Topik diikuti
Pergi ke BHkuAGO temui 136 kelemahan audit dalam entiti pemerintah
AGO temui 136 kelemahan audit dalam entiti pemerintah
Ini termasuk cuai urus kontrak, pembayaran tidak pada jumlah sepatutnya serta lulus geran rumah kepada pemohon tidak layak
AGO temui 136 kelemahan audit dalam entiti pemerintah
Pejabat Juruaudit Negara (AGO) mendapati beberapa kementerian, lembaga berkanun dan syarikat milik pemerintah mempunyai kecuaian dalam perakaunan, pengurusan dan penggunaan sumber awam mereka.
Dalam laporannya yang dikeluarkan pada 15 Julai, AGO berkata ia telah mengeluarkan sejumlah 136 penemuan audit dan menyampaikannya kepada badan yang diaudit melalui Surat Pengurusan.
Laporan tersebut turut diberikan kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 2 Julai lalu, dan dikemukakan kepada Parlimen pada 14 Julai.
AGO telah mengaudit kenyataan kewangan pemerintah yang merangkumi akaun kesemua 16 kementerian dan badan-badan negara, 13 lembaga berkanun, empat syarikat milik pemerintah dan dua lagi akaun tambahan.
Hasil penemuan audit dibahagikan kepada lapan bidang utama, termasuk kelemahan pengurusan kontrak, kelemahan pengurusan operasi, kelemahan pengurusan hasil, kelemahan pengurusan geran dan skim keutamaan, kelemahan kawalan kewangan, kelemahan kawalan teknologi maklumat (IT), kemungkinan ketidakteraturan dalam rekod yang diberikan untuk audit dan audit tematik ke atas Geran Latihan.
AGO berkata ia menemukan kelemahan pengurusan kontrak di Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Dalam audit pembangunan sebuah institusi perubatan di bawah MOH, AGO mendapati terdapat kelalaian dalam pengurusan kontrak perkhidmatan pembinaan dan perundingan.
Kontrak-kontrak itu diuruskan oleh MOH Holdings Pte Ltd (MOHH) selaku ejen MOH, serta perunding bagi pihak kementerian tersebut.
Ia termasuk memperoleh kelulusan hanya selepas permulaan atau penyiapan variasi kerja; yuran perundingan yang tidak dikira mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan; kesilapan dalam penilaian barangan berkadar bintang; serta bayaran kerugian dan perbelanjaan sebanyak $2.20 juta yang tidak dibuktikan dengan betul.
Di HDB pula, kesilapan dalam penilaian perintah variasi bagi kontrak Program Peningkatan Rumah (HIP) mengakibatkan pembayaran kurang daripada jumlah sepatutnya sebanyak $1.02 juta; dan pembayaran lebih daripada jumlah sepatutnya sebanyak $0.25 juta.
AGO mengingatkan bahawa menggunakan ejen atau konsultan bagi projek tidak mengurangkan tanggungjawab agensi untuk memastikan dana awam digunakan dengan baik.
“Agensi harus menerima pakai pendekatan berasaskan risiko dalam menentukan sifat dan tahap pengawasan ke atas ejen dan perunding mereka, dan tidak terlalu bergantung kepada mereka,” kata AGO.
AGO turut mendapati kelemahan dalam pengurusan operasi Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA).
Ini kerana orang yang dikecualikan (EP), yang sepatutnya dilarang daripada berjudi, didapati memasuki kasino di sini semasa mereka berada di bawah perintah larangan tersebut.
Akaun Singapore Pools yang dimiliki EP juga tidak ditutup bagi mengelak mereka daripada berjudi.
HDB pula didapati tidak menjalankan pengawasan yang mencukupi terhadap kontraktornya yang dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kawalan rondaan dan penguatkuasaan di tempat letak kereta.
Anggaran awal HDB menunjukkan ia mungkin telah membayar kontraktor secara berlebihan sebanyak $9.70 juta bagi kerja yang tidak dilaksanakan.
Terdapat juga kelemahan dalam permohonan dan pembaharuan Tempat Letak Kereta Bermusim dan Tempat Letak Kereta Bermusim Keluarga di bawah kawalan HDB.
Permohonan dan pembaharuan berjumlah $24.99 juta telah diluluskan walaupun pemohon tidak memenuhi kriteria kelayakan.
Kenderaan komersial dikenakan kadar yang salah bagi tempat letak kereta bermusim, mengakibatkan anggaran kutipan yang kurang sebanyak $1 juta.
AGO turut mendapati Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah mengenakan kadar levi pekerja asing lebih tinggi daripada yang ditetapkan dalam perundangan bagi Pemegang Permit Kerja di sektor limbungan kapal marin.
Akibat daripada itu, MOM menerima lebihan bayaran $4.82 juta pada Januari dan Februari 2026.
Laporan AGO itu juga mendapati terdapat kelemahan dalam semakan kelayakan bagi tiga skim keutamaan dan geran perumahan HDB, iaitu Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumah Tangga, Geran Perumahan Berhampiran dan Geran Perumahan CPF yang menyebabkan flat diperuntukkan dan geran diagihkan kepada pemohon yang tidak layak.
“HDB telah bergantung kepada rekod dalamannya dan maklumat yang diberikan pemohon untuk menentukan alamat kediaman ketika menilai kelayakan, tanpa menyemak dengan sumber berwibawa seperti rekod Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA),” kata AGO.
Dalam pada itu, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengenakan yuran dengan cara yang berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam perundangan bagi permohonan kebenaran merancang dan kebenaran pemuliharaan.
Berdasarkan anggaran URA, yuran yang dikenakan dari tempoh 1 April 2022 hingga 31 Mac 2025 adalah $1.76 juta lebih rendah daripada yang sepatutnya dikenakan.
“HDB telah bergantung kepada rekod dalamannya dan maklumat yang diberikan pemohon untuk menentukan alamat kediaman ketika menilai kelayakan, tanpa menyemak dengan sumber berwibawa seperti rekod Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA),” kata AGO.
Sementara itu, AGO mendapati kelemahan dalam kawalan IT di SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) serta GIC Private Limited (GIC).
Kedua-dua SSG dan WSG tidak menyahdayakan akaun pengguna tepat pada masanya dan hak akses tidak dihapuskan serta-merta.
“Kelemahan ini meningkatkan risiko akses tanpa kebenaran dan kegiatan yang berlaku tanpa dikesan, dan boleh menjejas ketersediaan sistem serta integriti data,” jelas AGO.
Ia turut mendapati ketidakteraturan dalam rekod yang diberikan untuk audit oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), MOH, Majlis Sukan Singapura (SportSG), HDB, URA, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (IPOS).
Dalam audit Mindef, AGO mendapati kemungkinan berlaku kejanggalan dalam sebut harga yang digunakan oleh Mindef untuk menentukan kos kerja yang bakal dilaksanakan.
E-mel kelulusan palsu telah ditemui bagi pelantikan pegawai di MOE.
“Kami mendapati kelemahan dalam proses pelantikan yang tidak memberikan jaminan yang mencukupi bahawa penelitian yang sewajarnya telah dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pelantikan tersebut disokong dan berasas.
“Menurut MOE, proses kelulusan itu bergantung kepada prosedur manual, yang mewujudkan potensi kelemahan campur tangan manusia yang tidak dibenarkan,” kata AGO.
AGO juga mendapati kelemahan pada SSG dan WSG, di mana geran diagihkan bagi pelatih yang tidak layak, terdapat potensi pembiayaan yuran kursus oleh pelatih yang menghadiri sebilangan besar kursus yang dijalankan oleh majikan mereka, dan kelemahan dalam pemantauan pelaporan kemajuan.
Kementerian Kewangan (MOF), mewakili pemerintah, berkata ia menerima laporan Tahun Kewangan (FY) 2025/26 AGO itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Julai, MOF berkata pemerintah memandang serius dapatan AGO dan telah mengambil langkah untuk menanganinya.
“Jika terdapat kelemahan yang dikenal pasti, agensi akan menyiasat punca sebenar dengan teliti dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera.
“Ini termasuk mendapatkan semula sebarang bayaran berlebihan, menambah baik proses, memanfaatkan teknologi dengan lebih baik dan mengambil tindakan tatatertib jika perlu,” tambah kenyataan itu.
Beberapa kes juga telah dilaporkan kepada pihak polis.
“Sebarang salah laku akan ditangani dengan serius dan tindakan sesuai akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” tambah MOF.
MOF berkata pemerintah sedang membangunkan keupayaan pegawai awam dan perunding luar yang terlibat dalam pengurusan kontrak, terutama dalam penilaian barangan kadar bintang.
Barangan kadar bintang merujuk perkara yang tidak termasuk dalam kontrak projek asal.
“Perkhidmatan Awam komited untuk menegakkan piawaian tadbir urus, integriti dan kebertanggungjawaban kami. Amalan baik dan bidang untuk penambahbaikan akan dikongsi merentasi agensi awam.
“Kami akan mengambil pengajaran daripada laporan ini untuk memperkukuh pengurusan sumber awam dan memperkukuh budaya tadbir urus yang baik di seluruh Perkhidmatan Awam,” tambah MOF.
Respons HDB
HDB mengakui pemerhatian dalam laporan AGO yang merangkumi tempoh 1 April 2022 hingga 31 Mac 2025.
HDB berkata ia memandang serius penemuan AGO dan telah mengambil langkah segera untuk membetulkan penyelewengan yang dikenal pasti, dan memperkukuh proses dan kawalannya, bagi mengekalkan piawaian tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang tinggi dalam pengurusan projek dan operasinya.
Menyentuh kelemahan pengurusan skim keutamaan dan geran perumahan seperti yang diutarakan laporan AGO, HDB berkata ia sudah memperkenal semakan tambahan ke atas alamat kediaman terhadap rekod ICA, untuk menyemak silang maklumat yang digunakan semasa menilai permohonan.
HDB berkata ia bersetuju dengan AGO tentang keperluan memperkukuh semakan pengesahan pada transaksi Tempat Letak Kereta Bermusim (SP) dan Tempat Letak Kereta Bermusim Keluarga (FSP).
Oleh itu, ia akan memperkenalkan langkah seperti pemeriksaan penuh berkala terhadap maklumat kelayakan lain yang berkaitan dan menghendaki pemohon mengisytiharkan semasa permohonan bahawa mereka memenuhi kriteria kelayakan.
HDB berkata ia juga telah mengeluarkan surat amaran rasmi pada Mac 2026 atas pelanggaran kontrak dan telah memulakan pemulihan caj pentadbiran, yang merangkumi keseluruhan pembayaran yang dibuat untuk kerja-kerja yang tidak dilakukan.
Berikutan laporan AGO, HDB berkata ia segera menyemak sebut harga yang berkenaan untuk mengesahkan kesahihannya. Memandangkan kemungkinan penyelewengan dikenal pasti, HDB telah membuat laporan polis.
“HDB mengekalkan toleransi sifar terhadap sebarang percubaan untuk menjejas integriti proses perolehannya.
“HDB telah menyemak proses kami dan melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk memperkukuh pengurusan barangan kadar bintang dan meningkatkan keteguhan proses perolehan kami.
“Ini termasuk menggunakan alat analisis dokumen untuk memastikan sebut harga diperoleh daripada pembekal atau kontraktor bebas, dan memeriksa silang hubungan pembekal terhadap data pendaftaran korporat dan hubungan perniagaan untuk mengesan potensi konflik kepentingan,” kata HDB.
Ia juga telah membuat siasatan berikutan ketidakteraturan dalam rekod yang diberikan untuk audit dan mendapati kakitangan yang terlibat tidak berniat menghalang proses audit.
Namun, HDB akur membuat perubahan pada dokumen merupakan perkara serius.
“HDB telah mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan yang bertanggungjawab.
“HDB juga telah mengeluarkan surat amaran dan memberikan gred prestasi buruk kepada perunding, yang akan menjejas peluang tender masa hadapannya,” jelas HDB.
Respons MOH
Dalam kenyataannya pada 15 Julai, Kementerian Kesihatan (MOH) menjelaskan bahawa institusi yang dimaksudkan dalam laporan AGO ialah bangunan Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), yang disiapkan pada 2022 tetapi kerja-kerja perancangan bermula pada 2013.
MOH menekankan bahawa pasukan projek yang terlibat melakukan tugas mereka dengan baik dan tiada petunjuk salah laku yang disengajakan.
Menyentuh isu kelemahan dalam kelulusan dan tadbir urus kewangan projek pembangunan tersebut, MOH berkata ia telah salah mentafsir nota penyampaian Kementerian Kewangan (MOF) mengenai kelulusan Jawatankuasa Perancangan Pembangunan (DPC) dan memutuskan pengembalian semula barangan yang ditolak atau dikurangkan oleh DPC dibenarkan, selagi parameter yang lebih luas seperti Keluasan Lantai Kasar dan jumlah bajet dipatuhi.
Bagi penggunaan penjimatan yang tidak diisytiharkan untuk membiayai item bagi projek tersebut, penjimatan tersebut terhasil daripada harga tender yang lebih rendah untuk pelbagai kontrak pembinaan, dan telah digunakan untuk membiayai kerja seperti jambatan penghubung pejalan kaki yang menghubungkan NCCS ke stesen MRT Outram Park bagi meningkatkan aksesibiliti dan ketersambungan bagi pesakit, jelas kementerian itu.
“Sehubungan itu, MOH akan memastikan persetujuan eksplisit MOF diperoleh jika MOH perlu memanggil tender dan sebut harga sebelum kelulusan DPC.
“Penilaian akan dijalankan untuk menentukan sama ada perubahan skop projek adalah penting dan dengan itu, memerlukan penyerahan semula kepada DPC untuk kelulusan.
“Pelaporan penjimatan projek akan dimasukkan ke dalam prosedur operasi standard (SOP) kami yang telah disemak semula,” jelas MOH.
Respons MOE
Kementerian Pendidikan (MOE) berkata ia menemukan e-mel kelulusan palsu berkaitan pelantikan pegawai semasa audit AGO.
MOE berkata ia memandang serius perkara tersebut dan telah membuat laporan polis. Pegawai yang terlibat juga telah dibuang kerja.
“Proses pengambilan pekerja yang mantap dan telus adalah penting untuk mengekalkan integriti dan keadilan dalam pengambilan pekerja perkhidmatan awam.
“Di MOE, calon dinilai melalui proses pengambilan pekerja rasmi, termasuk panel pengambilan pekerja. Sebelum pelantikan boleh ditawarkan, ia mesti diluluskan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Langkah-langkah ini membantu memastikan keputusan pengambilan pekerja disemak dan dibenarkan secara betul,” jelas MOE.
Kementerian itu menambah berikutan audit AGO, ia telah memperkukuh prosesnya.
Ini termasuk memperkenal pemeriksaan bebas untuk mengesahkan semua pelantikan telah menerima kelulusan yang diperlukan.
Ia juga sedang berusaha ke arah mengautomasikan proses pelantikan kakitangan untuk mengurangkan pergantungan pada aliran kerja manual dan memperkukuh lagi tadbir urus, tambah MOE.
Respons SWDA
Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) menerima cadangan yang dibuat oleh AGO dan telah memulakan pemeriksaan terperinci terhadap kes-kes tersebut serta sudah mengambil tindakan yang sewajarnya.
AGO mendapati beberapa Perusahaan Bukan Kecil dan Sederhana (SME) telah disalahklasifikasikan dalam pentadbiran Sokongan Latihan Dipertingkat bagi SME (ETSS).
Kebanyakannya disebabkan oleh ralat logik sistem, kata SWDA, sambil menambah ia telah memulakan semakan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab atas ralat tersebut.
SWDA juga telah segera menyelesaikan isu salah klasifikasi disebabkan oleh penggunaan data kewangan yang salah. Namun, ia menambah:
“SWDA akan menghormati Geran ETSS yang diagihkan di bawah kes yang terjejas, kerana dana tersebut telah digunakan untuk menyokong latihan pekerja yang tulen dan memberi manfaat kepada pekerja tempatan,” jelasnya.
AGO juga mengenal pasti 15 pelatih yang menghadiri sejumlah besar kursus tajaan sendiri yang dijalankan oleh dua penyedia latihan, yang merupakan majikan mereka, menimbulkan kebimbangan penyedia latihan mungkin cuba meningkatkan kadar kehadiran kursus mereka untuk menuntut lebih banyak pembiayaan yuran kursus.
“Meskipun dasar pembiayaan membenarkan pelatih yang ditaja sendiri untuk menghadiri kursus yang dijalankan oleh majikan atau syarikat mereka, kami mempunyai langkah kawalan seperti mewajibkan pembayaran bersama yuran kursus dan tidak membenarkan penyedia latihan membayar yuran bersih untuk kursus mereka sendiri, bagi memastikan latihan tersebut adalah sah.
“SWDA telah memulakan semakan terperinci terhadap kes-kes ini,” tambahnya.
