Cef kelahiran Singapura yang berpangkalan di Dubai, Cef Akmal Anuar, 43 tahun, sekali lagi mengukir nama di pentas kulinari antarabangsa apabila restorannya yang terbaru di Dubai, Harummanis, meraih anugerah Michelin Bib Gourmand.
Kejayaan ini bukan sekadar satu lagi pencapaian dalam kerjayanya yang gemilang, malah merupakan detik bersejarah buat masakan Melayu yang mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Berita Harian, Cef Akmal berkongsi rasa syukur dan terharu atas penghargaan ini.
“Harummanis dapat Michelin Bib Gourmand. Ini meletakkan masakan Melayu bukan sahaja di rantau Timur Tengah, malah mungkin sebagai yang pertama mewakili sajian Melayu secara global,” kata beliau.
Apa yang lebih istimewa, Cef Akmal turut membawa kedua-dua ibu bapanya, Encik Encik Mohammed Anuar dan Cik Raja Paridah ke Dubai bagi menyaksikan sendiri detik bermakna itu.
“Saya bawa mereka kerana mereka memang layak menerimanya. Ibu saya yang menamakan restoran itu dan saya mahu berdiri di sisi mereka berdua semasa menerima anugerah ini,” tambahnya penuh emosi.
Restoran Harummanis, yang dinamakan sempena sejenis buah mangga yang sinonim dengan rasa manis dan wangi – serta nilai sentimental buat keluarganya – telah menjadi simbol usaha gigih Cef Akmal dalam memartabatkan warisan kulinari Melayu di luar negara.
Pengiktirafan daripada Michelin Guide ini bukanlah sesuatu yang asing bagi Cef Akmal, yang sebelum ini turut dikenali menerusi beberapa restoran terkemuka di Dubai dan rantau Timur Tengah.
Selain cawangan Harummanis di Dubai, beliau juga menerima pengiktirafan Michelin Bib Gourmand untuk restoran Goldfish dan restoran Italy, Funkcoolio tersenarai dalam Michelin Guide yang berprestij.
Gerai bernama Harummanis di Singapura yang dimulakan oleh orang tuanya terletak di Teck Whye Lane sudah beroperasi sejak 1992, dan masih berdiri teguh dan menyediakan beraneka lauk pauk nasi padang.
Restoran Harummanis yang diilhamkan Cef Akmal, dengan konsep moden dan fine-dining kemudian dibuka di Sultan Gate pada November 2023.
Bagi Cef Akmal, Harummanis membawa satu makna yang lebih mendalam – sebagai penghormatan kepada akar budaya dan identiti Melayu beliau.
Namun begitu, Cef Akmal memahami bahawa keperluan pasaran di Singapura adalah berbeza dan cawangan restoran Harummanisnya di Singapura, kini beroperasi sebagai ruang tempahan awal dan acara khas. Kafe milik Cef Akmal, No Strangers Here (NSH), yang terletak bersebelahan Harummanis Singapura diperluaskan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kami perlu memperbesar kapasiti kerana permintaan untuk NSH terlalu tinggi,” ujarnya.
Ditanya mengenai hala tuju cawangan di Singapura, beliau berkata: “Buat masa ini kami sedang merancang beberapa perubahan konsep, tetapi kami tetap mengekalkan nama Harummanis dan simbol asalnya.”
Cef Akmal berpendapat keaslian masakan Melayu tidak perlu dikompromi untuk diterima di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, dengan sentuhan kreatif dan penghargaan terhadap akar budaya, beliau juga percaya masakan Melayu mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain di pentas dunia.
Ketika dihubungi, ibunya Cik Paridah baru saja mendarat di Singapura dari Dubai.
“Kami hanya berada di Dubai selama dua hari. Memang rasa bangga dan tidak sangka makanan Melayu diterima di Timur Tengah,” kata Cik Paridah yang tidak mahu panjangkan cutinya kerana khuatir tentang pelanggannya di Teck Whye.
Ibu bapa Cef Akmal kini masih mengoperasikan gerai makan Harummanis yang asli di Teck Whye.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg