Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula HDB naik 1.7% pada suku pertama 2024

Apr 1, 2024 | 2:08 PM
Sebanyak 6,928 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada suku pertama 2024, meningkat 5.5 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023.
Sebanyak 6,928 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada suku pertama 2024, meningkat 5.5 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023. - Foto ST

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik 1.7 peratus pada suku pertama 2024, meningkat pada kadar yang lebih pantas daripada pertumbuhan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Ini menandakan kenaikan harga suku ke-16 berturut-turut sejak suku kedua 2020, menurut anggaran kilat yang dikeluarkan oleh HDB pada 1 April.

HDB berkata pertumbuhan harga keseluruhan 2.8 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2023 dan suku pertama 2024 adalah sama dengan jumlah kenaikan pada suku kedua dan ketiga 2023.

Ia menambah bahawa pasaran jualan semula HDB semakin stabil, dan harga jualan semula meningkat 4.9 peratus pada 2023, lebih perlahan daripada peningkatan 10.4 peratus pada 2022 serta kenaikan 12.7 peratus pada 2021.

Memetik prospek ekonomi yang tidak menentu dan kadar gadai janji yang tinggi, HDB berkata isi rumah harus terus berhemat dari segi kewangan dalam pembelian flat.

Sebanyak 6,928 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada suku pertama 2024, meningkat 5.5 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023, yang menyaksikan 6,567 unit telah dijual.

Pihak berkuasa telah mengumumkan pelancaran 100,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dari 2021 hingga 2025. Sehingga Februari 2024, lebih 67,000 flat BTO telah dilancarkan, lapor The Straits Times.

HDB merancang untuk melancarkan sekitar 19,600 flat BTO pada 2024. Pada Februari, ia menawarkan lebih 4,100 flat di tujuh projek BTO di Bedok, Queenstown, Choa Chu Kang, Hougang, Punggol dan Woodlands.

Pada Jun, HDB akan melancarkan sekitar 6,800 flat BTO di Jurong East, Kallang/Whampoa, Queenstown, Tampines, Woodlands dan Yishun.

HDB menasihatkan pencari rumah supaya memohon surat Kelayakan Flat HDB sebelum 15 Mei, supaya mereka boleh mengambil bahagian dalam pelancaran BTO akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg