit, berbanding 6,285 unit pada suku pertama 2026.
Berbanding tempoh yang sama pada 2025, ia merupakan penurunan hampir 10 peratus.
Ketua Penyelidikan dan Kandungan di PropNex, Cik Wong Siew Ying, berkata perkembangan itu mencerminkan pasaran jualan semula HDB yang kini bertukar secara beransur-ansur daripada pertumbuhan harga yang pesat kepada kestabilan harga.
Beliau menambah, penurunan harga jualan semula tanpa penurunan dalam aktiviti transaksi menunjukkan bahawa pembeli masih aktif dan tetap kekal di pasaran.
“Kemungkinan besar flat yang baru sahaja tamat Tempoh Penginapan Minimum (MOP) lima tahun telah membantu menyokong jumlah jualan semula pada suku kedua,” kata Cik Wong.
Pegawai Eksekutif Utama agensi hartanah, ERA Singapore, Encik Eugene Lim, pula berkata meskipun segmen jualan semula semakin perlahan disebabkan ketidakpastian ekonomi dan pengambilan pekerja secara umumnya, penyesuaian harga itu juga boleh dilihat secara positif.
Pengurangan harga yang seterusnya mampu membuka jalan kepada pasaran HDB yang lebih mampan untuk jangka panjang, katanya.
“Pembeli kini mungkin mempunyai lebih banyak kuasa tawar-menawar selepas beberapa tahun pasaran didominasi oleh penjual.
“Walau demikian, penjual tidak perlu memotong harga tawaran secara drastik untuk menjual, asalkan flat mereka dinilai secara realistik tanpa wang tunai melebihi taksiran (COV) yang berlebihan,” kata Encik Lim.
Sementara itu, kenyataan HDB itu menambah bahawa harga median tertinggi flat jualan semula HDB dicatatkan di Punggol dan Sengkang bagi flat tiga bilik ($545,000), kawasan pusat bagi flat empat bilik ($1.19 juta), serta Hougang bagi flat lima bilik ($720,500) dan eksekutif ($983,000).
Kawasan perumahan dengan harga terendah pula dicatatkan di Geylang bagi flat tiga bilik ($358,000), dan Jurong West bagi flat empat bilik ($530,000), lima bilik ($633,500) serta eksekutif ($795,000).
Cik Wong menambah bahawa berdasarkan data jualan, 491 flat jualan semula HDB telah dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta pada suku kedua 2026, memecahkan rekod suku tahunan baharu.
Ia adalah peningkatan sebanyak 19.5 peratus berbanding 411 transaksi pada suku pertama 2026, dan melebihi rekod lama iaitu 480 unit pada suku ketiga 2025, kongsinya.
Beliau turut mengunjurkan volum jualan semula boleh mencecah sekitar 26,000 hingga 27,000 unit bagi keseluruhan 2026.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan harga jualan semula HDB akan kekal stabil secara umumnya, dengan harga diunjurkan berpotensi meningkat sehingga 1 peratus bagi keseluruhan 2026.”
Bagi pasaran rumah sewa pula, terdapat 58,855 unit HDB yang disewakan setakat akhir suku kedua.
Sebanyak 10,002 kes sewaan diluluskan dalam suku tersebut, meningkat 4.9 peratus berbanding suku sebelumnya.
Harga sewaan bulanan median tertinggi ialah bagi flat lima bilik di kawasan pusat ($5,100), manakala yang terendah ialah flat dua bilik di Sengkang ($2,350), tambah kenyataan HDB itu.